Friday, January 28, 2011

Tiger mudahkan pesawah


Jentuai Crop Tiger sesuai digunakan pada pelbagai keadaan tanah.


BANYAK kaedah dan teknologi baru yang dapat membantu pesawah melaksanakan projek pertanian mereka supaya berdaya saing dan lebih menguntungkan.

Dalam subsektor pertanian sebagai contoh, kaedah pembajakan, penanaman benih dan penuaian antara yang dititikberatkan supaya mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi moden.

Maka, semakin banyak teknologi diperkenalkan untuk tujuan tersebut antaranya penggunaan jentuai berteknologi moden.

Terbaru, dua syarikat iaitu Prevalent Success Sdn. Bhd. dan CLAAS telah bekerjasama melancarkan pemasaran jentuai terkini siri Crop Tiger yang sesuai digunakan di negara ini.

Pengurus Eksport Kawasan Asia untuk CLAAS, Jan-Klaus Tobias, berkata peralatan pertanian yang berkualiti dan efisien adalah kunci meningkatkan hasil tanaman bagi mencapai wawasan negara bagi mengeluarkan sumber makanan mencukupi.

CLAAS menyediakan jentera tuai dari model terkecil sehingga terbesar seperti siri LEXION yang berupaya menuai 60 tan bijirin dalam masa satu jam.

"Menerusi pengalaman pertanian yang diperolehi dari seluruh dunia, CLAAS mampu menyediakan penyelesaian bagi masalah pertanian yang dihadapi oleh para petani dan kontraktor tuai padi negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Prevalent Success, Amran Abdullah iaitu rakan pengedar CLAAS di negara ini, melihat peluang besar bagi jentera tani moden di sini.

"Produk CLAAS memenuhi semua keperluan ladang bersaiz kecil, sederhana dan besar.

"Contohnya jentera tuai siri Crop Tiger' yang telah dijual di India adalah jentera yang ringan dan serbaguna serta mampu meningkatkan produktiviti dan mutu padi para petani," katanya.

Jentera yang menggunakan trek besar berasaskan getah, rangka yang stabil dan kukuh dan hydrostatic ground drive membolehkannya berfungsi dalam keadaan tanah dan penuaian yang paling sukar.

Tobias menjelaskan jentuai CLAAS siri Crop Tiger' adalah istimewa kerana sistem pembanting (threshing system) yang menggunakan kaedah Tangential-Axial Flow (TAF).

Kaedah tersebut membolehkan setiap bijirin padi digugurkan dengan sempurna daripada tangkainya tanpa dipukul kuat oleh dram pembanting sebagaimana terjadi dalam jentuai konvensional.

Oleh itu, teknologi TAF mampu mengurangkan jumlah padi yang pecah seterusnya tiada kerugian ketika menuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: