Friday, February 4, 2011

Cabaran semasa ekonomi Malaysia



BAJET 2011 yang diumumkan pada 15 Oktober 2010 menjadi penanda asas kepada pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Rentetan pengumuman itu pertumbuhan ekonomi 2011 dijangka berkembang antara lima dan enam peratus dengan sektor swasta akan memainkan peranan utama. Pelaburan swasta dan penggunaan sumber daripada swasta masing-masing dijangka berkembang 10.2 dan 6.3 peratus. Sektor perkhidmatan dijangka menyumbang 57.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2011. Pada tahun akan datang, sektor itu dijangka memberi sumbangan lebih besar melalui pelaksanaan projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA).

Daripada 12 projek yang diumumkan di bawah NKEA, tujuh daripadanya di bawah sektor perkhidmatan iaitu pendidikan, perhubungan, kesihatan, kewangan, pelancongan dan perniagaan.

Daripada segi fiskal, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat hanya 2.3 peratus atau RM3.7 bilion pada 2011. Sebaliknya, perbelanjaan mengurus dianggar meningkat RM10.6 bilion. Oleh itu lebihan mengurus hanya berjumlah RM3 bilion, adalah lebihan terkecil semenjak era 1990an.

Perbelanjaan pembangunan pula dikurangkan RM4.8 bilion pada 2011. Kerajaan menghadapi kesukaran untuk mengurangkan perbelanjaan bagi mengatasi defisit fiskal kerana dalam masa sama kerajaan perlu melaksana pelbagai inisiatif transformasi di bawah RMK-10, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan. Oleh demikian, defisit fiskal dijangka meningkat RM2.2 bilion daripada RM43.3 bilion (2010) kepada RM45.5 bilion (2011).

Bagaimanapun, daripada segi peratusan kepada KDNK, defisit fiskal berkurangan sedikit daripada 5.6 peratus (2010) kepada 5.4 peratus (2011) setelah mengalami defisit yang besar sebanyak tujuh peratus pada 2009 berikutan pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan ekonomi.

Di antara cabaran utama yang dihadapi dalam pengurusan ekonomi negara pada masa ini ialah cabaran untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan KDNK perkapita daripada AS$6,760 (2009) kepada AS$15,000 pada 2020. Bagi mencapai sasaran ini, KDNK perlu meningkat enam peratus setahun hingga 2020.

Ini adalah lonjakan yang besar berbanding peningkatan hanya 4.4 peratus dalam tempoh RMK-9 (2006-2010). Bagi mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus setahun, pelaburan swasta perlu meningkat 12.8 peratus setahun. Itu adalah faktor utama kerana pelaburan swasta hanya meningkat 10 peratus pada 2010 dan dianggar meningkat 11.3 peratus pada 2011. Bagi mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju pergantungan kepada pelaburan swasta tidak dapat dielakkan. Sektor swasta perlu memainkan peranan utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Bagaimanapun, prestasi pelaburan swasta setakat ini perlahan. Sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK merosot daripada 30 peratus sebelum krisis ekonomi 1997/1998 kepada kira-kira 10 peratus.

Cabaran yang perlu dihadapi bukan saja untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi atau pendapatan per-kapita tetapi lebih penting keterangkuman (inclusive) yang menjadi matlamat utama Model Ekonomi Baru bagi memupuk semangat kekitaan dan selari dengan prinsip Satu Malaysia. Dasar pertumbuhan dengan keterangkuman akan memberi manfaat pertumbuhan ekonomi kepada semua golongan masyarakat. Jika ekonomi mengembang, semua kumpulan masyarakat akan mendapat faedah melalui pertambahan pengagihan kerana pai agregat akan turut mengembang.

Walaupun kerajaan melaksanakan dasar dan strategi mengatasi masalah ketidakseimbangan pendapatan antara bandar dan luar bandar dan antara etnik, namun masih terdapat jurang yang luas daripada segi kesaksamaan pendapatan keseluruhan. Angka tunjuk yang mengukur ketidaksamaan pendapatan menunjukkan perkembangan positif apabila berkurangan daripada 0.51 pada 1970 kepada 0.45 pada 1990 dan terus berkurang kepada 0.441 pada 2009. Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkannya kepada 0.420 pada 2015.

Isu yang berkaitan dengan pengurusan fiskal negara juga adalah cabaran yang perlu ditangani. Kerajaan Persekutuan terlalu bergantung kepada sumber hasil berasaskan petroleum yang merangkumi kira-kira 40 peratus daripada jumlah hasil kerajaan persekutuan iaitu melalui kutipan cukai pendapatan petroleum, duti eksport petroleum, dividen Petronas dan royalti minyak. Petronas membayar dividen sejumlah RM30 bilion kepada Kerajaan Persekutuan selama tiga tahun berturut-turut (2008-2010).

Kebergantungan yang berlebihan kepada satu sumber hasil merupakan suatu keadaan yang kurang sihat. Sukar dibayangkan apa yang akan terjadi sekiranya pengeluaran minyak atau keuntungan Petronas berkurangan. Malaysia perlu mempelbagaikan sumber hasil bagi meningkatkan kutipan hasil dan mengurangkan pergantungan kepada petroleum. Dalam masa yang sama, kenaikan hasil mampu mengatasi masalah defisit fiskal yang dialami secara berterusan sejak 1998.

Defisit yang berterusan mengakibatkan kerajaan perlu membuat pinjaman bagi membiayai defisit itu. Peningkatan pinjaman bermakna bayaran hutang kerajaan akan terus bertambah. Oleh sebab bayaran khidmat hutang adalah satu komponen utama di bawah perbelanjaan mengurus, ini bermakna defisit berterusan juga akan meningkatkan perbelanjaan mengurus walaupun nisbah perbelanjaan mengurus dengan perbelanjaan pembangunan kini 77:23 sudah dianggap besar dan wajar dikurangkan.

Bajet 2011 menganggarkan defisit sebanyak 5.4 peratus berbanding defisit sebanyak 5.6 peratus pada 2010. Pengurangan peratusan defisit itu berpunca daripada peningkatan KDNK nominal dan bukannya disebabkan penguncupan fiskal secara jelas oleh kerajaan. Bagaimanapun, sering kali berlaku keadaan di mana defisit sebenar lebih besar berbanding dengan defisit dalam cadangan belanjawan. Misalnya Bajet 2009 mencadangkan defisit 3.6 peratus daripada KDNK namun data sebenar 2009 menunjukkan defisit adalah tujuh peratus.

Bajet 2008 mencadangkan defisit 3.1 peratus namun data sebenar 2008 menunjukkan defisit 4.8 peratus. Kedudukan ini terjadi kerana terdapat sejumlah peruntukan tambahan besar terpaksa dibuat dalam tahun semasa bagi memenuhi tuntutan pelbagai kementerian apabila cadangan peruntukan dalam belanjawan tidak cukup bagi menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu melaksanakan dasar perbelanjaan terpilih iaitu menghapuskan perbelanjaan yang tidak perlu serta mengutamakan nilai wang dalam urusan perolehan kerajaan supaya tidak berlaku sebarang ketirisan dalam setiap urusan yang membabitkan perbelanjaan wang awam. Perbelanjaan berhemat perlu diterapkan semua kementerian. Perbelanjaan yang besar untuk subsidi perlu dihapuskan terutamanya pembiayaan subsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima subsidi.

Masalah penyelewengan diesel bersubsidi menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit setiap bulan akibat ketirisan. Oleh itu rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah difisit yang berterusan yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Di antara isu yang masih gagal diatasi sehingga kini ialah pergantungan yang berlebihan kepada tenaga kerja asing. Syarikat yang terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing akan terus selesa dengan kadar upah yang rendah dan tidak perlu memberikan latihan kemahiran bagi meningkatkan kemahiran modal insan kerana pekerja terbabit hanyalah pekerja kontrak asing. Berikutan itu, produktiviti syarikat menjadi statik dan syarikat tidak mempunyai daya usaha untuk beralih kepada penggunaan teknologi tinggi atau inovasi dalam pengeluaran. Kegagalan Malaysia mengatasi masalah pembangunan modal insan boleh menyebabkan Malaysia terus kekal terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.

Kemajuan sesebuah negara mesti berasaskan kemahiran dan teknologi, bukannya bekalan sumber semula jadi atau bergantung kelebihan geografikal. Pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan jika negara gagal membangunkan modal insan dan institusi bagi menggalakkan pembangunan berterusan. Malaysia seperti negara berpendapatan sederhana lain perlu bergerak daripada sektor pembuatan yang mempunyai kos dan upah rendah serta tenaga kerja kurang mahir kepada inovasi ekonomi berasaskan pengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: