![]() |
| Mahu namanya segera dibersihkan oleh remaja berusia 16 tahun yang bernama Eina. |
NAMA Bkay Nair tidak begitu popular di kalangan orang industri saat ini. Siapa sebenarnya dia? Memang menjadi tanda tanya. Kalau pun tersebut namanya, ramai yang mengangkat kening bertanya kembali soalan yang sama. Apa pula sumbangannya terhadap dunia seni tanah air sehingga memerlukan orang lain untuk mengenalinya?
Dari sisi sudut yang lain, sebenarnya Bkay dikenali kerana cetusan kisah sensasi, skandal cintanya dengan penerbit Lineclear Motion Pictures (Lineclear), Abdul Latiff Mohaideen.
Mata-mata sekeliling yang melihat aksi kemesraan pasangan ini seolah-olah mengesahkan kewujudan ikatan istimewa antara mereka.
Bkay dikatakan sering diberi imbuhan dek selalu berada di sisi penerbit filem Mami Jarum itu. Bilik khusus diberikan kepada pemilik nama sebenar Tryambikay Vengades di pejabat Wayang Studios International (WSI) yang terletak di Glenmarie Shah Alam, Selangor. Boleh bersebelahan dengan bilik Latiff pula tu.
Itu tak termasuk dengan layanan eksklusif setiap kali Bkay ke luar daerah atau berjumpa klien. Maklumlah, anak kelahiran Kulai, Johor ini adalah Pegawai Perhubungan dan Pengurus Koordinasi WSI. Mesti kena ada standard tersendiri.
Bahkan, ada yang mengatakan itu semua adalah pelaburan Latiff yang mahu mengambil Bkay sebagai isteri keduanya. Wow, sampai begitu sekali.
Apa istimewa wanita berusia 29 tahun ini sehingga dia mendapat layanan cukup istimewa berbanding sembilan pelakon Ratu The Movie yang berlakon di bawah filem yang sama.
‘‘Sebenarnya, semua cerita yang melibatkan hubungan skandal saya dengan Latiff adalah fitnah semata-mata. Saya bukan seperti yang digempar-gemburkan,’’ reaksi awalnya apabila menyentuh soal berkenaan.
Getus Bkay, isu berkenaan kerap dibangkitkan sejak akhir-akhir ini menyebabkan kadang kala dia mudah naik angin apabila orang bertanyakan perkara yang sama.
‘‘Biar saya berterus terang. Saya dan boss Latiff memang tak ada hubungan istimewa. Semuanya auta belaka.
‘‘Cerita gosip ini sebenarnya tak berasas. Ia bertebaran sejak September tahun lalu. Tapi bila dah berkembang dan terus diperbesarkan, banyak pula fakta yang salah. Nama saya semakin busuk dan penyebar fitnah pula bertepuk tangan keriangan,’’ katanya lagi.
Kelebihan Bkay di mata Latiff
Menerangkan di mana keistimewaan Bkay di mata Latiff, wanita ini dilihat cukup bersedia untuk menghuraikan hujahnya.
‘‘Bila orang tanya apa kelebihan saya, saya cuma boleh kata, saya hanya ada kelulusan dalam undang-undang saja. Lepas tamat belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007, saya terus masuk firma guaman.
‘‘Di situ saya bekerja hampir dua tahun, menggunakan pengetahuan masa belajar dulu di lapangan kerja. Tapi, saya tak boleh nak cakap apa-apa kalau bab rezeki ini. Sebab pada mulanya saya ingin teruskan dalam guaman, tapi akhirnya ‘terpikat’ dengan dunia seni.
‘‘Bila saya dapat melepasi saringan uji bakat untuk berlakon Ratu The Movie, saya semakin yakin jiwa saya dekat dengan bidang seni. Dan dari situlah saya berkenalan dengan Latiff, tapi sebagai pelakon dengan penerbit.
‘‘Dia (Latiff) kemudiannya menawarkan saya bekerja sebagai pegawai perhubungan awam dan koordinasi di WSI tapi saya tak nak pada mulanya. Latiff terangkan kepada saya bahawa dia mahu kelainan latar belakang seseorang untuk mengisi kekosongan posisi tersebut.
‘‘Dalam fikiran saya pula, lebih baik berniaga daripada terlibat dalam bidang glamor ini. Tapi bila saya direnung kembali, sebenarnya bidang seni juga menyediakan platform dan tempat baik untuk saya belajar berniaga,’’ ceritanya panjang lebar.
Ditanya bagaimana boleh tersebar cerita mengatakan kewujudan cinta antara Bkay dengan Latiff, wanita ini dilihat menggeleng kepala.
Finalis Miss Malaysia India Global 2009/2010 ini memberitahu bahawa dia tak punya pengetahuan langsung tentang kerja-kerja dalam industri. Apatah lagi untuk memegang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam itu yang ternyata berbeza sekali dengan lapangan kerja di bidang perundangan.
‘‘Selepas saya menurunkan tandatangan bersetuju bekerja di WSI pada 1 Januari 2010, saya amat memerlukan seseorang untuk memberi tunjuk ajar kerja-kerja produksi dan berkenalan dengan orang kuat dunia seni ini.
‘‘Rentak cara kerja juga berubah dan saya tak punya sesiapa selain boss saya yang banyak beri tunjuk ajar. Selama enam bulan, saya menuntut ilmu dengan dia. Macam-macam saya belajar daripada dia.
‘‘Tapi yang hairannya, cerita keakraban kami keluar pada bulan September tahun lalu. Kenapa tak cerita lebih awal lagi. Itu yang menimbulkan tanda tanya kepada saya,’’ kata wanita berketurunan Malayali ini.
Menceritakan lanjut tentang kesan cerita kontroversi tersebut buat dirinya, Bkay bertukar nada. Sambil menghirup nafas, dia menyimpulkan bahawa dugaan itu adalah cabaran awal baginya untuk bertapak dalam dunia seni ini.
Tambahan selepas diberi amaran oleh bapanya, Vengades, dan ibu, Bharati, yang tak tahan mendengar cerita panas mengenai anak mereka di dada akhbar. Namun, selepas diterangkan satu persatu barulah mengerti tentang kerjaya baru anak tunggal mereka.
Fitnah ciptaan
Penyandang gelaran Miss India Tourism 2007/2008 ini juga menyatakan rasa terkilan kepada si pembawa fitnah yang menyebarkan kisah skandal dengan suami orang. Individu yang dimaksudkan adalah Nur Eina Azman yang juga merupakan salah seorang pelakon filem Ratu The Movie.
‘‘Sampai sekarang saya tak tahu apa yang Eina mahu daripada saya. Apa motif dia jaja cerita buruk saya sedangkan kesannya pasti kembali kepada dia. Mungkin juga itu cara dia cari publisiti untuk glamor, tapi saya tak mahu komen bab itu.
‘‘Sepanjang kami menjalani penggambaran termasuk di Langkawi, saya akui tak pernah bercerita buruk tentang dia dengan sesiapa. Lagi pun dia masih sekolah, buat apa saya nak cari pasal di lokasi dengan orang macam dia?
‘‘Iyalah semua pelakon yang terlibat cari makan. Dia sepatutnya bersyukur kerana menjadi salah satu watak utama dalam filem ini. Bukannya dengan kaedah cari pasal dengan orang kuat filem (Latiff) sedangkan Ratu The Movie belum ditayangkan lagi.
‘‘Tahukah dia kesan daripada perbuatannya itu boleh menyebabkan dia diheret dengan rasa penyesalan yang mendalam selepas ini nanti?’’ katanya seperti memberi amaran.
Ditanya adakah pelakon filem Raya Tak Jadi dan Bujang Terlajak ini akan bersemuka empat mata dengan Eina, Bkay sekadar menguntum senyuman.
Katanya, perkara tersebut tidak perlu dilakukan sebab dia sudah pun menguruskan notis permohonan maaf yang sudah pun dihantar kepada pihak Eina.
‘‘Saya tak mahu panjangkan cerita. Saya bersedia untuk maafkan dia, lagi pun mungkin dia bertindak atas dasar emosi. Kalau dia datang kepada pihak syarikat termasuk saya untuk meminta maaf, saya terima dengan tangan terbuka.
‘‘Tandatangan surat meminta maaf. Berjanji tutup mulut daripada bercerita buruk tentang orang dan tidak sesekali bercerita tentang filem Ratu The Movie lagi.
‘‘Mudah saja syaratnya, bukan? Sekarang ini, saya masih boleh bersabar. Saya tak mahu membuli budak sekolah sebab itu bukan cara saya,’’ katanya penuh sinis.
Mahu kembang bakat
Wanita berbintang Aquarius ini juga menanam impian untuk menjadi penyanyi satu hari nanti. Berkebolehan dalam bidang tarian dan bermain instrumen biola adalah asas untuk mendalami bidang yang satu lagi itu, sekiranya diberi kesempatan.
Mungkin terlalu awal untuk direncanakan tetapi Bkay memang suka mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan, hanya untuk kepuasan diri semata-mata.
‘‘Saya mahu jadi artis serba boleh. Sekarang ini sedang dalam peringkat pembelajaran. Macam-macam yang saya kena belajar tentang selok belok dunia artis.
‘‘Sekarang ini adalah masa untuk saya melengkapkan semua pengetahuan itu. Kalau ada rezeki nanti, semua akan berjalan lancar,’’ kata peminat Norah Jones ini.
Pemuja penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ini juga bakal mengikuti kelas menyanyi tak lama lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: