Saturday, February 12, 2011

Disney Dream persiaran fantasi


PELANCARAN kapal Disney Dream pada Januari lalu di Amerika Syarikat.


Sejak sekian lama nama Disney tidak pernah luntur, ia bukan sahaja menghibur kanak-kanak di seluruh dunia malah telah menyatukan seluruh ahli keluarga untuk menikmati masa bersama-sama.

Kini keceriaan Disney tidak hanya datang dari kaca televisyen tetapi telah diperluas jauh hingga ke tengah laut dengan pelancaran kapal terbaru yang dinamakan Disney Dream.

Kapal persiaran mewah sepanjang 340 meter itu baru-baru ini dilancar di Pelabuhan Canaveral yang terletak di Florida, Amerika Syarikat di dalam upacara penuh gilang-gemilang.

Disney Dream yang memakan masa dua tahun pembinaan merupakan kapal ketiga di dalam barisan kapal persiaran Disney bermula sejak 1988.

Ia mempunyai kapasiti mengangkut 4,000 penumpang termasuk 1,500 kakitangan, iaitu 40 peratus melebihi kapasiti dua kapal yang sedia ada.

Disney Dream kini menawarkan pakej persiaran selama tiga hingga lima hari ke Bahamas dan sebuah pulau rahsia milik Disney.

Dilengkapi oleh 1,250 bilik, kapal ini direka khas untuk percutian sekeluarga yang dilengkapi dengan taman tema, pusat rekreasi, restoran, kelab malam, pusat senaman, kedai cenderahati dan sebagainya.

Tarikan utama untuk kanak-kanak adalah gelongsor air yang melingkari sepanjang 235 meter panjang bermula dari puncak dek paling tinggi.

Bagi memastikan keriangan yang berterusan, sebuah kelab iaitu kelab Oceaneer dikhaskan untuk menghiburkan kanak-kanak semasa ibu bapa bersantai di tepi kolam tidak jauh dari situ.

Di dalam kelab yang menyekat 'pencerobohan' kaum ibu bapa itu disediakan sebuah tv plasma berukuran 103 inci yang memainkan siaran dan filem kegemaran kanak-kanak.

Selain menyaksikan tayangan video, mereka juga ditemani dan berpeluang berinteraksi dengan watak-watak ceria dari animasi Finding Nemo.

Di bilik penginapan, watak-watak seperti Mickey Mouse ditekap pada pelbagai kelengkapan seperti tuala dan selimut.

Di bilik paling murah yang dinamakan stateroom, penginapan tetamu tidak dilengkapi dengan tingkap sebaliknya disediakan lubang maya yang menayangkan video pemandangan sebenar di luar kapal. Sesekali, tayangan itu diselang-selikan dengan kemunculan watak-watak Disney.

Terjemahan fantasi di atas kapal ini bukan hanya kepada sumber hiburan malah keindahan ruang dalam dihias dengan dekorasi klasik yang membawa penumpang berlayar jauh ke zaman silam. Zaman di mana hanya mereka yang terkaya sahaja mampu menaiki pelayaran seperti itu.

Bermula dari gantungan lampu candelier hingga ke panggung utama, segenap pelosok kapal ini mempamerkan hanya yang terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger berkata, matlamat pelayaran adalah untuk menyajikan pengalaman tersendiri bagi semua lapisan usia.

"Layanan terbaik disediakan untuk semua tetamu sama ada mereka ibu bapa yang membawa anak, tanpa anak, pasangan datuk dan nenek hinggalah kepada moyang," katanya.

Presiden Barisan Perkapalan Disney, Karl Holz berkata, keceriaan dan kegembiraan di atas Disney Dream ini datang daripada kehebatan teknologi yang digunakan.

Sementara itu, sebuah lagi kapal iaitu saudara kembar kepada Disney Dream dijadualkan beroperasi tahun depan dengan nama Disney Fantasy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: