Saturday, February 12, 2011

Derita ibu tunggal sakit misteri


Faizah Mustopa hanya makan apa sahaja yang ada di rumahnya untuk mengisi perut.


BUKAN meminta belas ihsan dan simpati, namun wanita yang berstatus ibu tunggal ini berharap paparan mengenai kisah dirinya memberikan sedikit harapan untuknya meneruskan kehidupan.

Dia mahu belajar berdikari dengan sedikit kemahiran yang ada pada dirinya, namun apa yang pasti kekangan demi kekangan yang dihadapi menyebabkan dirinya semakin dibelenggu kemiskinan.

‘‘Saya tidak larat lagi nak pergi ke mana-mana. Setakat ini saya telah berpindah-randah untuk menumpang tidur, termasuk di rumah anak-anak yatim, rumah penginapan asnaf miskin dan menumpang dengan mereka yang mahu memberikan saya tempat tinggal.

‘‘Kini saya terpaksa keluar lagi memandangkan rumah ini tidak boleh disewakan oleh orang luar,’’ katanya yang kini menumpang di sebuah bilik yang disewakan sebanyak RM150 sebulan di sebuah flat milik sebuah agensi kerajaan, bahkan notis sudah dikeluarkan agar dia mengosongkan dari rumah berkenaan dalam tempoh seminggu.

Apabila diminta bercerita mengenai kisahnya, Faizah Mustopa, 56, memberitahu, setelah dia bercerai dengan suaminya 20 tahun lalu, dia telah ke Kuala Lumpur untuk cuba membina hidup baru.

Bekas suaminya sudah berumah tangga semula dan anak tunggalnya kini di bawah jagaan bekas suaminya, manakala kedua ibu dan bapanya sudah meninggal dunia.

Berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Prai Utara, Faizah berkata, dia masih mempunyai adik-beradik namun mereka semua mempunyai tanggungan dan keluarga masing-masing.

‘‘Ketika berumah tangga dahulu saya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan kemudian apabila ke Kuala Lumpur saya cuba melakukan pelbagai pekerjaan termasuk bekerja di warung, restoran, pencuci dan bekerja di kedai-kedai baju. Saya juga mempunyai sedikit kemahiran dalam memasak kuih-kuih kering dan menjahit.

‘‘Namun yang menjadi masalahnya sejak tahun 2001, saya telah diserang oleh sejenis penyakit misteri yang mana saya tidak boleh bekerja di sesebuah tempat melebihi beberapa hari.

‘‘Jika saya bekerja saya akan terus pengsan, tidak dapat berjalan, badan saya terasa lemah dan hanya dapat berbaring sahaja,’’ ujarnya.

Justeru dengan penyakit misteri yang menyerangnya itu, Faizah telah beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk satu jangka masa yang lama.

Dakwanya, pihak doktor juga tidak dapat mengesan punca penyakit yang menyerang dirinya itu dan hanya menasihatkan dirinya berehat.

Akibat perbelanjaan kos rawatan dan tidak dapat bekerja, Faizah terpaksa mengeluarkan kesemua wang simpanannya untuk menyara hidupnya.

Apabila dia sihat sedikit, dia bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai kerani kemasukan data dengan bayaran RM600 sebulan, malangnya belum pun dapat bayaran gaji yang pertama, syarikat itu ditutup dan dia tidak dibayar sesen pun.

Atas desakan hidup juga dia terpengaruh dengan skim pelaburan orang perseorangan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam waktu yang singkat.

Tujuannya, wang yang digandakan itu akan digunakan untuk tujuan berubat secara tradisional dan kemudian membuka perniagaan kuih-muih secara kecil-kecilan daripada rumah yang disewanya.

Malangnya, wang pelaburannya itu hilang sekelip mata akibat digelapkan oleh sindiket pelaburan berkenaan.

‘‘Rasanya serik sudah saya terkena tipu. Tidak tahulah kenapa nasib saya ini asyik menjadi mangsa kepada individu yang mahu mengambil kesempatan ke atas saya. Mungkin sifat saya terlalu lurus dan mempercayai orang lain.

‘‘Kerana sudah habis duit, saya dihalau daripada rumah sewa saya dalam keadaan sehelai sepinggang dan barang-barang saya disita kerana tidak mampu membayar sewa bulanan,’’ ujarnya.

Rentetan daripada peristiwa itu, Faizah terpaksa menumpang teduh di mana-mana pusat jagaan atau rumah anak-anak yatim selagi pemiliknya membenarkan dia berbuat demikian.

Apabila sampai masanya dia terpaksa keluar daripada pusat-pusat itu untuk memberi ruang kepada individu lain yang lebih memerlukan.

Kesihatan tubuhnya tidak mengizinkan dia bekerja dengan kuat. Sekarang Faizah mengalami sakit-sakit badan, tidak kuat berjalan dan matanya tidak boleh tidur dan hanya makan apa sahaja yang ada.

Bagi mendapatkan pendapatan menyara hidupnya seharian, Faizah membantu rakan-rakannya berniaga jualan secara langsung ataupun membuat bunga gubahan kecil-kecilan.

Dia juga turut menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal, RM200 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM80.

‘‘Saya sebenarnya ingin berusaha untuk menambah pendapatan saya sendiri kerana saya hidup seorang.

‘‘Kalau saya diberikan modal dapatlah saya membeli sebuah mesin jahit untuk saya menjahit baju yang ditempah pelanggan. Ataupun memasarkan kuih-kuih kering seperti kuih siput dan kerepek untuk diletakkan di kedai-kedai rakan.

‘‘Apa pun yang paling utama ialah tempat tinggal. Sekiranya saya diberikan tempat tinggal tetap seperti rumah PPRT (projek perumahan rakyat termiskin) dapatlah saya bekerja dari rumah untuk menyara kehidupan saya,” katanya.

Apabila ditanya mengapa dia tidak mencari jalan sendiri mendapatkan modal daripada mana-mana agensi swasta atau kerajaan, dia mengakhiri perbualan dengan kata-kata berikut: ‘‘Saya sudah terlalu banyak kena tipu, saya takut tertipu lagi”.

Sekiranya anda sebagai pembaca mahu menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal ini boleh berbuat demikian dengan menelefon talian 019-2768008 (Ida) untuk menyampaikan sumbangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: