Friday, January 21, 2011

Nasib mangsa renjatan kabel elektrik


MUHAMAD HAIRUMAN yang diperhatikan kakaknya, Maryuni termenung mengenangkan nasibnya selepas kedua-dua tangannya dipotong di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.


SHAH ALAM - Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22, menitiskan air mata selepas mendapati kedua-dua tangan paras siku dan ibu jari kaki kirinya sudah tiada lagi setelah dipotong melalui pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang malam kelmarin.

Kakaknya, Maryuni Miskon, 32, berkata, setelah selesai pembedahan dijalankan pada pukul 11 malam itu, adiknya dilihat menangis mengenang nasibnya.

"Apabila saya melihat dia menangis, saya cepat-cepat pujuk dan memberi sokongan moral kerana saya faham dugaan yang dihadapinya terlalu berat," kata Maryuni ketika ditemui di sini semalam.

Maryuni memberitahu, adiknya kini perlu banyak berehat kerana masih penat setelah menjalani pembedahan hampir tujuh jam bermula pukul 4.45 petang kelmarin. Beberapa jam sebelum dimasukkan ke dewan bedah HTAR, dia juga terpaksa berpuasa.

Muhamad Hairuman hanya boleh menganggukkan kepala tanpa mengeluarkan sepatah pun perkataan apabila soalan diajukan kepadanya. Keadaannya terlalu lemah selepas menjalani pembedahan.

Dia yang merupakan anak yatim piatu terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjong Karang, pukul 9 pagi pada 26 November tahun lalu.

Akibat kejadian itu, bekas pelajar Kolej Intra, Kuala Selangor itu dimasukkan ke Hospital Tanjong Karang apabila hampir 35 peratus badannya terbakar sebelum dipindahkan ke HTAR pada Isnin lalu.

1 comment:

  1. Assalammualaikum wbt. Saya Maryuni Miskon, kakak kpd Hairuman amat-amat mengharapkan bantuan yang berterusan untuk menampung hidup dan menampung kos perbelanjaan perubatan hairuman. Bantuan telah terhenti sedangkan ubatan masih lagi diperlukan untuk menyembuhkan kesakitannya. Apatah lagi untuk merancang perjalanan kehidupan hairuman yang masih jauh. Hairuman OKU seumur hidup. Sekarang ini dia menjadi pesakit luar di hospital. Keadaan kulit yang melecur blm lagi sembuh, masih pedih, berair dan gatal. Manakala 3 kerat anggotanya telah dipotong, yang tinggal hanyalah 1 kerat iaitu kaki kanan, tetapi masih dalam pemulihan, tidak boleh digunakan untuk berdiri apatah lagi berjalan, kerana kelecuran yang teruk menyebabkan banyak saraf kaki yang rosak. Ini menyukarkan dia untuk menguruskan dirinya sendiri apatah lagi membuat aktiviti, terpaksa mengharapkan bantuan untuk bergerak. Harapan saya dapatlah kalian terus menyebarkan berita tentang hairuman kerana ramai juga yang tidak tahu tentang kisahnya bila berselisih dengan hairuman di tempat awam. Ada juga org awam yang prejudis dan seakan mengejek2 tanpa tahu apa sebenarnya dia jadi begitu. Harap ada insan-insan yang mulia sudi menghulurkan bantuan untuk menampung kos perubatannya. Tak tertanggung rasanya dengan derita dan kesedihan yang melanda. T.kasih atas sumbangan kalian semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas kita semua. Amin....

    Untuk sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke :
    MARYUNI BT MISKON
    MAYBANK A/C : 162030632448
    CIMB A/C : 12570000203529
    atau
    MUHAMAD HAIRUMAN B. MISKON
    CIMB A/C : 12570005386520

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: