Sunday, February 20, 2011

Bintang yang makin berkilau




SETUJU atau tidak, wajah pelakon lelaki yang sama sering menghiasi kaca televisyen di rumah kita. Balik-balik muka Fahrin Ahmad, Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Aaron Aziz.

Tukar mana-mana saluran televisyen, wajah mereka juga yang silih berganti. Macam sudah tidak ada hero lain di negara ini.

Sebenarnya bukan mereka tidak bagus dan kurang berbakat. Lakonan mereka tetap berkualiti sama ada mampu membuat penonton ketawa atau menyentuh emosi dalam setiap watak yang dibawa.

Ada juga yang pernah menang anugerah terbaik dan popular. Tetapi sampai bila hendak mengadap muka yang sama? Satu hari nanti penonton mesti bosan. Percayalah!

Realitinya, jika diperhatikan perkembangan dunia lakonan hari ini, ramai juga bakat baru yang boleh diketengahkan dan mula mendapat perhatian penonton.

Mungkin kerana terlepas pandang, mereka terbiar tanpa publisiti. Biasalah, artis lelaki kurang muncul di suratkhabar dan majalah berbanding artis wanita yang cantik dan seksi.

Lantaran itu, Pancaindera memberi kesempatan kepada tiga pelakon lelaki yang ketika ini dikatakan bintang mereka mula berkilau.

Ketiga-ketiga wajah baru ini dianggap bertuah kerana hadir dengan pakej rupa dan bakat yang boleh digilap. Paling menarik, watak yang kerap dibawa mereka adalah nakal dan bersifat antagonis.

Pancaindera juga dapat tahu mereka ini memiliki hobi yang sama apabila terlalu obses pergi ke gimnasium untuk membina otot badan.

Apa kata kita mengenali tiga jejaka yang masih solo ini dengan lebih dekat lagi kerana khabarnya sudah ramai penonton wanita yang jatuh hati dengan wajah kacak mereka.

Rozita popularkan Zain Saidin

Dia adalah adik kepada penyanyi dan pelakon, Shasha Saidin. Dia juga pernah terkena tempias gosip bercinta dengan aktres janda jelita, Rozita Che Wan.

Zain atau nama penuh Mohamad Zain Mohd. Saidin baru setahun serius dalam bidang seni. Dalam tempoh singkat itu, dia sudah berlakon banyak drama antaranya Suraya yang ditayangkan di TV3, Kiah Pekasam (Astro Warna), Arinata Duyung (TV3) dan Chinta (TV3).

Sebelum ini, anak muda berkulit putih melepak ini sibuk belajar di Kolej Universiti Sunway dalam bidang rekaan grafik dan menjadi instruktor sambilan di gimnasium.

Semakin dikenali, Zain yang berusia 27 tahun itu bersyukur dengan apa yang dinikmati selepas banyak kali menolak tawaran berlakon sebelum ini.

“Alhamdulillah, mungkin rezeki murah ketika ini. Saya sebenarnya selalu beranggapan seronok menjadi pelakon apabila berada di set penggambaran.

“Di situlah ‘taman permainan’ bagi saya kerana saya dapat berjumpa ramai gelagat manusia sekali gus dapat bergurau senda dan melepaskan tekanan diri.

“Namun pada masa sama, apabila tiba waktu bekerja, saya perlu menjadi profesional dengan mematuhi peraturan pihak produksi,” katanya yang tidak gemar bekerja mengikut waktu pejabat.

Ditanya wajah kacukan kebudakkan yang boleh membuat dirinya mendapat watak yang terhad, anak kelahiran Bangsar, Kuala Lumpur itu tetap percaya dengan rezeki Allah S.W.T.

Kata anak bongsu tiga beradik itu, setakat ini ramai yang terkejut apabila berjumpanya kerana cara percakapan yang sangat tipikal Melayu.

“Loghat Melayu saya sangat kuat dan langsung tidak ada bunyi slanga mat salleh. Saya mendapat pendidikan di sekolah kerajaan dan bukannya sekolah antarabangsa.

“Malah jangan tak tahu makanan kegemaran saya adalah masak lemak rebung, siput sedut dan mesti ada sambal belacan,” katanya yang pernah tinggal di London selama dua tahun pada 2002.

Ditujah dengan persoalan langkah panjangnya selepas ini apabila pasti ada yang akan mengaitkannya dengan Shasha, dia tersenyum seketika.

“Sebenarnya sudah lama saya mendapat tawaran berlakon sejak dari kecil. Malah saya pernah berlakon dengan Shasha dalam filem Superstar.

“Namun saya hanya mengambil keputusan terjun dalam bidang lakonan lepas Shasha mengurangkan aktiviti seni. Saya terima hakikat akan dibayangi Shasha tetapi kami ada cara masing-masing,” katanya yang mengidam watak superhero dan bergandingan heroin pujaan hati, Sharifah Amani.

Aeril Zafrel minat Fazura

Ramai yang keliru apabila sebut nama jejaka berasal dari Batu Pahat, Johor ini. Aril Akademi Fantasia ke? Itu soalan yang ditanya balik.

Aeril Zafrel atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari sebenar sudah tiga tahun terjun dalam bidang seni. Cuma tahun lalu sahaja rezekinya mencurah-curah mendapat tawaran berlakon.

Antara drama lakonan jejaka berusia 23 tahun ini adalah Kasut Tumit Tinggi, Durja Ningsung, Senja Permai, Kita dan Klik.

Lebih mengujakan anak keempat daripada lima beradik ini, filem pertamanya bertajuk Aku Tak Bodoh turut menjengah di pawagam.

“Saya hadir dalam dunia lakonan bukan untuk bersaing dengan mana-mana pelakon senior sedia ada atau pelakon baru.

“Semuanya rezeki masing-masing dan saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan hasilnya biarlah penonton yang menilai bakat saya,” ujarnya yang sinonim dengan watak lelaki bermasalah.

Mengimbas nostalgia hidup diri, Aeril sanggup meninggalkan keluarga tersayang di kampung datang ke Kuala Lumpur biarpun ketika itu masih naif selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Namun pada mulanya, dia tidak berminat menceburi bidang seni kerana merasa rendah diri dengan kekurangan bakat lakonan dan wajah.

“Saya bekerja sebagai jurujual barangan elektrik di merata pusat membeli-belah di Kuala Lumpur. Hidup sebagai anak perantau pasti tidak terlepas dengan kenangan makan mi segera dan sentiasa tidak cukup duit belanja.

“Namun pengalaman yang dilalui cukup berharga bagi saya. Dengan kesusahan dan keperitan lalu, kini saya bersemangat tinggi untuk melakukan yang terbaik kepada dunia lakonan ini,” katanya yang berharap dapat bergandingan dengan heroin idaman, Nur Fazura satu hari nanti.

Berkongsi cerita tentang gosip yang bakal menimpa diri, Aeril optimis untuk berdepan dengan apa jua cerita negatif mengenai dirinya kelak.

“Sebaik sahaja saya melangkahkan kaki dalam dunia seni, saya sedar setiap pergerakan saya akan menjadi tumpuan dan menjadi perbualan orang,” katanya yang telah menandatangani kontrak selama lima tahun di bawah syarikat pengurusan artis MiG Talents iaitu anak syarikat Metrowealth (MiG).

Amran Ismail puja Noorkhiriah

Kalau anda pernah menonton filem pendek bertajuk Chukang, pasti wajah pelakon ini dikenali. Dia memegang watak tukang urut lelaki jahat bernama Jef.

Amran Ismail, anak kelahiran Felda Ulu Tebrau, Johor ini juga antara bakat muda yang paling menyerlah dalam drama televisyen ketika ini.

Sebelum ini dia pernah berlakon drama Bila Musang Berjanggut, Puteri Aurora Beradu , Geng Surau, Bella dan Ponti Anak Remaja.

Bagaimanapun bagi jejaka berusia 25 tahun itu, drama Siti Kelembai banyak merobah perjalanan hidupnya sebagai pelakon.

Gara-gara drama itu, dia hampir dipukul oleh seorang makcik di pusat membeli-belah sebelum ingin bergambar kenangan bersamanya.

“Kalau diingatkan balik rasa kelakar pun ada insiden itu. Tapi saya tak rasa sudah popular dan dikenali ramai.

“Malah saya tetap mengagumi pelakon-pelakon senior yang masih hebat dan tanpa mereka maka tidak ada pelapis seperti kami.

“Dan pengalaman pernah bekerja dengan mereka meninggal satu kenangan manis kerana sedia berkongsi ilmu dan bersikap rendah diri,” katanya yang kini muncul di TV3 menerusi drama Kam Pink pukul 11 pagi.

Amran sendiri mengakui dia sebenarnya mahu serius dengan lakonan sepanjang 2011. Harapan tingginya agar dapat berlakon dengan pelakon tersohor, Fauziah Nawi satu hari nanti.

“Selain Fauziah, saya juga teringin berlakon dengan dramatis hebat, Noorkhiriah agar dapat menimba ilmu dengan mereka.

“Selain itu, saya turut menanti peluang berlakon di bawah pengarah yang berkaliber seperti Rashid Sibir dan Aziz M.Osman,” katanya yang menerima kutukan teruk gara-gara berlakon dalam Chukang.

Walaupun banyak memegang watak negatif, kata Amran jauh di sudut hatinya teringin memegang watak hero baik dan romantik.

“Rezeki tahun lalu memang murah. Saya bersyukur sangat. Tetapi bukan bermakna saya tidak mahu mencuba watak lain agar kelihatan lebih versatil.

“Jangan salah anggap pula saya ‘jual mahal’ kerana akan memilih watak kerana itu bukan sikap saya sebenar. Tapi apabila ada tawaran yang mampu mencabar lakonan saya, tidak salah mencuba watak yang baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: