![]() |
| GANDINGAN DJ Pool dan Ani Mayuni diharap mampu menghidupkan Siti Zulaikha. |
PERNAH dipertontonkan di Ipoh, Perak, pada tahun 2009, teater adaptasi dari naskhah asal srikandi, Siti Zubaidah - Siti Zulaikha kini kembali menemui peminat. Kali ini, teater bangsawan itu menampilkan kelainan termasuk mengenengah beberapa nama popular dunia lakonan.
Menariknya, teater Siti Zulaikha edisi kedua hasil penulisan oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia, Datuk Kamarul Airi Arifin itu dibikin dalam skala lebih besar termasuk menghadirkan sutradara baru yang juga seorang pelakon berbakat besar, Raja Azrey.
Melibatkan seramai 80 tenaga kerja termasuk pelakon, penari, pemuzik dan krew teknikal, Raja Azrey meluah keterujaan diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bagi merealisasi keseluruhan perjalanan teater Siti Zulaikha buat kali pertama.
Bercakap tentang transisi Siti Zulaikha agar tidak terlihat sama dengan pementasan sebelum ini, Raja Azrey memberitahu, dia mengaku memperlihat beberapa perubahan kepada naskhah itu. Cuma, pada waktu sama, format dan undang-undang karya bangsawan masih dikekalkan.
Selain kali pertama saya mengarah teater, Siti Zulaikha ibarat sebagai hasil yang tidak pernah didedahkan meluas kepada khalayak. Lantaran itu, cara pengolahan karya ini harus dilaksanakan sebaik mungkin sambil menunjukkan kepada audiens siapa Siti Zulaikha.
“Sebelum ini, perpaduan dalam persahabatan lebih ditonjolkan pada pementasan sulung. Justeru, kali ini, saya ingin menunjukkan lebih banyak elemen cinta dan kasih sayang,” kata Raja Azrey sewaktu ditemui pada sidang akhbar teater bangsawan itu di ibu negara minggu lalu.
Bercakap tentang pemilihan DJ Pool yang menerajui karakter Sultan Zainal Ulung dan Ani Maiyuni (Siti Zulaikha), Raja Azrey melihat dua pelakon tersebut punya skil tersendiri berada di atas pentas teater sambil menyerapi semangat sebagai sultan dan srikandi dikenali ramai itu.
“Biarpun DJ Pool tidak memenuhi 100 peratus syarat saya, cukup hanya dia ada 50 peratus daripada apa diingini untuk mempamer watak ini. Malah, setakat ini, dia ada pakej lengkap berbanding pelakon lain tambahan pula vokal dimiliki sebagai deejay menjadi kelebihan buat dirinya.
“Selepas mengetahui kebolehan DJ Pool, saya tidak memandang orang lain bagi mengisi kekosongan watak ini. Lagipun, tiada salah kalau saya beri peluang ini kepada individu berbakat sepertinya,” bahas Raja Azrey yang turut ada persepsi sama terhadap bakat heroin teater itu.
Meraih kesempatan bergelar pemain utama Siti Zulaikha, DJ Pool yang merupakan deejay radio KLFM itu sedang melakukan persiapan untuk membawa diri Sultan Zainal Ulung bergandingan bersama pasangannya, Ani.
“Saya anggap diri kosong sewaktu Raja Azrey menawarkan peluang untuk menjadi pemain utama naskhah terkenal ini. Malah, saya cuba mengosongkan diri sewaktu datang melakukan latihan agar tidak sama dengan watak-watak dizahirkan sebelum ini.
“Walau pada awal saya akui berdepan sedikit tekanan, kini, selepas melakukan latihan hari demi hari sambil mendapat tunjuk ajar daripada Raja Azrey, saya sudah bersedia untuk menyerap diri sebagai Sultan Zainal Ulung. Insya-Allah, saya akan beri yang terbaik,” janji DJ Pool.
Sementara itu, Ani yang telah cukup sebati berada di gelanggang teater bangsawan menganggap naskhah Siti Zulaikha sedikit sebanyak menyediakan cabaran tertentu buat dirinya sementelah harus terlibat dalam adegan seni mempertahankan diri, silat.
“Sebelum ini, saya sering membawakan watak puteri. Kali ini, sebagai Siti Zulaikha, saya kena menjadi seorang wanita yang bersemangat kental selain perahsia dan kuat agama,” ujar Ani yang bakal menyanyikan dua buah lagu baru dihasilkan khususnya buat teater Siti Zulaikha.
Teater Siti Zulaikha yang dihasilkan bagi mengangkat semula seni teater bangsawan tanah air dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Persatuan Rumpun Seni & Teater Shah Alam (Resam).
Selain DJ Pool dan Ani, Siti Zulaikha yang turut dibintangi oleh Azza AF, Khaty Azean, Eida Moin, Syukor Yon dan Shah Farid bakal dipentaskan di Auditorium Taman Budaya Negeri Melaka, Ayer Keroh, Melaka pada 26 dan 27 Februari ini pukul 8.30 malam. Masuk adalah percuma.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: