Monday, February 14, 2011

Biasiswa Mikro ELS tingkatkan penguasaan BI


Duta AS ke Malaysia, Paul W. Jones menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar yang menerima Program Biasiswa Mikro ACCESS tajaan Pusat Bahasa ELS dan Kedutaan AS di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SERAMAI 270 pelajar kurang berkemampuan dari 15 sekolah di Subang, Pulau Pinang dan Johor Bahru dipilih untuk mengikuti program meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris (BI) selama dua tahun di Pusat Bahasa ELS.

Naib Presiden Operasi Pusat Bahasa ELS, Robert Brander berkata, program Biasiswa Mikro ACCESS ini dilaksanakan secara kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, setiap pelajar yang berusia dari 14 hingga 18 tahun ini akan mengikuti kelas BI selama 120 jam sepanjang tahun bermula pertengahan Februari ini.

"Mereka akan diajar oleh guru berkelayakan dan berpengalaman. Secara purata mereka akan mengikuti dua kelas seminggu dan setiap kelas mengambil masa dua jam," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sijil kepada penerima program biasiswa mikro itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Brander memberitahu, program ACCESS ini adalah inisiatif berterusan untuk memberi kesedaran di kalangan generasi muda tentang pentingnya menguasai BI sebagai platform membina kejayaan dalam akademik dan kerjaya.

"Diharap inisiatif jangka panjang ini akan melengkapkan diri generasi muda kita dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global," katanya.

Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan kefasihan BI setiap pelajar menggunakan metodologi dan bahan pembelajaran ELS yang mencakupi aspek perbualan, menulis dan membaca, latihan bercakap serta penggunaan alat multimedia.

Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), program ini amat membantu dalam mengukuhkan lagi pengetahuan BI mereka.

Segala yuran tuisyen, pengangkutan dan makan minum penerima program untuk sesi akademik 2010-2012 akan dibiayai bersama oleh Pusat Bahasa ELS dan Kedutaan AS.

Penerima dipilih berdasarkan cadangan pengetua sekolah terpilih. Kemudian calon disenarai pendek untuk menduduki ujian penempatan dan ditemu duga oleh ELS. sebelum layak mengikuti program ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: