![]() |
| |
PENAMPILAN Badiuzzaman Badrul Zaman nampak menyenangkan. Sesuailah dengan kerjayanya dalam bidang perkhidmatan pelanggan yang memerlukan dia 'menyejukkan' hati pelanggan.
Kalau seseorang kakitangan unit itu berwajah bengis pastilah pelanggan yang sememangnya datang untuk mengadu masalah akan bertambah tegang.
"Memang kita sentiasa kena bersabar semasa berdepan dengan pelanggan. Seboleh-bolehnya kita jangan berpura-pura manis, sebaiknya kena benar-benar selesa melayan mereka.
"Bila kita ikhlas, kita tak akan rasa terbeban dengan apa sahaja perkara yang melibatkan pelanggan kita," kata Badiuzzaman atau nama manjanya Bad.
Setelah lebih dua tahun bertugas di unit khidmat pelanggan sebuah pusat membeli-belah terkenal di Kuala Lumpur, belum pernah dia ditimpa masalah besar.
"Alhamdulillah tak ada pula pelanggan yang terlalu mengada-ngada. Mereka biasanya datang kepada kita untuk bertanya sesuatu yang mereka tidak tahu.
"Kita juga kenalah sentiasa tahu dan apa yang sedang berlaku di tempat kerja kita agar dapat membantu pelanggan," jelas Bad kepada Pancaindera.
Memiliki wajah yang menarik, tidak teringinkah Bad terjun ke dunia glamor? Berlakon misalnya. Susuknya nampak sesuai untuk ditampilkan sebagai hero drama.
Bad sebenarnya pernah terjun ke dunia seni. Namun pembabitannya tidak menonjol kerana belum berpeluang menunjukkan bakat. Hanya beberapa kemunculan dalam drama bersiri sahaja. Itupun selaku pelakon tambahan.
Bad juga pernah ada pengalaman dalam peragaan apabila berpeluang menjadi pelakon tambahan dalam beberapa iklan sekitar tiga tahun lalu.
Wajahnya pernah digunakan untuk menghiasi laman fesyen remaja lelaki dalam majalah. Namun kesibukan kerja membuatkan dia terpaksa meminggirkan aktiviti itu sementara.
"Sekarang saya ingin kembali dengan aktiviti sebegitu, sebab itulah saya menyertai Pencarian Kacak Bergaya. Saya harap selepas ini peluang kedua untuk saya datang semula," kata Bad yang meminati gaya lakonan Fizz Fairuz.
Di matanya Fizz memiliki bakat lakonan yang luar biasa dan tak sama dengan gaya pelakon lain. Dia mahu menjadi seperti Fizz yang selalu berjaya melakonkan pelbagai watak dalam drama lakonannya.
"Saya harap suatu hari nanti saya akan dapat menjadi pelakon sepertinya. Hari ini semakin banyak pelakon baru muncul. Bagi saya ia satu petanda baik.
"Kalau seseorang pelakon baru menunjukkan lakonan yang baik, semestinya mereka akan dipandang oleh pengarah dan mendapat perhatian peminat," kata Bad.
Bad juga mahu menjadikan Pencarian Kacak Bergaya sebagai tapak untuknya menonjolkan diri sebagaimana yang pernah dilalui oleh anak muda lain yang berjaya menjadi pelakon dan model.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: