Sunday, February 6, 2011

Adi wira versi Melayu


Teknik penghasilan imej janaan komputer (CGI) yang digunakan memang terbaik.


WATAK adi wira memang jarang diketengahkan sebagai subjek utama dalam penerbitan filem tempatan. Penerbit wanita, Jumaatun Azmi bagaimanapun berani mengetengahkan watak berkenaan dalam filem sulungnya, Haq. Alasannya mudah, dia mahu pemikiran orang tempatan dipupuk dengan satu kelahiran adi wira Melayu moden sarat dengan nilai-nilai ketimuran.

Meski pun impian tersebut masih kabur, Pengasas dan Pengarah Urusan KasehDia Sdn. Bhd. ini tetap berusaha ke arah itu.

"Saya memang mencari formula untuk membuat filem trilogi, saling berhubungan dengan mengembangkan satu tema. Jadi Haq adalah jawapannya. Watak seorang lelaki yang mempunyai kelebihan luar biasa, mampu mengawal dan menggerakkan objek sekeliling. Dia mendapat anugerah tersebut dengan lindungan ilmu agama yang teguh.

"Penciptaan watak Haq amat dekat dan mudah diingati seperti watak James Bond yang datangnya di Hollywood.

"Bagaimanapun, saya enggan andai ada pihak yang mahu membandingkan karya saya dengan mana-mana filem luar negara kerana masih terlalu awal," katanya.

Lantaran itu, Jumaatun mahu setiap buah tangannya dipadatkan dengan pengisian falsafah Islam sejagat dan mempunyai unsur pengajaran.

Pemenang Anugerah Lakon Layar Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM-23) ini juga bakal memfrancaiskan filemnya yang berdurasi 90 minit itu ke pasaran Syria satu masa nanti.

Jumaatun menerangkan bahawa ada sebuah syarikat dari negara Timur Tengah berminat mahu membeli hak cipta filemnya itu.

Baginya, itu adalah petanda baik apabila karya anak tempatan berjaya membuka mata orang luar untuk menilai kehebatan filem kita.

Ditanya tentang perkembangan watak yang bakal diguna pakai untuk filem sequel Haq, dia memberi jaminan akan lebih bagus berbanding filem sebelumnya.

"Anda akan melihat perubahan watak yang tidak berapa kabur dalam filem Haq yang pertama dan diperjelaskan dalam sequel akan datang. Lihat sahaja perubahannya nanti," tambahnya lagi.

Ditanya mengapakah dia mahu mewujudkan adegan panas dalam filemnya itu sedangkan sepatutnya ia berteraskan Islam semata- mata, wanita ada alasan sendiri.

Katanya, "Paparan panas melibatkan adegan atas katil itu adalah masalah sosial yang wujud dalam dunia Islam masa kini. Kita sengaja ke hadapan masalah tersebut sebagai peringatan kepada semua tentang perkara tersebut. Di situ letaknya ketelusan kita."

Filem genre aksi fantasi ini mengetengahkan Zul Huzaimy sebagai Haq, Ady Putra (Bad), Nanu Baharuddin (Zahra), Raja Farah (Aina), Fatimah Abu Bakar (Mak Lang) dan Zulkifli Ismail (Tuan Haji Ibrahim).

Filem Haq mengisahkan dua saudara, Haq dan abang angkatnya, Bad yang hidupnya tersasar dari ajaran agama dek sifat cemburu dan dendam. Mereka bagaimanapun berjumpa ketika dewasa, tatkala Bad ingin menuntut bela.

Filem yang bernilai RM2.4 juta termasuk kos promosi ini mula ditayangkan sejak 27 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: