![]() |
| Fauzi merenung jauh nasib anak-anak muda Melayu. |
SEBUT sahaja namanya di kalangan anggota ‘gelap’ di Kuala Lumpur, pasti nama ini disegani dan dikenali.
Sebagai anggota Persatuan Kebajikan Dakwah dan Islamiah (Pekida) Wilayah, di kawasan Bukit Bintang, nama Fauzi cukup sinonim sebagai panggilan Fauzi 337 (sempena akta Kanun Keseksaan).
Berusia 50 tahun, anak jati Kampung Baru Kuala Lumpur ini memang sejak dari bujang lagi begitu prihatin dengan nasib anak-anak Melayu beragama Islam yang semakin parah terjebak dengan gejala sosial.
“Mereka kata anak-anak muda kita mudah dijajah dengan cara lain, cara psikologi, nasib tak baik umur 16 tahun dah jadi pelacur.
“Namun malangnya ramai yang salah mengerti dengan penampilan dan kegiatan kami (anggota Pekida). Mereka kata kami gangster. Kami samseng dan kami kaki pukul. Kami bukan itu semua, kami menjaga maruah orang Melayu.
“Kami bantu masalah. kami bukan kaki gaduh. Kami lakukan ini semua kerana prihatin dan atas dasar semangat sukarela,” katanya.
Fauzi menambah, anggota-anggota Pekida bukan hendak mencari gaduh tetapi membantu meleraikan pergaduhan.
Sebab itu ketika adanya majlis-majlis larut malam atau parti-parti sempena malam tahun baru anggota-anggota Pekida sentiasa bersiap sedia di tempat-tempat tertentu untuk mengelakkan daripada situasi tegang di kalangan anak muda dan seterusnya berlaku pergaduhan.
“Kami dah muak melihat pelbagai kemungkaran dan kerosakan yang dilakukan oleh remaja Melayu kita yang beragama Islam.
“Cuba bayangkan kalau kami tidak berada di sesuatu tempat itu mungkin banyak pergaduhan berlaku dan siapa yang kena, anak-anak kita juga.
“Bayangkan setiap hari kita melihat kemungkaran demi kemungkaran yang dilakukan oleh anak-anak bangsa kita, orang Melayu. Tak geram ke?
“Kami bukan penyibuk tapi perkara-perkara ini berlaku di depan mata. Kami yang tahu kehidupan sosial anak-anak muda yang bermasalah ini. Kerana kami di sini berhampiran anak-anak anda. Sisi gelap anak-anak anda yang anda tidak tahu,” katanya yang berniaga burger dan kuetiau goreng serta minuman di hadapan bangunan lama itu bersama ahli keluarganya.
Bekas anggota Komando itu memberitahu, sebagai anggota Pekida, pihaknya memang tahu setiap kedudukan dan tata susila dan hanya membantu berbuat apa yang terdaya.
“Kami tampar anak orang, orang kata kami samseng, tapi itu semua untuk kebenaran, anak-anak kita ini kurang ajar. Ini cara yang terbaik untuk mengajar,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penglibatan anak-anak muda dalam kegiatan Lelaki Pelayan Pelanggan (LRO), Fauzi berkata, sebagai anak-anak Melayu kesemua daripada mereka memang mempunyai didikan agama, namun dek kejutan budaya di Kuala Lumpur, orang-orang ini mudah lupa diri.
Golongan remaja itu ingin hidup senang, mewah dan bergaya dengan pakaian yang up-to-date tapi enggan bekerja.
Dia yang sentiasa berasa khuatir dengan nasib generasi akan datang, turut melahirkan kerisauannya terhadap apa yang akan terjadi kepada nasib anak-anaknya pada masa akan datang.
Dikurniakan lapan orang anak yang berusia lapan hingga 30 tahun, dia juga telah mempunyai tiga orang cucu.
Bukan itu sahaja dia mengakui hatinya tercalar setiap kali melihat anak-anak Melayu menjadi mangsa kepada kerakusan dan kebiadapan golongan itu sendiri.
Apabila ditanya mengenai kegiatan yang tidak bermoral yang dilakukan oleh anak-anak Melayu seperti kegiatan LRO ini dia berkata, semua itu gara-gara hendakkan duit dalam waktu yang singkat tanpa perlu berusaha.
“Ramai di kalangan mereka (LRO) ini yang berusia antara 18 hingga 20 tahun. Ada juga yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Bagi golongan ini pelanggan mereka boleh terdiri daripada sesiapa sahaja, wanita atau lelaki malah ada yang berusia 70 tahun menjadi pelanggan remaja ini,” katanya.
Golongan lelaki menjadi teman teman sosial sudah lama berlaku tetapi jarang diketengahkan. Ada juga ketikanya Fauzi memberi mereka nasihat kepada anak-anak muda ini agar kembali ke pangkal jalan dan jangan ikutkan jalan yang sesat.
“Golongan ini semua kenal dan hormatkan saya dan mereka panggil saya abah,’’ jelasnya mengakhiri perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: