ROSSA...akui sudah ada teman hati dan masih berbaik dengan bekas suami, Yoyo.
HAMPIR dua tahun bergelar ibu tunggal, status itu tidak pernah menggugat saham Sri Rossa Roslaina Handayani, 32, atau Rossa. Malah, dia terus popular dan kini berada dalam kelompok teratas artis 'ngetop' (popular) Indonesia.
Tidak dinafikan bekas isteri kepada pemuzik terkenal, Yoyo dari kumpulan Padi dan juga ibu kepada kepada Rizky Langit Ramadhan, 4, ini punya aura tersendiri.
Popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta, Pudar dan Terlanjur Cinta duet bersama Pasha Ungu ini juga semakin kerap 'terbang' ke Malaysia bagi memenuhi undangan konsert dan persembahan eksklusif. Bagi Rossa, Malaysia bagaikan rumah keduanya.
Terbaru Rossa menjadi pilihan promoter bagi menjayakan persembahan Makan Malam Tahun Baru Cina 2011 yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur malam kelmarin.
Dalam pertemuan khas dengannya sempena kunjungannya itu itu, Rossa turut mengumumkan berita gembira buat peminatnya di sini.
Seperti kebanyakan artis dari negara jiran, gandingan lagu bersama artis tempatan bagaikan satu jalinan dalam mengukuhkan lagi jambatan silaturahim sesama dua negara serumpun itu.
Justeru, Rossa yang pernah merakamkan enam album studio, kini mahu bekerjasama dengan penyanyi remaja Malaysia Aizat Amdan untuk mengindahkan sebuah lagu duet mereka.
"Memang saya sedang memikirkan kerjasama ini sudah sekian lama. Sebelum ini ada beberapa kolaborasi saya membabitkan artis Indonesia seperti Kris Dayanti dan artis Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Namun, belum ada artis lelaki Malaysia.
"Selepas meninjau dan membuat kajian, saya begitu tertarik dengan kemampuan Aizat. Kami sudah pun mengadakan perbincangan ke arah itu. Soal lagu masih dalam peringkat pemilihan dan mungkin lagu bergenre pop. Kalau tiada aral, rakaman lagu ini akan siap penghujung tahun ini," katanya.Penyanyi genit kelahiran Sumedang, Indonesia ini turut meluahkan rasa kagumnya kepada bakat bekas bintang realiti Akademi Fantasia (AF) itu. Bukan setakat berbakat dalam penulis lagu dan lirik, malah Aizat juga ada vokal yang lunak kata Rossa.
Rossa akui dia makin kerap membuat kunjungan ke Malaysia. Boleh dikatakan hampir dua atau tiga kali dalam sebulan dia datang untuk memenuhi undangan persembahan mahupun urusan perniagaan. Tahun lalu dia pernah menjayakan persembahan mega, Konsert Melodi Cinta Rossa, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Hampir dua atau tiga kali dalam sebulan saya akan datang ke Kuala Lumpur untuk menjayakan persembahan. Saya sangat bersyukur dan sangat gembira dengan penerimaan masyarakat di sini.
"Setakat ini saya belum merancang untuk menjayakan konsert berskala besar lagi atau 'showcase' terbaru di Kuala Lumpur. Begitupun besar kemungkinan saya akan mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta pada tahun ini juga. Saya akan berkunjung ke Kuala Lumpur sekali lagi pada bulan depan untuk pelancaran album solo," katanya.Walaupun akrab dengan bekas suami, Rossa terus terang akui tidak mungkin mereka akan bersama semula. Apatah lagi Rossa sendiri sudah punya teman istimewa baru yang juga seorang usahawan.
Menariknya, dia turut mendapat nasihat dan galakan daripada Yoyo yang mengetahui mengenai kekasih barunya itu. Sebagai pemuzik, Yoyo juga membantu adik Rossa, Anda, menghasilkan beberapa lagu untuk bandnya, The Langkit.
Mengenai status jandanya Rossa sempat berkata: "Mustahil kalau saya katakan tidak ada perbezaan hidup sebagai ibu tunggal berbanding ada suami suatu masa dulu. Memang terasa perbezaannya. Namun, saya bersyukur kerana dipermudahkan segala urusan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
"Tidak saya nafikan saat paling genting dalam hidup saya ialah apabila anak saya sakit teruk akibat demam denggi dua tahun lalu. Ketika itu saya terpaksa bahagikan masa dengan terlalu berat hati. Ketika itu juga saya terikat dengan persembahan yang sudah dijanjikan. Akhirnya saya terpaksa bersolek di sebelah katilnya di hospital, pergi ke persembahan dan kembali ke hospital.
"Mujur Yoyo dan ahli keluarga turut sama membantu. Saya akui memang sukar mengharunginya sendirian. Saya mudah menangis terutama apabila melihat anak saya mengalami kesakitan," kata Rossa pemenang bagi Lagu Bahasa Melayu Terbaik kategori Artis Luar Negara menerusi lagu Ayat-Ayat Cinta pada Anugerah Industri Muzik 16 (AIM16) lalu.
Mengenai perancangan melangsungkan perkahwinan pula, Rossa memaklumkan tidak mahu terburu-buru soal jodoh sebaliknya dia berserah kepada Yang Maha Esa.
Mengulas isu lebih sensasi, sebagai rakan seangkatan, Rossa turut bersimpati dengan nasib vokalis Peterpan, Ariel yang kini dipenjarakan gara-gara skandal video seks.
"Ternyata sebagai seseorang yang dikenali apa yang dilakukan sentiasa menarik perhatian masyarakat. Tidak dinafikan setiap selebriti pasti berdepan tekanan apabila sering mendapat perhatian seperti ini. Begitupun ia adalah sebahagian daripada kemestian sebagai selebriti dan salah satu daripada tuntutan kerja," katanya.
Dalam persembahan Rossa terbaru di ibu negara, ia dihadiri hampir 3,000 tetamu termasuk tetamu diraja, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Menariknya, pada majlis itu Rossa turut menyanyikan beberapa lagu Mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Penganjur majlis, Datuk Wira Dr Jason Goh, pula berkata, pemilihan Rossa sebagai artis utama dalam menjayakan persembahan selama lebih sejam itu bertepatan dengan populariti dan sambutan yang diterima daripada peminat.
>PROFIL
NAMA: Sri Rossa Roslaina Handayani
NAMA KOMERSIAL: Rossa
TARIKH LAHIR: 9 Oktober 1978
TEMPAT LAHIR: Sumedang, Indonesia
STATUS: Janda anak seorang (Rizky Langit Ramadhan, 4 tahun)
KARIER: Penyanyi, pelakon, ahli perniagaan
SYARIKAT RAKAMAN : Trinity Optima Production
ALBUM: Meskipun Cinta (1995), Nada-Nada Cinta (1996), Tegar (1999), Kini (2002), Kembali (2005), Yang Terpilih (2007), Ost. Ayat-Ayat Cinta (2008), Rossa (2009), Harmoni: Jalinan Nada dan Cerita 1 (2010)
SINETRON: Dua Sisi Mata Uang, Perisai Kasih
PENCAPAIAN: Artis Terbaik Wanita (Tegar) MTV Indonesia 2000, Penyanyi Wanita Terbaik bagi kategori Pop Progresive (Kini) Anugerah Muzik Indonesia 2002, Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara (Terlalu Cinta) Anugerah Industri Muzik 15, Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara (Ayat-Ayat Cinta) Anugerah Industri Muzik 16, Penyanyi Pop Solo Wanita Terbaik (Hati Yang Terpilih) Anugerah Muzik Indonesia 2001, Penyanyi Pop Solo Wanita Terbaik (Aku Bukan Untukmu) Anugerah Muzik Indonesia 2005, Penyanyi Pop Solo Wanita Terbaik (Ayat-Ayat Cinta) Anugerah Muzik Indonesia 2008, Album Wanita Solo Terbaik dalam Anugerah Muzik SCTV 2010
LAMAN WEB : http://www.rossafansite.com/
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: