jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Tuesday, August 31, 2010

Rumah rakyat Malaysia mula di serang di Indonesia!

image

image

JAKARTA: Rumah seorang jurutera Malaysia telah dilempari batu besar dalam tindakan usir atau "sweeping rakyat Malaysia" oleh sekumpulan lima lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, Ahad lalu.

Difahamkan dalam insiden 2 petang itu, kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pelekat di baju dengan tulisan "Ganyang Malaysia" telah membaling seketul batu besar ke arah jurutera berkenaan yang ketika itu membuka pintu untuk meninjau keadaan setelah mendengar bunyi bising di luar rumah.

Mereka menjeritkan kata-kata "You Malaysia balik!"
Jurutera berusia 60 tahun itu bagaimanapun sempat menutup pintu banglonya sebelum batu berkenaan menghentam pintu tersebut.

Beberapa anggota polis yang menyedari kejadian itu berjaya menghalang kumpulan lelaki berkenaan daripada memanjat pagar rumah tersebut untuk masuk dan melakukan tindakan lebih ganas.

Akibat kejadian itu, jurutera berkenaan kini dalam keadaan trauma dan telah meminta pihak syarikatnya membenarkan beliau pulang ke Malaysia lebih awal daripada jadual tugasnya di sana. Semasa kejadian, beliau tinggal bersendirian di rumah itu kerana isterinya sudah dihantar pulang Malaysia.

Pihak syarikat ladang berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Pihak polis dikatakan telah mengenal pasti mereka yang terbabit dalam insiden itu, namun belum ada sebarang maklumat bahawa mereka telah ditahan.

Difahamkan kumpulan lelaki itu telah mencari rakyat Malaysia di ladang berkenaan sejak Sabtu lalu dalam aksi sweeping mereka, tetapi hanya menemui jurutera itu pada hari Ahad.

Rakyat Malaysia di minta berjaga-jaga kerana keadaan semakin genting di Indonesia sekarang. - BERNAMA

Indonesia Hina Hari Kemerdekaan Malaysia!

image image

JAKARTA: Bantahan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) Indonesia terhadap Malaysia berikutan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia dekat kepulauan Riau terus dilakukan, walaupun pada hari Malaysia merayakan hari kemerdekaan ke-53 hari ini.

Dalam satu lagi demonstrasi yang diadakan di hadapan pejabat BENDERA di Jalan Diponegoro, selain membakar Jalur Gemilang, puluhan orang turut mengajak anggota kumpulan itu mengumpul cap jari darah pada sehelai kemeja-T putih yang mereka sebut sebagai "hadiah" Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53. "Kami sengaja memberi hadiah untuk ulang tahun Malaysia hari ini. Kami ingin menyerukan bahawa kami tidak takut dengan Malaysia, kami ingin menunjukkan kekuatan kami," katanya.

Sebelum melakukan aksi, mereka turut melakukan "apel siaga" iaitu upacara menyatakan siap sedia untuk perang kepada sukarelawan "Ganyang Malaysia".

Aksi berkenaan telah mencetuskan kekecohan dengan anggota polis yang menghalang para anggota Bendera yang cuba menutup jalan dengan kerusi dan meja sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Diponegoro.

Pada 23 Ogos lalu, sekumpulan penunjuk perasaan daripada Bendera telah membawa "hadiah" najis manusia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan dan melemparkan najis itu ke dalam kawasan bangunan kedutaan besar itu.

Kumpulan itu turut mengotorkan bendera Malaysia yang sedang mereka pijak di atas jalan ketika itu, dengan najis manusia juga. Hari ini sekumpulan 20 orang dari Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) atau Pusat Maklumat Rakyat berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di sini membawa patung Upin dan Ipin yang diletakkan dalam plastik bersama beberapa ekor tikus.

Mereka menganjurkan warga Indonesia memboikot produk Malaysia.

Bantahan berterusan melalui demonstrasi berlaku di sini dan beberapa tempat di seluruh Indonesia bagi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia pada 13 Ogos lalu.

Dalam insiden itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Malaysia telah menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Inodnesia menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu kerana didakwa masing-masing menceroboh perairan wilayah negara masing-masing.

Semua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos oleh pihak berkuasa kedua-dua negara. - BERNAMA

Selera India Utara di Naan


Shatina Parwiz Kausar dan Mohamad Fareedz Mohamad Nor menunjukkan air couple gelas besar, di restoran mereka, di Ampang.


BERBUKA di hotel semestinya meriah dengan pelbagai hidangan eksklusif namun harga yang perlu dibayar untuk satu sesi berbuka puasa bersama keluarga boleh mencecah RM500.

Jika itu jumlahnya, ia bukan harga yang mampu dibayar oleh kebanyakan kita apatah lagi bagi yang berpendapatan sederhana. Namun tidak dinafikan, berbuka secara bufet kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup kota.

Bagi memenuhi kehendak berbuka puasa, Naan Corner yang beroperasi di Ampang Jaya menawarkan pelbagai cita rasa makanan melalui hidangan bufet di premis yang berkonsepkan gerai lima bintang.

Pemilik generasi keduanya, Shatina Parwiz Kausar, 27, berkata, sajian berbuka puasa yang diadakan setiap tahun memberi peluang kepada rakyat negara ini menikmati sajian ala-hotel pada harga lebih murah.

"Kita bukan sahaja menyediakan makanan yang baik tetapi mempunyai suasana bersih dan selesa," ujarnya yang mengambil alih perniagaan bapa beliau beberapa tahun lalu.

Sepanjang puasa, Naan Corner menawarkan lebih daripada 40 jenis makanan yang disediakan secara bufet di restoran yang mampu memuatkan 200 orang itu.

Antara yang dihidang kepada pelanggan termasuk makanan laut seperti ikan pari, siakap, udang dan ketam yang dimasak asam pedas, mentega dan bakar.

Hidangan bufet ditawarkan pada harga RM24.99 untuk dewasa manakala RM12.99 (kanak-kanak). Harga tidak termasuk minuman buah-buahan yang disediakan dalam tiga saiz gelas berharga RM10.

Antara yang menarik adalah air couple iaitu jus tembikai gelas besar yang diisi penuh dengan satu tin laici. Sajian bufet juga diserikan dengan susunan kuih-muih moden dan tradisional.

Sementara itu, Shatina yang dibantu suami, Mohamad Fareedz Mohamad Nor, 27, berkata, keselesaan berbuka di gerai lima bintang itu juga disokong oleh faktor persekitaran dan kemudahan asas.

Berbeza dengan kebanyakan gerai, makanan di Naan Corner dihidangkan dalam pinggan dan gelas kaca, set meja dan kerusi makannya beralas bahkan jel pencuci tangan juga disediakan dalam beberapa botol berperisa.

Pelajar asing sayu sambut Ramadan


(Dari kiri) Ali Nasser, Ahmed Sabree, Aishe Nur Ozturki dan Bahiroh Amath menikmati juadah berbuka secara ringkas bersama-sama di UIAM, Gombak, Selangor baru-baru ini.


KEDATANGAN Ramadan dan Syawal adakalanya mengundang sayu, khususnya kepada perantau yang bukan sahaja berjauhan dari tanah air malah ibu bapa dan keluarga tercinta.

Perasaan sama turut dikongsi oleh sekumpulan pelajar asing beragama Islam yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Hampir 5,000 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara menjalani ibadah puasa di kampus UIAM pada Ramadan tahun ini.

Bagi, Aishe Nur Ozturki, 20, yang berasal dari Turki, pengalaman berpuasa jauh dari keluarga adalah sesuatu yang memeritkan.

Akui Aishe Nur, jika di kampung halamannya semua kelengkapan berbuka puasa disediakan oleh ibu, namun persekitaran itu amat berbeza ketika di sini kerana hanya ditemani rakan-rakan sekuliah sahaja.

Biasanya dia hanya membeli juadah untuk berbuka puasa kerana kesuntukan masa menghadiri kuliah.

Namun jika sesekali rindukan masakan ibu dia akan masak sendiri terutama bagi makanan-makanan tradisi negaranya.

‘‘Masakan yang paling saya suka ialah masakan Arab seperti kebab, salad dan juga hummus (kuah dal),’’ terangnya sambil tersenyum.

Menurut Aishe lagi, suasana menyambut Ramadan di Malaysia tidak banyak beza berbanding di Turki.

Dia yang kali kedua menjalani ibadah puasa di sini berkata, sambutan Ramadan di Malaysia sama meriahnya dan masjid menjadi tempat yang paling menjadi tumpuan.

Pelajar program Sains Politik itu menjelaskan, biasanya para pelajar Turki dan beberapa pelajar antarabangsa yang lain akan berkumpul bersama-sama dan ke masjid untuk bertarawih.

Mengenai perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini, Aishe memberitahu, dia akan berkumpul bersama rakan-rakan ‘sekampung’ untuk memasak masakan tradisional.

‘‘Tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri tahun ini kerana saya bercadang untuk masak masakan kegemaran saya seperti seperti poghacha (campuran roti, keju, kentang dan sayur), scarma (nasi yang digulung seperti popia di atas daun anggur) serta baklara (pie kentang),’’ ujarnya.

Bagi Ahmad Sabree Abdul Mateen, 23, pula, menyambut Ramadan tanpa keluarga bukan asing kerana sering berjauhan dengan keluarga sejak di bangku sekolah lagi.

Kata Sabree, dia akan berbuka bersama rakan-rakan lain dan juadah pilihan adalah shawarma (roti Arab) yang menjadi menu wajib setiap petang.

‘‘Selepas berbuka dan solat Maghrib, kami akan berjalan beramai-ramai ke masjid universiti untuk bertarawih.

‘‘Walaupun terasa sedih tetapi ini merupakan pengalaman yang akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup,” kata pelajar dari Atlanta, Amerika Syarikat (AS) itu.

Jelasnya, ini adalah Ramadan kali keempat yang dilalui selepas menuntut di universiti itu dalam bidang Usul Fiqh.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Sabree menjelaskan dia sudah membeli sepasang baju Melayu untuk dipakai pada Syawal nanti.

Katanya lagi, berpuasa di Malaysia adalah sesuatu kenangan yang sukar dilupakan memandangkan pelbagai juadah dijual sepanjang bulan Ramadan.

‘‘Keadaan ini berbeza di negaranya kerana semua umat Islam akan berbuka puasa di masjid dengan membawa masakan yang di masak sendiri dari rumah,’’ terang anak kepada pasangan Abdul Mateen dan Ameerah ini.

Malah sambutan Hari Raya juga tidak semeriah di sini.

‘‘Biasanya selepas sembahyang sunat Aidilfitri kami menyambung kembali kerja dan seolah-olah ia bukan hari kebanggaan seperti yang berlaku di sini,’’ ujarnya serius.

Rawat stres di Escape




BUDAYA berkunjung ke spa di kalangan rakyat Malaysia semakin menjadi pilihan terutama untuk merawat masalah berkaitan stres dan ketegangan.

Bagi yang masih tercari-cari spa yang jauh dari kesibukan kota, Spa Escape yang terletak Golden Palm Tree atau juga dikenali sebagai Sepang Gold Coast, di Pantai Bagan Lalang, Sepang mungkin antara destinasi yang wajib dikunjungi.

Berkonsepkan dengan gaya Bali klasik dan kontemporari membuatkan si pengunjung seolah-olah tidak mahu pulang kerana seronok dibelai dengan suasana yang merehatkan.

Wangian aroma terapi menusuk hidung sebaik memasuki ruang pusat kecantikan ini seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Sebaik memperkenalkan diri, seorang pekerja wanita pantas membawa penulis menjelajah ke seluruh kawasan spa dan menunjukkan pelbagai rawatan kecantikan yang disediakan.

“Menarik, tenang dan mendamaikan,” getus hati sebaik selesai melawat spa yang indah dibina di atas air ini.

Ternyata gaya Bali yang diterapkan dalam penataan dekorasi spa tersebut berjaya membangkitkan ketenangan dalam jiwa setiap individu yang berkunjung ke sana.

Alunan muzik perlahan, bunyi kicauan burung dan aliran air di salah satu sudut istirehat seolah-olah membawa anda menikmati suasana alam semula jadi di tengah-tengah belantara.

Menawarkan pelbagai rawatan menarik bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki seperti urutan badan yang menggunakan minyak aromatik, urutan tradisional Bali untuk mengurangkan kesakitan bahagian tulang belakang, otot-otot dan melegakan kepenatan.

Selain itu, terdapat juga urutan tisu otot, urutan tekanan dan urutan tapak kaki.

Lebih menarik, urutan batu juga turut disediakan kepada pengunjung bagi melegakan stres.

Memiliki bilik untuk pasangan dan sebuah bilik yang dilengkapi dengan jakuzi dan alat pemanas istimewa menjadikan spa tersebut lain daripada yang biasa.

Malah ruangan yang besar dan eksklusif juga menjadikan spa ini seperti menduduki di ruang rumah sendiri.

Ternyata, dekorasi spa yang terdapat di Escape spa ini mampu memberikan ketenangan kepada pengunjung yang datang.

Spa itu juga menyediakan bilik rawatan yang dilengkapi dengan bilik air selain perkhidmatan jakuzi, mandi wap dan sauna.

Menariknya, jakuzi yang tersedia berkonsepkan zaman batu dan kelihatan begitu unik sekali. Sekali pandang air terjun buatan yang disediakan di satu sudut jakuzi itu seperti semula jadi.

Apa yang pasti, kunjungan ke Spa Escape mampu memberikan seribu satu kepuasan dalam diri.

Usah campur aduk ta'zhim, penyembahan


menziarahi makam nabi di Masjid Nabawi adalah antara cara memuliakan baginda SAW. - Gambar hiasan


KITA masih meneruskan kembara ilmu menelusuri dan mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) karya agung tokoh besar ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah zaman ini, al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki.

Mereka yang mengetahui kelebihan karya ini sangat menghargainya kerana sumbangannya dalam memperbetul dan mentajdid semula fahaman-fahaman terhadap isu-isu yang boleh menjerumuskan umat dalam kancah persengketaan sesama sendiri.

Menjauhi permusuhan dan perpecahan sesama Islam adalah ibadah dan kewajipan yang utama. Ia harus direbut oleh setiap umat Islam tanpa mengira bulan, zaman atau tempat.

Dalam siri kali ini, sesudah menyentuh beberapa premis asas yang menjadi sebab salah-faham dalam memahami bahasa wahyu, pengarang terjun langsung menangani salah satu isu utama yang boleh menjadi punca pertikaian iaitu beza antara perbuatan ta'zhim (mengagungkan) dan menyembah.

Ramai salah faham tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan). Mereka dengan jelas telah mencampuradukkan antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim adalah suatu penyembahan kepada yang diagungkan.

Justeru, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan baginda SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Mawlana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri semuanya ini dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga kononnya membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti itu adalah suatu kejahilan dan kesilapan. Bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Kita sedia maklum, Nabi Adam a.s adalah insan dan hamba Allah yang soleh yang pertama daripada jenis manusia. Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan membesarkan ilmunya. Ia sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam a.s menjadi nabi daripada sekelian makhluk-Nya.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu semua kepada Adam", maka mereka sujud melainkan iblis. Ia berkata, "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah yang diadun?" Ia berkata lagi: "Khabarlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan lebih daripadaku?" (al-Israk: 61-62)

Para malaikat patuh sujud mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, sementara iblis takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah.

Iblislah makhluk pertama yang mengqiaskan agama dengan pendapatnya, ketika ia berkata: "Aku lebih baik daripadanya".

Alasan iblis, dia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam dicipta daripada tanah.

Akibatnya, iblis diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah SWT kerana sikap sombong dan takburnya terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur itu merupakan kesombongan terhadap Allah kerana sujud yang diarahkan itu sebenarnya kepada Allah, sebagai mengikut perintah-Nya.

Contoh lain berkaitan Nabi Yusuf a.s, Allah SWT berfirman: Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu, mereka (saudara-saudara Yusuf) sekeliannya sujud memberi hormat kepada Yusuf. (Yusuf: 100)

Sujud hormat ini adalah suatu penghormatan, penghargaan, kemuliaan dan ta'zhim terhadap Nabi Yusuf a.s. Kemungkinan ia diharuskan dalam syariat mereka. Atau pun, boleh jadi sujud mereka itu seperti sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s sebagai penghormatan dan pengagungan, serta pelaksanaan terhadap perintah Allah SWT.

Sujud lazimnya dikaitkan dengan penyembahan, tetapi seperti yang kita lihat dalam contoh-contoh ini, al-Quran menegaskan perbuatan sujud sekalipun tidak semestinya bererti menyembah dan sebaliknya boleh berbentuk memuliakan dan mengagungkan.

Mesejnya di sini adalah mengagungkan tidak semestinya menyembah, kalaupun sujud sesama makhluk dilarang dalam syariat Nabi Muhammad SAW.

Allah rahsiakan Lailatul Qadar


Antara amalan bagi mengisi malam al-qadar adalah memperbanyakkan membaca al-Quran selain qiamullail. – Gambar hiasan


RAMADAN yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.

Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr.

Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman.

Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima. (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia.

Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya.

Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah.

Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita.

Penjenamaan semula teknik, vokasional


Pelajar teknik dan vokasional akan dibekalkan dengan pakaian seragam khas untuk mencerminkan identiti mereka.


PROGRAM pendidikan teknik dan vokasional perlu penjenamaan semula supaya ia kekal relevan dengan tuntutan semasa guna tenaga dan pendidikan arus perdana.

Penjenamaan mencakupi pelbagai aspek - daripada kos sehinggalah kepada pembentukan imej baru.

Pengarah, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia, Ahmad Tajudin Jab berkata, isu ketidaksesuaian kursus serta nisbah agihan komponen akademik dan kemahiran perlu disesuaikan semula.

Antaranya ialah pecahan komponen akademik berbanding kemahiran perlulah 30:70, akademik berbanding vokasional (40:60) dan akademik berbanding teknik (70:30) - disulam dengan tenaga pengajar yang bertauliah dan berkemahiran.

Tempoh pengajian juga perlu dikaji semula, iaitu antara dua hingga empat tahun, dengan memperkenalkan satu konsep terbuka bagi kemasukan (pengambilan) dan tamat pengajian (persekolahan).

Sistem pentaksiran dan penilaian terhadap kualiti lepasannya perlulah berasaskan artikulasi, persijilan dan piawaian, supaya lepasannya mempunyai kemahiran yang senang dipasarkan dan bernilai dalam pasaran guna tenaga.

Selain itu, satu konsep kursus kluster dan customized perlu diperkenalkan bagi menyerlahkan sifat fleksibel dalam pemilihan laluan kerjaya.

Konsep penilaian berasaskan sekolah perlu dilaksanakan.

Untuk perancangan masa depan, SMT dan SMV perlu menawarkan kursus peringkat sijil yang tidak lagi ditawarkan oleh kolej komuniti atau politeknik.

Sebagai nilai tambah, sepasang seragam khas pelajar teknik dan vokasional boleh diperkenalkan untuk mencerminkan identiti, kata Ahmad Tajudin.

Puasa tidak halang Sazali berlatih


SAZALI Samad bersama barisan piala yang dimenangi.


SEBUT sahaja Sazali Samad, peminat dunia sukan pasti mengenali lelaki berusia 43 tahun ini yang sudah banyak kali mengharumkan nama negara dalam sukan bina badan.

Sudah banyak kejayaan diraih. Terbaru, anak kelahiran Johor itu merangkul gelaran juara dunia kelimanya setelah menjuarai kategori ‘bantamweight’ pada Kejohanan Bina Badan Persekutuan Bina Badan dan Sukan Tubuh Dunia (WBPF) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Meskipun baru bergelar juara, Sazali semakin bersemangat menjalani latihan untuk menghadapi WBPF yang akan diadakan di Varanasi, India pada Oktober ini.

Sazali yang memiliki koleksi gelaran juara dunia yang diadakan di Melaka (2000); Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006) dan Jeju Island, Korea Selatan (2007) dan Dubai (2009) mengharapkan doa rakyat Malaysia bagi mengekalkan kejuaraan dunia kali keenam itu nanti.

Sazali yang berpangkat Sarjan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memulakan persiapan awal sejurus selepas pulang dari Teheran, Iran dengan membawa kemenangan sebagai Mr. Asia pada Kejohanan Bina Badan Asia di negara terbabit.

Temubual untuk ruangan Gaya Polis ini dibuat ketika beliau sibuk dengan sesi latihannya di Pusat Sukan PDRM di Bukit Aman, baru-baru ini.

Melihat sendiri kesungguhan dan kegigihan Sazali berlatih, ianya sungguh mengkagumkan. Walaupun menjalani ibadah puasa, ia bukan satu alasan buat Sazali untuk berehat.

Semangatnya yang berkobar-kobar antara resipi kejayaan yang telah diperolehinya sebelum ini.

“Saya menjalani latihan dan senaman yang konsisten selama tiga jam pada sebelah pagi dan tiga jam lagi pada sebelah petang setiap hari.

“Amalan pemakanan yang betul amat penting. Dalam tempoh tiga bulan sebelum kejohanan, saya elakkan mengambil makanan berminyak, berlemak atau mengandungi gula. Teknik masakan hanya terhad kepada rebus atau bakar sahaja.

“Selain itu, saya mengambil pelbagai jenis vitamin sebagai makanan tambahan. Kos pemakanan saya mencecah RM3,000 sebulan yang dipantau oleh pakar pemakanan peribadi, Ahmad Zawawi Zakaria,” katanya.

Pada kejohanan di India nanti, Sazali bakal berdepan dengan barisan pencabar utama dari negara Thailand, Mynmar, Indonesia dan Vietnam.

“Perkara yang paling utama dalam pertandingan seperti ini ialah kekuatan minda dan psikologi.

“Pada masa ini, saya banyakkan berdoa, berserah diri pada Allah dan mohon perlindungan daripada segala kejadian yang tidak diingini berlaku sebelum dan semasa pertandingan. Doa adalah senjata terbaik orang Islam,” jelasnya.

Sazali menyatakan, beliau belum mencapai kepuasan yang sebenar dalam bidang tersebut. Malah, jelasnya ilmu sukan bina badan yang dipelajari ketika berada di California, Amerika Syarikat pada 2006 belum diaplikasi sepenuhnya.

Katanya lagi, pengalaman manis yang sukar dilupakan ialah ketika merangkul gelaran Atlet Bina Badan Terbaik serta gelaran Mr. Universe pada kejohanan melihat seluruh negara-negara di Asia yang diadakan di Melaka pada 2000.

Malah, pada tahun yang sama juga beliau dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

Tiada siapa yang menyangka atlet bina badan itu pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahannya dulu.

“Agak menggelikan hati jika dikenang zaman sekolah. Tubuh saya yang kecil menjadi usikan rakan-rakan sekolah.

“Minat saya dalam bidang ini mula timbul selepas melihat kejayaan jaguh bina badan, Datuk Malek Noor. Dia benar-benar menjadi inspirasi saya untuk menjadi sepertinya,” katanya lagi.

Sazali memulakan langkahnya dengan mengangkat besi-besi buruk yang diambil daripada bengkel rakannya selain menghasilkan `dumb bell’ sendiri dengan menggunakan simen dan tin milo.

Langkahnya bertambah lancar apabila beliau dan rakan-rakan mula mengunjungi Pusat Sukan PDRM pada tahun 1988.

Jelas Sazali, bakatnya mula disedari oleh Pengurus Pasukan Bina Badan PDRM, Deputi Supritendan Roslan Ahmad.

“Dia menghampiri saya ketika sedang bersenam. Saya tidak akan lupa kata-katanya dulu, dia kata saya ada potensi untuk jadi jaguh bina badan,” katanya yang menyertai PDRM pada tahun 1992.

MEMEY - NORMAN Bertunang Raya Keempat

Akhirnya pasangan merpati sejoli ini sepakat mengikat percintaan mereka kepada ikatan pertunangan. Berita gembira ini diakui sendiri oleh Memey ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Skop Production.

“Memey dan abang Norman sepakat bertunang pada raya keempat (13 September) nanti di Kota Tinggi Johor.

“Keputusan ini dibuat last minute. Abang Norman ajak Memey bertunang beberapa hari lepas dan mungkin tak sampai setahun kami ikat.

"Mungkin awal tahun depan hari bahagia itu bakal menjelang. Semuanya bergantung pada perbincangan antara keluarga kami nanti.

“Sekarang Memey terkejar-kejar nak siapkan hantaran dan fokuskan kepada majlis itu nanti. Insyaallah Memey sudah bersedia bergelar isteri dan ibu kepada anak-anaknya,” ujar Memey tidak pasti sama ada anak-anak Norman bakal turut serta pada majlis bermakna itu nanti.

Ini bermakna Memey dan Norman Hakim bakal beraya sebagai tunangan orang pada Raya Aidilfitri ini. Dengar kata baju raya pun sudah ditempah sedondon berwarna merah.

Aida-Farid nikah 4 September ini

Pelakon Aida Aris akan menamatkan alam janda dengan jejaka pilihan, Husrafid Sheikh Ali @ Sheikh Hussein pada 4 September ini. Aida baru menjemput kawan-kawan dan keluarga ke majlis pernikahan yang akan diadakan di rumah keluarganya di Ulu Klang bermula hari ini.

"Sekarang tengah kelam-kabut kerana Aida hanya ada masa seminggu sahaja untuk membuat persiapan. Sejak sebulan lalu kami berurusan mempersiapkan segala dokumen yang diperlukan. Baru beberapa hari ini segalanya selesai.

"Bila dah selesai kami segera mencari tarikhnya sebab itu nampak tergesa-gesa," kata Aida kepada Mangga Online.

Hatinya mudah terbuka menerima Farid.

Aida mula berkenalan rapat dengan peramugara berstatus duda dari Pulau Pinang itu sejak Februari lalu dan tidak mengambil masa panjang untuk menyatakan `ya' apabila lelaki itu mengajak kahwin. Perkahwinan ini ialah perkahwinan kedua bagi pasangan tersebut.

Semua maklum Aida pernah bercinta panjang dengan lelaki lain sebelum ini namun mereka tidak berjodoh dan hubungan berakhir di tengah jalan.

Apa agaknya keistimewaan yang ada pada Farid sehingga cepat membuka pintu hati Aida untuk kembali bergelar isteri?

"Ini semua ketentuan Allah. Apabila hati kita terbuka... ia akan terbuka, tak kiralah berapa lama hubungan kita dengan seseorang," jelas Aida.

Tak sembunyi majlis nikah

Ragam Manusia Dalam ESTET

Bukan senang dapat melihat pelakon kacak, Farid Kamil menari dan menyanyi lagu Tamil dan kini anda berpeluang melihatnya sendiri dalam filem ESTET.

Kali terakhir kita dapat melihat babak nyanyian dan tarian begini mungkin pada zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Namun Mamat Khalid cuba menyuntik perubahan ke dalam industri perfileman tanah air.

"Banyak objektif yang mahu ditonjolkan dan saya harap penonton gembira melihat keakraban yang dipersembahkan antara watak dalam Estet. Saya mahu tonjolkan budaya masyarakat Malaysia yang masih ramai tidak mahu mengambil tahu mengenainya.

"Manusia memang banyak ragamnya tapi hubungan kita sebenarnya sangat rapat secara semulajadi. Cara kita dibesarkan selalunya akan mempengaruhi cara kehidupan dan itulah yang dipaparkan dalam Estet. Banyak metafora dan sinikal dan anda orang yang lebih layak memberi nilai kepada hasil karya saya.

"Saya sengaja tonjolkan secara slapstik kerana sememangnya cara itu yang dapat menghiburkan. Seboleh-bolehnya saya elakkan jalan cerita yang klise kerana nilai filem itu terlalu artistik. Sebab itu saya lebih menitikberatkan hasil kerja yang diperlukan, bukan mengikut selera penonton. Sebab itu harapan saya untuk filem ini sangat tinggi," ujar Mamat Khalid terhadap filem yang menelan belanja RM1.9 juta ini.

Estet memaparkan kehidupan Estet Cinta Manis yang didiami penduduk berbilang kaum dan hidup aman harmoni. Penindasan Pooniah dan Junna (Shoffi Jikan) menimbulkan kemarahan Farid (Farid Kamil) dan Sashi (Shashi Tharan) lantas kedua-duanya telah bersetuju untuk bertarung dalam perlawanan bola sepak dengan Estet Red Cobra.

Banyak sindiran dan isu semasa yang cuba dibangkitkan melalui filem ini antaranya industri hiburan, prestasi bola sepak yang semakin merudum, jenayah dan banyak lagi. Tidak kurang juga aksi lawak pecah perut yang pastinya satu kewajiban dalam setiap filem arahan Mamat Khalid.



"Harapan saya tinggi dan saya benar-benar yakin dengan Estet. Bukan untuk mendabik dada namun saya harus banggakan hasil kerja seni sendiri. Estet dibuat bukan untuk dihantar ke festival filem, namun ianya dibuat untuk citarasa Malaysia.

"Banyak teladan yang tidak ditunjukkan secara langsung dalam filem ini dan saya benar-benar berharap agar penonton faham isi tersirat yang cuba disampaikan. Setelah menyempurnakan filem ini, saya dapat menyimpulkan walau sejahat mana pun seseorang itu, tetap akan ada kasih sayang yang tertanam dalam dirinya," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Estet di Brem's Mall, Kepong.

Filem ini dibintangi Farid Kamil, Shashi Tharan, Shoffi Jikan, Jasmin, Gandii Nathen, Kamarul. Mislina Mustaffa dan penampilan istimewa Datuk David Arumugam dan Rosyam Nor. Saksikan filem terbitan Naga VXS Sdn Bhd ini bermula 4 November 2010 ini.

Zaiton beraya dengan keluarga angkat


TAHUN ini Zaiton Sameon beraya di rumah keluarga angkatnya di Beranang, Selangor.


TAHUN 1990 menyaksikan tragedi dalam hidup penyanyi popular Zaiton Sameon apabila dia terbabit dalam nahas jalanraya sehingga meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun.

Sejak saat itu, setiap kali tibanya Syawal penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu meraikan hari mulia itu dengan ibu bapa dan sanak keluarganya biarpun peristiwa tersebut sukar dilupakannya sehingga kini.

Bagaimanapun selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun selepas itu dan diikuti bapanya, Sameon Yusuf yang kembali ke rahmatullah pada 2003 jiwa Zaiton seakan-akan bertambah pilu setiap kali tibanya Hari Lebaran.

Mujurlah kata Zaiton, dia mempunyai sebuah keluarga angkat yang menganggapnya sebagai ahli keluarga sendiri dan sudi meraikan Hari Raya Aidilfitri dengannya pada setiap tahun selepas ibu, bapa dan anaknya pergi menemui Illahi.

“Saya sudah tidak ada lagi orang-orang yang tersayang dalam dunia ini. Mujurlah saya ada keluarga angkat yang tinggal di Beranang, Selangor. Anak keluarga angkat saya itu, Rahim Adam juga merupakan pengurus saya.

“Dulu setiap kali raya saya mesti balik rumah ibu bapa saya di Kampung Tanjung Sena Hilir, Rembau, Negeri Sembilan. Adik-beradik saya sudah berkeluarga. Kini dengan keluarga angkat sayalah tempat saya mengadu nasib,” katanya.

Menurut Zaiton, sejak kematian anaknya 20 tahun lalu dia hanya membuat persiapan ala kadar setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuklah dengan membeli kuih muih dan pakaian raya untuk keperluannya sahaja.

Kata Zaiton, istilah beraya sakan atau membuat persiapan raya paling meriah hanya dilalui semasa anaknya masih hidup apatah lagi ketika itu dia sedang berada di zaman kemuncaknya sebagai penyanyi dalam persada seni suara tanah air.

“Saya masih ingat lagi pada ketika itu adakalanya sebelum menyambut raya, saya dan arwah anak saya akan pergi hingga ke Singapura untuk membeli-belah. Ketika itu Singapura terkenal dengan fesyen-fesyen pakaian terkini.

“Apatah lagi, anak saya pula suka fesyen-fesyen pakaian yang terkini. Saya pula setiap kali bulan puasa akan berehat sekejap daripada menerima undangan menyanyi. Kalau adapun tawaran yang diterima untuk majlis-majlis anjuran VIP.

“Sebab itu dulu semasa anak saya masih ada saya ada banyak masa untuk membeli-belah atau membuat persiapan raya bersama-samanya. Tetapi sekarang ini saya seorang dan ia hanya tinggal kenangan sahaja,” ujarnya.

Mujurlah katanya, keluarga angkatnya itu bukan sahaja sudi menerimanya tetapi pada masa sama terus memberi galakan kepadanya bagi meneruskan karier sebagai penyanyi dan juga pelakon sejak kebelakangan ini.

Zaiton Ceritaku merupakan filem terbaru yang menyelitkan Zaiton sebagai pelakon dalam filem arahan Fauziah Nawi itu yang memaparkan tentang perjalanan hidupnya selepas tragedi yang menimpanya dua dekad lalu.

“Saya masih menyanyi kalau ada tawaran pada majlis makan malam atau kenduri kahwin. Zaiton Ceritaku adalah filem terbaru saya. Walaupun watak saya kecil dalam filem itu tetapi jalan ceritanya adalah tentang diri saya.

“Ini bukan kali pertama saya berlakon tetapi sebelum ini iaitu pada 1989 saya juga pernah berlakon dalam filem Hati Bukan Kristal.

“Saya akan terus berlakon kalau ada tawaran tetapi keutamaan lebih kepada menyanyi,” katanya.

Pada pertemuan dengan Hits pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Karyawan Malaysia itu, Zaiton telah diundang menghiburkan para tetamu yang cukup terhibur dengan persembahannya yang mengimbas nostalgia zaman lampaunya.

Biarpun adakalanya terlupa lirik tetapi gaya persembahan dan suara Zaiton masih utuh semasa dia menyanyikan lagu popularnya berjudul Menaruh Harapan yang terus diminati ramai termasuklah kalangan generasi baru.

AXN Beyond janji yang terbaik


Voo Chih Yeong (kanan) bersama Naib Presiden Kumpulan Pengurusan Kandungan Astro, Agnes Rozario pada pelancaran AXN Beyond HD di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.


JULUNG kalinya sebuah saluran bahasa Inggeris, AXN Beyond HD (saluran 720, Astro) diperkenalkan hanya di Malaysia mengisi kehendak penonton yang inginkan pelbagai rancangan yang lebih segar.

Saluran yang memulakan tayangannya semalam (30 Ogos) pada pukul 12 tengah malam merupakan sebuah lagi saluran tambahan pakej Astro Beyond yang diperkenalkan tidak lama dahulu.

Saluran yang padat dengan filem, drama dan rantaian kegemaran antarabangsa itu direka khas bagi menepati cita rasa pelanggan-pelanggan Astro yang semakin meningkat.

Perkongsian Astro dan SPE Networks - Asia ini turut menawarkan dua program eksklusif yang bakal ditayangkan setiap bulan.

Program-program pelbagai genre yang ditawarkan termasuklah misteri dan suspens, fantasi dan sains fiksyen, paranormal dan luar biasa, fesyen dan rekaan serta gaya hidup dan romantik.

Ini termasuklah drama, program realiti, sitkom, program hiburan dan bual bicara.

Naib Presiden Kanan dan Ketua AXN Beyond, Voo Chih Yeong pada majlis pelancaran saluran itu yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, saluran itu merupakan sebuah lagi kandungan yang meliputi pakej Astro Beyond.

“Sasaran kita ialah penonton dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun.

“AXN sebelum ini merupakan antara saluran yang mendapat perhatian di negara ini. Dengan AXN Beyond HD, kami sekali lagi memperkenalkan corak hiburan bermutu tinggi dan unggul di Malaysia di mana penonton bukan hanya memperoleh hiburan malah, isi kandungan yang menarik.

“Kami melihat kepada potensi yang meluas untuk produk ini. Oleh itu, kami merangka hampir setahun lamanya untuk melancarkan AXN Beyond HD selepas kejayaan AXN HD,” katanya.

Antara rancangan yang telah disenaraikan bersiaran menerusi AXN Beyond HD ialah rantaian hit antarabangsa, Lost musim terakhir (setiap Isnin pukul 9 malam) dan siri aksi paranormal, Supernatural (Selasa, 9 malam).

A. Razak arah filem raya 2011


ROSNAH Mat Aris (depan) yang melakonkan watak wanita bersuara sengau banyak menggeletek hati para penonton.


RAMAI penerbit dan pengarah yang berlumba-lumba memilih tarikh pada cuti musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun bagi menayangkan filem masing-masing di pawagam seluruh negara.

Ini kerana, pada waktu itu ramai yang sedang bercuti dan mempunyai waktu terluang sambil mencari hiburan dengan menonton filem-filem Melayu terbaru yang sedang ditayangkan di pawagam-pawagam.

Bagaimanapun, sejak sekian lama belum ada satu filem Melayu berkonsepkan Hari Raya yang diterbitkan oleh para penerbit serta ditayangkan di pawagam setiap kali tibanya musim cuti Hari Lebaran di negara ini.

Menyahut cabaran itu, pengarah prolifik, Prof. Madya A. Razak Mohaideen membayangkan dia akan mengarahkan sebuah filem bertemakan Hari Raya pada tahun depan yang kini sedang dalam proses pembikinannya.

“Saya bercadang untuk mengarahkan sebuah filem berjudul Raya Tak Jadi pada 2011,” katanya.

Beliau membayangkan perancangannya itu pada majlis pratonton filem komedi ke-14 arahannya yang berjudul 4 Madu terbitan Line Clear Motion Pictures di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya filem berkonsepkan Hari Raya yang ditayangkan semasa musim perayaan bukan sahaja lebih sesuai dan dekat dengan penghayatan para penonton tetapi ia juga boleh mempelbagaikan lagi genre filem tempatan.

“Selain konsep atau tema yang sesuai dengan keadaan semasa, filem genre komedi juga antara yang paling mendapat sambutan para penonton setiap kali ia ditayangkan sama ada di pawagam atau televisyen.

“Sebagai contohnya, pada tahun lalu daripada kajian 100 rancangan Hari Raya yang ditayangkan di televisyen, filem arahan saya, Sifu dan Tongga paling mendapat sambutan sewaktu tayangannya di televisyen,” katanya.

4 Madu yang merupakan filem komedi ke-14 arahan A. Razak daripada lebih 30 filem arahannya itu diharap dapat menarik segenap lapisan masyarakat termasuklah golongan dewasa supaya menontonnya di pawagam.

Bukan setakat komedi ringan, tetapi filem lakonan Saiful Apek dan lapan lagi pelakon wanita popular tanah air itu turut mengungkap poligami yang digarap dalam keadaan santai tetapi penuh dengan mesej tersirat.

“Dalam filem ini saya cuba memaparkan pelbagai isu di sebalik lapan wanita yang hidup bermadu. Setiap mereka mempunyai permasalahannya yang juga berbeza. Dalam isu ini ramai yang salahkan lelaki apabila bercerai.

“Pada masa sama, saya cuba mengungkap bahawa perkahwinan mereka semuanya bersebab. Misalnya, ada wanita yang sanggup bermadu kerana menjadi anak dara tua atau kerana mengejar harta,” ujarnya.

Difahamkan filem komedi satira hasil kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dan Berjaya Film Production yang akan mula ditayangkan 1 Syawal ini di seluruh negara banyak melakukan kajian sebelum ia diarahkan oleh A. Razak.

Menurut Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah, A. Razak telah menggunakan kumpulan fokus yang terdiri daripada para pelajar perfileman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi tujuan tersebut.

Saiful Apek yang digandingkan dengan Fasha Sandha, Sazzy Falak, Rozita Che Wan dan Rosnah Mat Aris tidak menafikan berdepan dengan pelbagai cabaran apabila berlakon dengan lapan pelakon wanita dalam filem dengan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.5 juta itu.

“Dalam 4 Madu saya melakonkan watak Azlan dan Azrul adik beradik yang seiras. Tetapi bergandingan dengan lapan wanita yang berbeza karekter menambahkan lagi cabaran dan kelainan dua watak yang saya lakonkan itu,” ujarnya.

Tiada Wahid bukan halangan


ANTARA babak menarik yang dipaparkan dalam filem Senario Asam Garam.


TRIO Azlee, Wahid dan Mazlan memang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Melihat kepada kelibat mereka bertiga, pantas sahaja nama Senario yang bermain di minda.

Sejak dicungkil bakat lawak mereka sekitar tahun 1995 menerusi rancangan pencarian bakat baru Sinaran Pasport Kegemilangan, ketiga-tiga mereka merupakan tiga daripada lima anggota asal kumpulan itu yang masih bertahan.

Dua lagi anggota kumpulan itu ialah Hamdan dan Ilya bagaimanapun, mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Di bidang lakonan, bukan hanya sitkom, malah filem-filem yang sebelum ini berteraskan nama Senario bagaikan menjadi perkara wajib dijayakan oleh mereka.

Filem-filem yang dijayakan oleh mereka sebelum ini termasuklah Senario The Movie, Senario Lagi, Lagi-Lagi Senario, Senario - Lang Buana dan Senario - Pemburu Emas Yamashita.

Di bawah penerbitan Metrowealth Pictures (MIG) dengan usahasama The 8 Unit (Primeworks Studios), sekali lagi Senario muncul dengan filem terbaru, Senario Asam Garam.

Filem arahan Prof. Hatta Azad Khan itu dijadualkan menjengah pawagam pada hari raya Aidilfitri ini dan pastinya menjanjikan paparan yang lebih segar lagi menghiburkan.

Selain Senario (Azlee Jaafar dan Mazlan Pet Pet), barisan artis lain yang turut menjayakan filem tersebut ialah Zaibo, Sathiya, Julia Hana, Fimie Don, Nadia Mustafar dan Adeline Tsen.

Namun, apa yang menjadi persoalan mengapakah Senario Asam Garam kali ini hanya menampilkan Azlee dan Mazlan sedangkan kebiasaannya mereka tampil bertiga.

Bukan kerana sengketa mahupun timbul sebarang konflik di antara mereka sebaliknya, jelas Azlee dan Mazlan ketika ditemui pada majlis pratonton filem itu di Cathay, Cineleisure baru-baru ini memberitahu, Wahid ketika sesi penggambaran dilakukan terikat dengan komitmen lain.

“Pada awalnya Wahid memang sama-sama berlakon dalam filem ini. Namun disebabkan tarikh dan jadual rakaman tidak bersesuaian dengan jadual Wahid maka tempat dia digantikan dengan Zaibo.

“Ketiadaan Wahid mungkin tidak 100 peratus menyerlahkan identiti Senario kali ini, bagaimanapun Zaibo telah memainkan peranan yang cukup baik.

“Zaibo berjaya tonjolkan watak jahat (Asam) dengan baik dan itulah yang saya rasa cukup memberangsangkan,” kata Azlee.

Biarpun tanpa kehadiran Wahid, ada kelainan yang ditonjolkan oleh dua anggota Senario itu dalam lakonan mereka kali ini.

Selain watak yang lebih menyerlahkan karakter lakonan mereka, elemen komedi ditonjolkan sebaik mungkin menerusi watak Garam (Mazlan) dan Pak Adam (Azlee).

Hatta ketika ditemui selepas majlis yang sama memberitahu gandingan Senario, Zaibo dan Sathiya berjaya mencipta kelainan dalam membentuk komedi yang berbeza.

Tidak terlalu terikat dengan skrip, kebebasan memainkan peranan yang diberi oleh Hatta kepada barisan pelakon ternyata banyak menyokong jalan cerita filem tersebut.

“Saya sentiasa yakin mereka mampu membawakan watak dengan baik apatah lagi, Mazlan dan Azlee kali ini mengakui pertama kali diberi watak yang lebih mencabar.

“Senario Asam Garam masih lagi fokus tentang Senario, cuma apa yang boleh kita lihat menerusi filem ini ialah Senario yang berbeza daripada sebelum ini,” katanya yang telah lama menyimpan hasrat mengarahkan filem komedi yang melibatkan Senario.

Sudah sedia bergelar isteri


KATA Marion, biarpun jarak usia antara dirinya dan Nasaruddin adalah tiga tahun, ia bukanlah masalah buat mereka.


KETIKA kisah hubungan cintanya mula dihidu oleh pihak media, jelitawan ini agak keberatan untuk berkongsi cerita. Apabila diminta mengulas, jawapan yang diberikannya cukup ringkas dan sesekali disulami ketawa manja bagai memberi tanda dia enggan mendedahkan segala-galanya.

Alasan Marion Caunter mudah. Dia tidak mahu menanggung malu kalau hubungannya itu tidak menjadi. Katanya, bimbang diketawakan orang.

Tetapi, itu kisah setahun yang lalu. Hari ini, kalau ditanya tentang cerita cintanya itu, Marion sudah tidak lagi mampu untuk bersembunyi.

Hakikatnya, kisah cinta Marion dengan usahawan muda, SM Nasaruddin SM Nasimuddin bukan lagi satu rahsia.

Barangkali Marion dan Nasaruddin mengambil keputusan untuk merahsiakan hubungan mereka selama lima tahun itu selepas mengambil kira beberapa faktor.

Apatah lagi dengan kedudukan Nasaruddin sebagai anak kepada tokoh konglomerat terkemuka negara, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin membuatkan mereka perlu berhati-hati dengan perhubungan mereka.

Malah, Marion sendiri tidak menidakkan kebenaran itu apabila dia memberitahu semuanya ada kaitan dengan status Nasaruddin sendiri.

“Lima tahun bercinta sebenarnya bukan satu perjalanan yang mudah untuk saya dan Nasaruddin.

“Kami perlu menjaga hati banyak pihak terutama keluarga dan saya akui, semua itu hanya berlaku beberapa tahun di awal perhubungan kami.

“Tetapi, lama-kelamaan, semuanya berubah dan selepas lima tahun menjalinkan hubungan, sudah tiba masanya untuk kami mengumumkannya.

“Lebih-lebih lagi, kami akan mendirikan rumah tangga bulan Disember ini dan tiada apa yang perlu disorokkan lagi,” jelas Marion dalam nada ceria ketika dihubungi Hits, baru-baru ini.

Namun, Marion dan Nasaruddin masih belum menetapkan tarikh pernikahan mereka.

Membicarakan tentang hubungan mereka yang dirahsiakan sebelum ini, personaliti kelahiran Pulau Pinang ini berkata, dia perlu menghormati permintaan Nasaruddin yang tidak mahu menjadikan perhubungan mereka sebagai bahan sensasi.

Alasannya, biarlah hanya Marion sahaja yang melibatkan diri dalam dunia seni dan dia sendiri enggan terkena tempias glamor.

Katanya lagi, sebagai seorang ahli perniagaan, Nasaruddin perlu menjaga reputasinya dan untuk itu, jelas Marion, dia harus akur, bertolak ansur serta menghormatinya.

Selama lima tahun berpacaran, kedengaran juga hubungan mereka tidak direstui oleh keluarga kedua belah pihak atas faktor agama dan latar belakang.

Menjawab persoalan itu, Marion atau nama sebenarnya, Marion Rose Caunter tidak menafikan hal itu.

“Memang sukar pada mulanya untuk menyakinkan kedua-dua belah pihak apabila kami mula serius menjalinkan hubungan.

“Sebenarnya, kami bukannya mendapat tentangan hebat seperti mana yang disangka. Cuma, keluarga masing-masing tidak bersetuju dengan hubungan kami.

“Mana tidaknya. Kami berlainan agama dan sudah pasti, banyak perkara yang harus diambil kira. Tetapi, selepas menyakinkan mereka, akhirnya mereka menerima hubungan kami dan membantu melancarkan lagi persiapan perkahwinan kami,” cerita bekas pengacara 8TV Quickie dan One In A Million selama tiga musim ini lagi.

KWSP ceburi pelaburan hartanah RM4.9b di UK

pix_gal0
Pulangan jangka panjang dijangka antara enam, tujuh peratus

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pelaburan jangka panjang berjumlah 1 bilion pound (kira-kira RM4.9 bilion) dalam sektor hartanah di United Kingdom (UK) yang dijangkakan memberikan pulangan antara enam dan tujuh peratus.Agensi pengurusan dana pencen itu memilih UK sebagai destinasi bagi pelaburannya dalam sektor itu disebabkan pasaran hartanahnya yang stabil serta aset hartanahnya yang mudah dijual bagi mendapatkan tunai.
Selain itu, UK juga adalah antara pasaran hartanah terbesar dunia dan mempunyai undang-undang tanah yang kukuh yang dapat melindungi kepentingan pemilik tanah, manakala London adalah pusat perkhidmatan bagi pasaran hartanah Eropah.

Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata KWSP melantik ING Real Estate Investment and Management dan bahagian pengurusan hartanah Deutsche Bank, RREEF sebagai perunding dan penasihat bagi pelaburannya itu menerusi satu tender terbuka.

Namun, katanya, di sebalik membuat pelaburan di luar negara, KWSP tetap meneroka peluang pelaburan dalam sektor hartanah di Malaysia.

“Ketika ini, KWSP antaranya mempunyai pelaburan dalam bangunan Sogo, Wisma KFC, Pusat Latihan MAS, rangkaian pasar raya Giant dan cawangan CIMB,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau berkata, peruntukan KWSP bagi pemilikan strategik dalam aset hartanah adalah sekitar lima peratus, tetapi ketika ini jumlahnya belum mencapai satu peratus.

“Justeru, adalah menjadi hasrat kami untuk meningkatkan peratusan itu. Malah, jika mengambil kira pelaburan terbaru di UK itu pun, peratusannya masih jauh di bawah jumlah peruntukan KWSP bagi pemilikan strategik aset hartanah,” katanya.

Sebagai pengurus dana pencen, KWSP katanya, sentiasa mengamalkan dasar pelaburan berhemah dan berisiko rendah.

“KWSP sangat mementingkan kepatuhan kepada dasar peruntukan aset strategik yang diwujudkan bagi memastikan ia dapat mengekalkan pulangan pelaburan yang konsisten dalam jangka panjang,” katanya.

Setakat ini, KWSP katanya, berjaya mengamalkan pengurusan risiko yang berkesan dan baik yang sentiasa diteliti secara kerap bagi memastikan keberkesanannya dalam melindungi pelaburan.

“Amalan ini dapat membantu KWSP memastikan strategi pelaburannya sentiasa bergerak seiring dengan senario ekonomi domestik dan global,” katanya.

Bantuan RM450, tambang RM500

 Pekan Long Lama tidak mempunyai kemudahan ATM menyukarkan penduduk untuk mendapatkan wang dan terpaksa ke Miri.
Pekan Long Lama tidak mempunyai kemudahan ATM menyukarkan penduduk untuk mendapatkan wang dan terpaksa ke Miri.
Tiada mesen ATM punca penduduk Baram, Bario dan Mulu sukar dapat wang

MIRI: Elaun sara hidup diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya antara RM60 hingga RM450 sebulan, tetapi kos pengangkutan terpaksa ditanggung untuk ke bank bagi menuntutnya pula antara RM200 hingga RM500.Itulah nasib 200 golongan kurang upaya dan warga tua dari kawasan Baram, Bario dan Mulu di utara Sarawak setiap bulan, apabila mahu mengeluarkan elaun yang diberikan jabatan itu daripada bank ditetapkan.
Bagi perjalanan dari semua penempatan di tiga kawasan itu, penerima bantuan sara hidup terpaksa membelanjakan sebahagian besar daripada wang sumbangan ke bank di Marudi, Miri atau Lawas.

Ketua masyarakat di kawasan Baram dari Kampung Ramapuh, Philip Lakai, berkata walaupun memperoleh bantuan elaun sara diri daripada JKM setiap bulan ia tidak memberi manfaat kepada penerimanya.

“Tidak berbaloi bagi penerima yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mengeluarkan elaun sara hidup setiap bulan sama ada di Miri, Marudi dan Lawas.

“Kos pengangkutan begitu tinggi dan mahal. Mereka perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda, membayar tambang bot atau menaiki pesawat untuk mengeluarkan wang bantuan di bank,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, tiada institusi kewangan atau mesin pengeluar wang automatik (ATM) berhampiran penempatan penduduk terbabit.

Bagi penerima elaun sara hidup di Mulu, katanya, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakan bot panjang sehari suntuk ke Marudi atau menggunakan pesawat ke Miri jika ingin mengeluarkan wang berkenaan.

“Situasi sama turut dialami penduduk di tanah tinggi Bario yang bergantung kepada pengangkutan udara sama ada ke Miri atau Lawas, manakala bagi penerima di kawasan Baram, mereka terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa lima hingga enam jam untuk sampai ke Miri. Ia bergantung kepada keadaan jalan balak yang digunakan,” katanya.

Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Eda Beran, Baram, Elizabeth Deng, berkata Bario, Mulu dan Baram memerlukan kemudahan ATM untuk memudahkan mereka mengeluarkan wang mereka.

Deng yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan berkata, sebelum ini pihaknya bekerjasama dengan JKM untuk menghantar elaun bantuan itu kepada penerima di Baram, namun kini ia sudah dihentikan.

“Kami tidak dapat mengharapkan JKM menghantar elaun setiap bulan kerana kos pengangkutan amat tinggi. Di kawasan Tutoh Apoh saja misalnya, penerima elaun datang dari 10 kampung berasingan yang terletak berjauhan,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya Long Lama, pekan paling dekat dengan penduduk Baram disediakan dengan kemudahan ATM bagi memudahkan mereka mengeluarkan wang.
Selain Long Lama, beliau mencadangkan kemudahan yang sama di Bario dan Taman Negara Gunung Mulu.

“Sebelum ini saya sudah berbincang dengan sebuah bank, dan setakat ini masih menunggu maklum balas. Ada bank yang berminat untuk memasang mesin ATM di Taman Negara Gunung Mulu. Malah, pihak pengurusan Mulu sedia memberi kerjasama,” katanya.

Deng berkata, Pergerakan Wanita PBB akan terus mencari pendekatan terbaik menyediakan mesin ATM bagi memudahkan penerima mengeluarkan wang mereka, selain bagi kegunaan penduduk di kawasan terbabit.

Setin biskut buat ibu ayah

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tidak mengenang budi apabila sanggup mengumpan ibu bapanya yang tinggal di sebuah rumah jagaan di sini, dengan setin biskut untuk memujuk mereka supaya jangan pulang ke rumah sempena Aidilfitri nanti, sebaliknya mahu mereka menyambut 1 Syawal di pusat jagaan itu.

SEDIH...pasangan warga emas terbabit  di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
SEDIH...pasangan warga emas terbabit di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
Pada mulanya, kehadiran anak lelaki berusia 40-an itu disambut gembira pasangan warga emas berkenaan kerana menyangka mahu membawa mereka pulang menyambut hari raya bersama di rumahnya, tetapi lain pula berlaku.

Lelaki tidak mengenal budi itu sebaliknya memujuk ibu bapanya supaya beraya di pusat jagaan itu, malah enggan mendengar rintihan orang tuanya supaya tidak diperlakukan sedemikian.

Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin, berkata kisah sedih pasangan penghuni pusat jagaan warga emas itu mengakibatkan kakitangan di situ terkilan dengan perangai lelaki terbabit.

Menurutnya, anak pasangan berkenaan yang tinggal di luar bandar raya ini mendakwa dia sibuk pada Aidilfitri nanti sebagai alasan tidak dapat membawa pulang orang tuanya beraya di rumah.

“Hanya Tuhan mengetahui kegembiraan pasangan itu apabila melihat kelibat anak yang disangka mahu menjemput mereka pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.“Namun, anak tunggal pasangan itu yang hidup senang seolah-olah tidak berminat membawa mereka pulang sebelum menyerahkan buah tangan iaitu setin biskut bagi mengubati luka hati mereka.


“Ibu bapa mana tidak mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sudahlah anak itu tidak menjenguk mereka lebih setahun, malah turut tidak mengambil tahu hal mereka,” katanya yang menambah lelaki itu juga hanya meluangkan masa kurang 10 minit bersama kedua-dua orang tuanya.

Menurut Norijah, berikutan kebanyakan warga emas di pusat jagaan itu diabai keluarga, mereka akan meraikan Aidilfitri bersama keluarganya yang menganggap penghuni di situ sebagai ibu dan bapa angkat.

Menurutnya, kebanyakan mereka hanya menangis mengenangkan nasib terpaksa berjauhan keluarga biarpun masih mempunyai waris.

“Sempena Aidilfitri ini, kami berharap waris warga emas yang mendapatkan perlindungan di sini datang berkunjung bagi menggembirakan mereka.

“Bukan hadiah mahupun wang kehendak mereka, tetapi kasih sayang,” katanya sambil memberitahu 64 warga emas mendapatkan perlindungan di dua cawangan pusat jagaan berkenaan.

Kelmarin, penghuni pusat jagaan itu menerima kunjungan 18 pelajar luar kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai Program Masih Ada Yang Sayang.

Mereka bergotong-royong membersih dan mengecat sebahagian bangunan pusat jagaan dan menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dan barangan keperluan kepada warga emas.

Ikatan cinta Memey

KUALA LUMPUR: Walaupun perbicaraan kes khalwat mereka di mahkamah belum selesai, pasangan pelakon popular, Mohd Nor Hakim Zaidon (Norman Hakim), 34, dan pelakon Suhaiza Suhaimi (Memey), 22, mengambil keputusan mengakhiri spekulasi hubungan mereka sebelum ini banyak berteka-teki dengan ikatan pertunangan.

Ketika dihubungi Memey dalam nada ceria berkata, keluarga kedua-dua pihak setuju mengadakan majlis pertunangan itu pada hari raya keempat di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Merpati dua sejoli ini saling mengenali lebih dua tahun lalu dan khabarnya cinta mula berputik ketika berlakon bersama dalam drama Pasrah.

“Minggu lalu saya dan Norman balik ke kampung saya dan keluarga mula berbincang mengadakan majlis pertunangan itu. Ikutkan hati saya tak mahu bertunang kerana kami saling memahami dan mengenali hati budi tapi abang (Norman) mahu saya merasai proses dari mula iaitu merisik, bertunang dan baru diijabkabulkan.

“Dia mahu saya melalui semua pengalaman itu. Pada majlis pertunangan itu nanti, baru keluarga kami akan berbincang jumlah hantaran dan tarikh kami akan disatukan. Insya-Allah majlis kenduri dan persandingan akan dilangsungkan awal tahun depan kerana tidak mahu bertunang lama-lama. Sekiranya semua okey, lebih baik disegerakan.

“Untuk majlis pertunangan ini, akan ada dulang hantaran. Berapa jumlahnya... juga dalam perbincangan. Saya akan bertanya kepada emak apa yang patut dibeli sebagai hantaran balas kepada abang.“Saya sekarang masih sibuk di lokasi penggambaran telefilem, Osman Berani dan abang pun sedang berlakon telefilem Sabar. Terpaksalah kami mencuri masa untuk membeli barang hantaran. Urusan kenduri di kampung, saya serahkan kepada emak,” katanya.


Sebelum ini mereka pernah menafikan mempunyai hubungan istimewa sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga Norman Hakim dengan bekas isterinya, Arbaeyah Abdul Manan (Abby Abadi), 32, namun segala khabar angin itu ternyata benar apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di premis perniagaan milik pelakon lelaki kacak itu di Ukay Perdana, di sini, pada 30 Oktober 2008.

Menurut Memey, dia berdebar dan pelbagai perkara menerjah fikiran tetapi sudah bersedia bergelar isteri dan ibu kepada tiga anak Norman hasil perkahwinan bakal tunangnya yang terdahulu.

“Harap segala-galanya berjalan lancar dan dengan pertunangan ini semoga awan mendung akan berarak pergi dari hidup kami berdua untuk memulakan kehidupan baru lebih membahagiakan.

“Beza usia 12 tahun dan pengalaman hidupnya membuat abang lebih matang dan menjadi ketua keluarga yang baik serta dapat membimbing saya. Paling penting kami ada keserasian,” katanya.

Ternyata Syawal ini bermakna buat gadis jelita itu kerana hasratnya berkongsi hidup dengan jejaka dicintai dimakbulkan Allah. Pada hari berbahagia itu, Memey akan mengenakan busana rekaan Ezuwan Ismail dan rona putih menjadi pilihan.

Pilih Disember

KUALA LUMPUR: Selepas kekasih hatinya yang juga personaliti televisyen terkenal, Marion Counter membuka mulut mendedahkan berita perkahwinan mereka, kini SM Nasaruddin SM Nasamuddin yang juga Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza sendiri tampil mengiakan kenyataan itu.

Menurut usahawan muda berusia 27 tahun itu, beliau dan Marion, 30, sudah sepakat memilih Disember depan untuk bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah, namun tarikhnya masih belum diputuskan lagi memandangkan kedua-duanya perlu menyelesaikan beberapa urusan terlebih dulu.

“Kami belum lagi memilih tarikh yang sesuai untuk bergelar suami isteri, tetapi yang pastinya majlis bahagia itu nanti akan berlangsung pada Disember ini di ibu negara.

“Walaupun tiada penetapan tarikh dibuat tapi saya dan Marion sudah bersedia, malah kami bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak merestui perhubungan ini dan mereka juga bersetuju dengan perancangan awal (majlis) yang sudah dibuat setakat ini,” katanya, semalam.

Difahamkan sebelum bergelar isteri kepada Nasaruddin, Marion atau nama sebenarnya Marion Rose Counter akan terlebih dahulu memeluk Islam sekitar bulan depan atau Oktober sebaik selesai menjalani rakaman program E! News Asia dan The Biggest Loser Asia musim kedua.

Akhbar sebelum ini melaporkan kisah pasangan itu yang menyulam kasih selama lima tahun tetapi berjaya merahsiakan perhubungan mereka daripada pengetahuan umum, selain tidak pernah membuat kenyataan rasmi mengenainya.Laporan turut menyebut, Marion yang juga anak kelahiran Pulau Pinang memberitahu media, terpaksa merahsiakan hubungan cinta suci itu atas sebab dan alasan tertentu, khususnya bagi menjaga nama baik kekasih hatinya yang cemerlang dalam dunia korporat.


Katanya lagi, Nasaruddin kurang gemar menggembar-gemburkan hubungan percintaan mereka sebelum keputusan sah dicapai dan mereka bakal melangsungkan perkahwinan selain tidak mahu terkena tempias glamor.

Bagaimanapun, kini kedua-dua pasangan merpati sejoli berkenaan mengambil keputusan mengumumkan berita gembira terbabit bagi mengelak tercetusnya sebarang spekulasi kurang menyenangkan.

Juadah berbuka campur wain

SUBANG JAYA: Entah berapa ramai pelanggan yang sudah ‘terkena’ apabila sebuah restoran makanan Barat yang menganjurkan bufet Ramadan mengaku dengan sengaja mencampurkan arak masakan di dalam hidangan yang disajikan kepada orang ramai.

BUKTI...antara produk mengandungi alkohol yang ditemui di dapur restoran terbabit.
BUKTI...antara produk mengandungi alkohol yang ditemui di dapur restoran terbabit.
TIPU...logo halal Jakim palsu pada menu restoran terbabit.
TIPU...logo halal Jakim palsu pada menu restoran terbabit.
Lebih mengejutkan apabila pemilik restoran turut sewenang-wenang memalsukan logo halal Jakim yang dicetak pada katalog menu bagi meyakinkan pelanggan yang menyangka restoran itu mendapat pentauliahan sijil halal Jakim.


Perbuatan itu dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah restoran makanan Barat di Subang Jaya, di sini.


Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah memeriksa restoran terbabit yang menganjurkan bufet Ramadan.


Sumber Jakim berkata, restoran terbabit sebelum ini mengundang tanda tanya pegawai Jakim dan KPDNKK berikutan didapati sengaja menjual minuman keras dan wain kepada pelanggan walaupun pada masa sama menganjurkan bufet Ramadan.


“Pemeriksaan lanjut di dapur restoran terbabit menemui beberapa botol wain masakan yang digunakan chef sebagai bahan dalam masakan.


“Ketika disoal siasat, chef bukan beragama Islam terbabit mengaku mencampurkan wain itu ketika memasak juadah yang disajikan di dalam hidangan bufet Ramadan,” katanya.


Menurutnya, chef terbabit turut mengaku memasukkan kicap mengandungi alkohol di dalam kebanyakan masakannya yang dianggap sebagai perisa tambahan bagi menyedapkan masakan.


“Pemilik restoran terbabit tidak pernah memohon sijil halal dan pihak Jakim tidak akan membenarkan logo itu diguna pakai berikutan restoran terbabit turut menawarkan arak kepada pelanggan.


“Pihak pengurusan restoran terbabit diberikan notis. Berdasarkan kesalahan dilakukan kerana memalsukan logo halal jakim, pengusaha restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Difahamkan, operasi terbabit antara puluhan pemeriksaan dan operasi berterusan dilakukan pihak Jakim terhadap hotel dan restoran sekitar ibu negara yang menawarkan bufet Ramadan sejak hari pertama puasa lalu.

Bangga jadi anak Malaysia

HARI ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-53. Malah, lebih istimewa lagi ia disambut pada Ramadan yang mulia. Apapun, dalam tempoh 53 tahun ini, banyak kemajuan sudah diraih termasuk pencapaian dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, pembangunan dan perdagangan.

pix_middle

BERSATU...Akim (kiri), Prema dan Jehan setuju Gagasan 1Malaysia. PREMA...menyokong saranan kerajaan. JEHAN...ada ramai kenalan 1Malaysia. AKIM...1Malaysia jaminan perpaduan.


BERSATU...Akim (kiri), Prema dan Jehan setuju Gagasan 1Malaysia.
Justeru, dengan tema 1Malaysia Menjana Tranformasi, diharap Malaysia lebih berjaya pada masa akan datang. Bagi memastikan segala misi dan matlamat ini menjadi kenyataan, perpaduan kaum menjadi keutamaan. Oleh itu, golongan muda kini memikul tanggungjawab untuk terus bersatu padu.

Cinta yang tinggi terhadap negara membuatkan semangat 1Malaysia dalam diri berkobar-kobar. Ia nyata dapat dilihat pada diri tiga artis popular tanah air. Siapa lagi, kalau bukan pelakon Jehan Miskin, penyanyi rock wanita bukan Melayu yang cukup dikenali dengan lagu Eyo Eyo, Prema Yin dan bintang Akademi Fantasia 7 (AF7), Akim.

Atas dasar semangat satu negara, tiga belia ini hadir menjayakan sesi fotografi diadakan, kelmarin. Jehan segak menggayakan pakaian batik, Prema cantik memperagakan sari dan Akim selesa berbaju Melayu. Apa yang pasti, semangat dan jiwa 1Malaysia terpahat kukuh di hati mereka.

Berkongsi pandangan mengenai Gagasan 1Malaysia, Jehan, Prema dan Akim menyokong baik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi tiga anak muda ini, langkah dilakukan PM itu wajar bagi memastikan masa depan Malaysia terjamin dan keharmonian rakyat terpelihara.

Adalah penting sebuah negara memastikan rakyatnya hidup dalam keadaan sentiasa bersatu padu. Ditambah lagi, Malaysia sangat unik kerana rakyatnya pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Sehubungan itu, perpaduan kaum adalah sebahagian daripada tanda kejayaan negara.Ikuti bicara lanjut Jehan, Prema dan Akim mengenai sema­ngat 1Malaysia mereka.Apakah harapan mereka terhadap tanah air tercinta ini? Pastinya, apa diinginkan rakyat Malaysia ialah keharmonian negara. Hidup berbilang kaum dalam suasana gembira walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya.


Jiwa Jehan 1Malaysia

DILAHIRKAN dalam keluarga campuran Melayu dan Cina, Mohd Jehan Miskin atau Jehan berkata, dia sudah biasa bergaul dengan masyarakat berbilang kaum. Ujarnya, sejak di alam persekolahan, dia sudah dibiasakan untuk menjalin hubungan persahabatan dengan kaum lain seperti Cina dan India.

Jujurnya, seronok mempu­nyai hubungan persahabatan dengan rakan pelbagai kaum ini kerana pergaulan tidak terbatas. Malah, masing-masing saling menghormati budaya dan agama antara satu sama lain. Justeru, tiada sebab untuk bermusuh kerana lahir dan dibesarkan dalam satu negara.

“Apa yang seronoknya hidup berbilang kaum ini, semua perayaan dirai bersama. Tidak kisah sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas, semuanya disambut meriah. Malah, saya sendiri tetap akan menerima angpau sekiranya berkunjung ke rumah rakan berbangsa Cina pada Tahun Baru Cina.

“Oleh itu, saranan Perdana Menteri untuk semangat 1Malaysia itu memang ada baiknya. Bahkan, sekarang memang masa yang sesuai mewujudkan 1Malaysia kerana tonggak kejayaan negara ini bergantung kepada semua kaum. Jadi, perpaduan sangat penting untuk menjana kejayaan berlipat ganda.

“Justeru, mewujudkan semangat 1Malaysia ini saya lihat sebagai percubaan kerajaan untuk menyatukan rakyat. Sebagai rakyat, saya bangga menjadi anak Malaysia. Malah, saya akui suka menilai seseorang berdasarkan dirinya sendiri dan bukan daripada perbezaan warna kulit, agama atau budaya yang mereka junjung,” katanya.

Berusia 31 tahun, Jehan berkata, sikap hormat menghormati sangat penting untuk mengelakkan perbalahan. Justeru, sekalipun untuk menyemarakkan semangat 1Malaysia ini tidak mudah dan besar cabarannya, tetapi kerajaan perlu melakukannya. Mujur ia mendapat sokongan yang baik.

Menurut Jehan, hidup dalam satu negara, rakyat tidak perlulah bergaduh. Hidup harmoni dan amalkan toleransi. Apapun, dia percaya rakyat Malaysia generasi baru kini sangat berfikiran terbuka. Antara satu sama lain, tentunya sangat sayangkan negara ini dan ingin ia terus berkembang maju.

Menyentuh mengenai kariernya, Jehan berkata, selain sibuk berlakon, dia juga bertanggungjawab kepada syarikatnya, Mastermind Group Sdn Bhd.

Katanya, baru menerbitkan satu telefilem, Buta Warna yang disiarkan di Astro Ria pada Julai lalu, tidak dinafikan maklum balas diterima sangat positif.

“Namun, kini syarikat saya sibuk mengendalikan program realiti berkaitan hartanah

di Internet iaitu starproperty.my., katanya.


Prema biasa bergaul pelbagai kaum

KEMUNCULANNYA


di persada seni tanah air boleh dianggap setahun jagung. Namun, menariknya gadis kacukan India dan Cina ini cukup selesa bekerjasama dengan rakan pelbagai kaum. Buktinya, apabila kumpulan muzik yang dinaunginya dianggotai berbilang bangsa dan agama.

Berusia 24 tahun, Prema Yin Ranee mengakui dia tiada masalah berkomunikasi, apatah lagi berganding bahu dengan ahli kumpulannya, Monday Nine. Ujarnya, apa yang penting, mereka sangat bertolak ansur dan saling menghormati. Maka, hingga kini tiada perbalahan.

“Justeru, saya selesa dengan 1Malaysia dan menyokong saranan kerajaan. Dalam soal ini, saya yakin jika saling memahami dan menghormat, pasti masing-masing selesa. Oleh itu, sempena kemerdekaan negara ini, saya harap rakyat Malaysia akan terus kekal bersatu padu dan hidup dalam aman damai.

“Bagi saya, perbezaan berlainan kaum, agama atau budaya tidak wujud sekiranya antara kaum tahu peranan mereka. Malah, dalam pergaulan semestinya dijaga supaya tiada sengketa. Sebagai warganegara Malaysia, saya yakin tanah air tercinta ini sangat disayangi rakyatnya,” kata Prema.

Menyentuh soal perkemba­ngan kariernya, Prema berkata, dia kini membuat persediaan untuk menyertai siri jelajah Jepun pada 13 hingga 20 September ini dalam Persidangan Kansai Muzik. Selain itu, ujarnya dia juga sibuk dengan undangan mengadakan persembahan majlis makan malam korporat.

“Apapun, kini saya juga terbabit dalam proses rakaman single baru, Belum Main-Main bersama Monday Nine. Terus terang, saya katakan seronok untuk merakamkan lagu ini kerana kami bekerja dalam kumpulan. Malah, ketika mengadakan persembahan pun, semangat dan tenaga diperoleh berbeza.

Ditanya mengenai pandangan terhadap industri seni tempatan, Prema berkata, memanglah kaum Melayu monopoli utama dan tak semestinya tidak boleh bersaing.
Katanya, bukti paling kuat ialah pencalonan diraihnya dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17), 2 Mei lalu.


Akim mahu erat perpaduan

SEKALIPUN usianya baru mencecah 19 tahun, namun fikiran anak muda ini cukup matang. Malah, apabila berbicara mengenai kemerdekaan negara, lagak Akim atau Afiq Hakim Ahmad seperti seorang pemimpin. Baginya, dia sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia yang hidup bersatu padu.

Malah, dia menerima dasar 1Malaysia dengan hati terbuka demi perpaduan antara kaum.

Katanya, dia tidak sangka dalam tempoh 53 tahun kemerdekaan ini, rakyat Malaysia cukup bersatu padu walaupun berlainan agama dan bangsa. Apa yang pasti, hubungan baik.

“Saya melihat, saranan kerajaan sampai kepada masyarakat. Sama ada Melayu, Cina dan India, semua menerima secara terbuka dan ia dapat dilihat di sekolah dan juga tempat bekerja. Kini, semua bangsa boleh bergaul di bawah satu bumbung dan itu menunjukkan satu kemakmuran yang positif.

“Seiring dengan semangat 1Malaysia, saya berasa sangat bertuah kerana menjadi seorang anak bangsa negara ini. Saya gembira kerana semua kaum dapat menerima antara satu sama lain tanpa perasaan tidak puas hati. Saya harap ketenteraman dan keharmonian Malaysia berkekalan selamanya.

“Sebagai generasi muda negara, saya akan bersama-sama kerajaan membantu merealisasikan kempen Gagasan 1Malaysia yang diinginkan Perdana Menteri. Bagi saya, perpaduan antara kaum perlu sentiasa erat kerana kemerdekaan negara ini dicapai bersama. Melayu, Cina dan India sentiasa berganding bahu,” katanya.

Padat dengan aktiviti seni dan sekarang menjayakan penggambaran drama Kau Dan Aku 2, Akim berkata, kisah dimuatkan dalam musim baru ini lebih menarik dan padat dengan kasih sayang kekeluargaan. Malah, paling seronok dia bergandingan bersama rakan akademinya, Hafiz dan Aril.

“Selain berlakon, saya juga akan sibuk dengan rakaman lagu. Malah, tidak lama lagi saya akan muncul dengan single baru, Janji hasil ciptaan sendiri.
Mengetengahkan irama pop, saya yakin lagu ini akan diterima baik pende­ngar dan ia cetusan idea saya. Semoga semuanya lancar.

“Malah, saya juga tidak gentar berhadapan persaingan dalam industri seni ini kerana melihat ia dari sudut positif. Bagi saya, ia satu persaingan yang sihat kepada artis baru dan lama. Apa yang penting, produk berkualiti kerana itulah kehendak peminat,” kata mahasiswa luar kampus jurusan komunikasi massa, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Luahan hati Elin

UNTUK kali pertama selepas rasmi berpisah dengan Tiger Woods, Elin Nordegren membuat pendedahan terbuka kepada media mengenai hubungan sulit bekas suami­nya.

PALING UTAMA...Woods dan Elin sejurus selepas kelahiran Charlie.
PALING UTAMA...Woods dan Elin sejurus selepas kelahiran Charlie.

DULU BAHAGIA...suasana mesra dinikmati pasangan itu sebelum skandal seks terbongkar. CERITA SEBENAR...untuk kali pertama, Elin membenarkan dirinya ditemubual mengenai perpisahannya dengan Woods. PERTAMA DAN TERAKHIR...selepas ini, Elin tidak bercadang bercakap mengenai rumah tangganya dengan media.


CERITA SEBENAR...untuk kali pertama, Elin membenarkan dirinya ditemubual mengenai perpisahannya dengan Woods.
Dalam temubual dengan dengan majalan People baru-baru ini, model berasal dari Sweden itu berkata, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai kelakuan Woods.


“Saya rasa amat malu dan terhina,” katanya.


Kata Elin, tidak pernah sekali pun dia mengesyaki bekas jaguh golf itu akan berlaku curang terhadapnya.


Selama tiga setengah tahun hidup bersama, kata Elin, 30, masanya lebih banyak diluangkan di rumah kerana menguruskan suami dan keluarga.


“Mula-mula kerana hamil, kemudian apabila anak-anak lahir, saya perlu menguruskan mereka,” katanya.


Selepas tembelang Woods pecah, Elin mendakwa, dia dan atlit itu cuba menyelamatkan perkahwinan mereka tetapi gagal.


Akhirnya, kata Elin, mereka bersetuju berpisah adalah cara terbaik.


Dalam sesi temubual dianggap pertama dan terakhir itu, Elin berkata, dia semakin boleh membiasakan diri dengan keadaan semasa selepas bergelar janda.


“Saya melalui pelbagai fasa, daripada terkejut dan tidak percaya dengan apa yang berlaku, menjadi marah dan akhirnya amat kecewa kerana kegagalan rumah tangga yang amat saya harap kekal bahagia demi anak-anak.


“Kini saya berasa semakin tabah berbanding dulu dan yakin dengan keputusan diambil,” katanya.Elin yang melahirkan dua anak - Sam, 3, dan Charlie, 19 bulan - hasil perkahwinan dengan Woods, 34, kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang psikologi.


Walaupun begitu, bagi Elin, tiada lebih penting daripada memastikan anak-anaknya kembali ‘pulih’ se­perti sedia kala.


Ditanya mengenai rancangan masa depannya, Elin berkata, perkara pertama akan dilakukan adalah menyesuaikan diri dan hidup dengan suasana baru tanpa Woods sebagai suami serta bapa kepada Sam serta Charlie.


“Saya akan terus menghadiri kelas, tapi fokus utama adalah memberi ruang kepada diri sendiri melupakan segala kepedihan silam,” katanya.

Di sebalik tragedi itu, Elin juga melihat ada rahmat untuknya.


Bagi Elin, dia berasa ‘terpilih’ kerana dapat melihat perjalanan Woods ke puncak sebagai jaguh golf.


“Saya doakan dia mendapat yang terbaik pada masa depan,” katanya.


Elin dan Woods disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Bay County di Panama City, Florida, dan proses selama 10 minit itu dianggap ‘amat menyedihkan’.


Dalam usaha memboleh­kan prosedur itu berjalan lancar, mereka dikehendaki melengkapkan kursus keibubapaan selama empat jam mengikut undang-undang tempatan.


Berdasarkan dokumen mahkamah, Woods menyer­tai kursus Pendidikan Ibu Bapa dan Kestabilan Keluarga pada 10 Julai, hanya beberapa jam sebelum terbang ke St Andrews bagi menyertai Kejohanan Golf Terbuka Britain.


Elin pula menyempurnakan kursus itu pada 16 Ogos lalu.


Menurut beberapa sumber, Elin berazam untuk terus berhubung dengan Woods sebagai kenalan biasa demi kepentingan anak-anak mereka.


Tanpa sebarang butiran didedahkan, dipercayai hak penjagaan Sam dan Charlie dikongsi bersama oleh Elin serta Woods.


Dalam kenyataan bersama selepas perceraian itu di­sahkan, Elin dan Woods berkata, mereka sedih kera­na terpaksa mengambil jalan itu dan berharap setiap mereka bahagia pada masa depan.


“Walaupun kami tidak lagi menjadi suami isteri, kami tetap ibu bapa kepada dua kanak-kanak hebat dan mereka kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Persefahaman prasyarat utama

PASTINYA tiada siapa pun pernah mengatakan bahawa perkahwinan itu adalah perkara mudah, apatah lagi andai berkahwin dengan pasangan yang langsung tidak mempunyai latar belakang sama dengan kita.

UNIK...Kan Ku (duduk, kiri) dan keluarganya amalkan sikap keterbukaan dalam perhubungan.
UNIK...Kan Ku (duduk, kiri) dan keluarganya amalkan sikap keterbukaan dalam perhubungan.
HARMONI...Nur Elaine ­Aisyah dan suami saling menyokong antara satu sama lain.
HARMONI...Nur Elaine ­Aisyah dan suami saling menyokong antara satu sama lain.
Majoriti kita juga amat mementingkan agama dengan masyarakat Melayu beragama Islam, kebanyakan Cina penganut Buddha atau Kristian dan ramai bangsa India menganut Hindu.

Justeru, faktor itu sering menjadi topik nasihat di kalangan ahli keluarga yang lebih tua dan kerap disogokkan dengan omongan bahawa perbezaan budaya, agama dan asuhan sejak kecil mampu menyumbang kepada kegagalan rumah tangga di kalangan pasangan yang berkahwin campur.

Namun, tidak semua perkahwinan campur itu berhenti di tengah jalan. Masih ramai lagi pasangan yang berkahwin campur ini dapat hidup aman damai seperti pasangan lain dan anak-anak hasil perkahwinan itu sememangnya menyerlahkan konsep 1Malaysia yang sejak lama diamalkan di negara ini.

Bagi wanita berketurunan Hokkien, Nur Elaine Aisyah Abdullah dan suaminya, Azuree Haiddar Jeffrizal yang mendirikan rumah tangga lebih enam tahun lalu, faktor komunikasi turut memainkan peranan penting dalam perkahwinan.

Pengurus Perhubungan Awam di Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd itu berkata, setiap pasangan yang berkahwin perlu sentiasa bertolak ansur sesama sendiri dalam usaha mewujudkan persefahaman terutama bagi yang berkahwin campur kerana masing-masing mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.“Ramai beranggapan pertukaran agama adalah satu perkara yang sukar dan mengongkong kebebasan sedia ada. Sebagai saudara baru dalam Islam dan menjalani kehidupan berumah tangga sebagai Muslim, ingin saya tegaskan bahawa ia sebenarnya tidaklah sukar asalkan diri dan pasangan faham apa yang perlu dilakukan serta saling menyokong antara satu sama lain.


“Dalam mana-mana perkahwinan pun, bukan setakat kahwin campur, suami serta isteri perlu berusaha menjaga hubungan itu bagi mengekalkan keharmoniannya dan tidak sekadar bergantung pada sebelah pihak.

“Bagi perkahwinan campur, keluarga kedua-dua pihak perlu diberi penjelasan jelas mengenai hubungan itu, di samping perbezaan agama dan budaya supaya mereka faham dan saling menghormati budaya, adat serta agama masing-masing,” katanya.

Tambah ibu kepada Muhammad Luqman Hakim, 5, Nurul Qhalisyah, 4, dan Muhammad Luqman Hakim yang dilahirkan pada 25 Ogos lalu, keluarganya tidak menghalangnya mengahwini lelaki Melayu walaupun pada awalnya mereka tidak begitu memahami hukum-hakam agama Islam.

“Hubungan saya dengan keluarga tetap erat kerana sebagai anak, saya tetap bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka. Hubungan mereka dengan keluarga mentua juga rapat.

“Setiap kali Aidilfitri, bapa saya pasti akan menghantar hamper kepada keluarga mentua di Subang Jaya.

“Begitu juga apabila sambutan Tahun Baru Cina. Ibu mentua sentiasa menghadiahkan sekotak buah oren untuk keluarga saya di Muar dan Johor Bahru,” ujarnya.

Meskipun anak-anaknya masih kecil, Nur Elaine Aisyah dan suami merancang menghantar ke sekolah Cina bagi meningkatkan penguasaan bahasa mereka.

“Walaupun kadangkala saya berkomunikasi dalam bahasa Mandarin dengan mereka, tidak salah rasanya memberi pendidikan tambahan kepada anak-anak kerana itu juga salah satu daripada kepelbagaian budaya yang mereka warisi.

“Selagi ia tidak bercanggah dengan agama Islam, saya dan suami tidak kisah anak-anak mempelajari dan menjalani budaya keturunan saya dalam kehidupan harian,” katanya.

Bagi keluarga Kan Koo Sing Fah, sudah lebih 32 tahun ibu dan bapanya melayari bahtera perkahwinan dan hingga kini tidak timbul masalah percanggahan budaya meskipun bapanya, Kan Ku berketurunan Cina sementara ibunya, M Sakuntala berbangsa India.

“Kami sekeluarga mengamalkan kedua-dua agama dan budaya. Apabila ibu ke kuil Hindu, kami termasuk bapa akan turut serta. Begitu juga apabila bapa ke kuil Buddha, ibu dan seluruh ahli keluarga akan pergi bersama.

“Kami adik beradik juga didedahkan dengan pelbagai bahasa dan pertuturan kami di rumah tidak terhad kepada satu-satu bahasa kerana masing-masing boleh bertutur dalam bahasa Tamil, Mandarin, Melayu dan Inggeris.

“Walaupun menjalani dua budaya, ia bukanlah sesuatu yang sukar atau membebankan dan kami tiada masalah bergaul dengan bangsa lain.

“Ditambah dengan pekerjaan bapa yang sebelum ini sering berpindah-randah, jadi saya sifatkan kami adik beradik dibesarkan sebagai anak jati Malaysia. Benar-benar 1Malaysia,” katanya.

Menceritakan semula detik pertemuan ibu dan bapanya, pasangan itu bermula sebagai kenalan keluarga kerana mereka berjiran dan Kan Ku ketika itu bertugas sebagai konduktor estet bersama abang Sakuntala di Bahau, Negeri Sembilan.

“Walaupun keluarga kami saling mengenali, saya tidak rapat dengannya (Kan Ku). Apabila keluarga gesa kami berkahwin, saya terus bersetuju tanpa memikirkan apa-apa.

“Saya langsung tidak bimbang dengan perbezaan agama dan budaya kami kerana suami dan keluarga mentua semuanya fasih bertutur Tamil. Keluarga saya turut mengalu-alukannya sebagai ahli keluarga. Tidak pernah timbul keraguan atau masalah mengenai perbezaan kami,” ujar Sakuntala.

Pasangan ini berkahwin mengikut adat resam Hindu pada 14 Januari 1978 dan diteruskan dengan majlis tradisi Cina, empat hari selepas itu.

“Sejak awal perkahwinan, kami tiada masalah dalam menjalani kehidupan seharian. Suami juga tidak kisah dengan apa jua masakan India yang saya hidangkan dan paling gemar kari ayam.

“Pada masa sama, saya turut belajar memasak hidangan Cina dan antara kegemaran saya ialah ikan masak masam manis,” katanya.

Selain Kan Koo Sing Fah, 31, dua lagi anak perempuan pasangan ini, Kan Koo Shirley, 30, dan Kan Koo Susan dihantar ke sekolah Cina sejak kecil bagi mengelakkan anak-anak lupa kepada budaya mereka.

“Selepas berbincang dengan isteri, kami menghantar anak-anak ke sekolah Cina memandangkan mereka belajar bahasa Tamil di rumah bersama ibu mereka.

“Saya sendiri sering berbual dalam bahasa Tamil kerana dibesarkan dalam persekitaran estet dan pernah belajar di sekolah Tamil selama empat tahun. Tapi di rumah biasanya kami anak beranak bertutur pelbagai bahasa, lebih kepada bahasa rojak.

“Daripada segi perayaan pula, kami tidak pernah ketinggalan menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali mengikut adat resam tradisi.

“Bagi saya, perkahwinan campur tidak mendatangkan masalah asalkan wujudnya persefahaman dan saling bertolak ansur bersama pasangan.

“Apa yang penting, perlu ada komunikasi dua hala serta minda yang terbuka dalam perhubungan itu,” kata Kan Ku.