jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Wednesday, June 30, 2010

Perbankan Islam dibenar laksana denda lewat

pix_gal0
Pelanggan lunaskan hutang lebih awal turut nikmati rebat

MAJLIS Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memutuskan bahawa bank yang menyalurkan pembiayaan di bawah perbankan Islam boleh mengenakan ta’widh atau bayaran ganti rugi terhadap peminjam yang lewat membayar balik pembiayaan yang diberikan.Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, ta’widh atau ganti rugi itu boleh dikenakan bagi kelewatan pembayaran balik pembiayaan yang dibuat berasaskan kontrak jual beli, pembiayaan sewa beli serta qard atau hutang.Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuaratnya yang ke-95 pada 28 Januari lalu.

“Ta’widh itu bagaimanapun hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh melunaskan hutang yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Bank Negara berkata, jumlah bayaran ta’widh yang diterima itu boleh diambilkira oleh bank sebagai pendapatan bagi menggantikan kerugian sebenar yang ditanggung.

Mengikut kenyataan bank pusat itu lagi, sejajar dengan keperluan menjaga kepentingan umum serta memastikan keadilan terhadap pembiaya dan pelanggan, majlis itu turut memutuskan bank yang menyalurkan pembiayaan di bawah perbankan Islam kini dikehendaki memberikan ibra’ atau rebat kepada pelanggan yang melunaskan hutangnya lebih awal.
Bagi mengelak ketidakpastian berhubung hak pelanggan untuk menerima ibra’ daripada institusi perbankan, pemberiannya perlu dimasukkan sebagai salah satu klausa dalam dokumentasi undang-undang pembiayaan berkenaan, katanya.

“Penentuan formula ibra’ ini akan diselaraskan Bank Negara,” tegas kenyataan itu.

Sementara itu, bagi mengelak berlaku kes pelanggan tidak melunaskan hutang bagi kontrak yang dibuat secara Islam, Bank Negara berkata, majlis itu turut membenarkan pengenaan caj pembayaran lewat oleh bank merangkumi konsep gharamah (denda atau penalti) serta ta’widh.

Katanya, gharamah bagaimanapun tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan bank terbabit dan perlu disalurkan kepada badan kebajikan.

“Bagi melindungi kepentingan pelanggan, pengenaan caj pembayaran lewat itu harus mengambil kira keupayaan kewangan pelanggan. Kadar maksimum bagi gharamah dan ta’widh yang boleh dikenakan pula akan ditentukan Bank Negara,” katanya.

Bank Negara berkata, tarikh melaksanakan resolusi berkaitan ibra’ dan mekanisme caj pembayaran lewat itu bakal ditentukan dalam garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

Hebatnya Angin Rindu Sarajevo

HAMPIR tiga tahun pelakon jelita berdarah kacukan, Sharifah Sofea Syed Hussein, 25, tidak terbabit dengan sesi fotografi. Katanya ia disebabkan tiada cerita baru untuk dikongsi bersama peminat. Sofea bukan jenis yang sukakan publisiti rekaan semata-mata untuk menjadi popular.

pix_middle



Kini dengan kemunculannya sebagai teraju utama dalam drama terbitan Layar Consult Sdn Bhd, Angin Rindu Sarajevo, isteri kepada Syed Ismail Syed Ibrahim Al Ali, 32, ini sedia ditemubual dan membiarkan dirinya disolek hampir dua jam. Kebiasaannya, dia jarang mengadap cermin sebegitu lama kerana seorang yang ringkas berdandan.


Kata Sofea, drama itu diadaptasikan dari novel Natasya, karya Abu Hassan Morad yang juga produser drama itu. Oleh kerana kisah novel itu berdasarkan pengamatan dan pengalaman Abu Hassan ketika beliau ke Bosnia Herzegovina pada 1996 maka sebahagian besar cerita dalam novel itu berlaku di sana.


Lalu untuk menghidupkan jalan cerita seperti mana novel itu, separuh daripada penggambaran drama 25 episod itu dirakamkan di Bosnia. Apabila sebut saja penggambaran itu akan dilakukan di sana, dada Sofea bergetar hebat apabila terkenangkan peperangan yang pernah yang melanda negara itu. "Entah macam manalah rupa negara itu. Meskipun teringin hendak ke sana tapi saya risau juga kerana ia negara yang pernah berperang hebat. Bagaimana agaknya keadaan bentuk buminya dan banyak perkara lagi yang bermain di fikiran. Suami saya juga cakap dia bimbangkan keselamatan saya apabila diberitahu saya terpaksa menyambung penggambaran di sana.


"Namun kerana cintakan lakonan, saya pergi juga dengan rasa berdebar-debar. Sebaik saja menjejakkan kaki ke Bosnia, ternyata sangkaan saya dan kru penggambaran serta pengarahnya, Nurhalim Ismail, meleset sama sekali. Negaranya sudah aman sepenuhnya dan sangat cantik. Sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.


"Seni bina bangunannya walaupun banyak yang tidak sempurna lagi kesan perang lalu, masih berdiri kukuh. Saya dan rombongan penggambaran itu ke sana pada awal Mei lalu di mana negara empat musim itu sudah hendak masuk musim bunga jadi suasananya sangat cantik, aman dan tenang. "Air sungainya sangat bersih dan jernih sehingga kita boleh minum terus. Begitu juga dengan air paipnya yang selamat diminum. Orangnya juga sangat moden di mana mereka kini sedang membina hidup baru. Kesan peperangan masih ada tetapi tidak sesekali mencacatkan keindahan negara itu," kata.


Menurut Sofea, pemerintah di sana sangat terhutang budi dengan Malaysia terutama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak membantu rakyat mereka. Ramai pelajar Bosnia belajar di negara ini dan negara kita juga membantu memulihara tempat bersejarah di sana yang hampir musnah.


Lantaran itu mereka sangat berbesar hati apabila ada rakyat Malaysia yang datang ke negara mereka. Apatah lagi sejak negara itu menghadapi peperangan, kedatangan pelancong sangat kurang kerana masing-masing beranggapan kesan peperangan membuatkan negara itu tidak sesuai lagi untuk dijadikan destinasi percutian walhal ia tidak benar. "Justeru, apabila mereka tahu kami dari Malaysia, semua pihak di sana memberikan sepenuh kerjasama membolehkan penggambaran berjalan lancar. Bayangkan dengan mudah kami diberi keizinan membuat penggambaran di trek lapangan terbang antarabangsa negara itu. "Cerita kami membuat penggambaran di sana juga mendapat liputan meluas dalam akhbar, majalah dan Internet. Mereka menganggap kedatangan kami ke Bosnia sebagai menjalin semula silaturahim yang sekian lama terbina.


"Saya sudah jatuh cinta dengan Bosnia dan selepas ini saya sedia pergi ke sana pada bila-bila masa saja. Dua minggu berada di sana rasa terlalu singkat kerana saya rasa seronok sangat. "Disebabkan semua sudut negara itu cantik, Nurhalim jadi rambang mata sehingga dia mahu ambil gambar di setiap tempat yang kami pergi. Katanya sayang sekali kalau pemandangan yang sangat cantik itu tidak dimuatkan dalam drama itu untuk tontonan penonton," katanya.


Berlakon sama dalam drama itu Beego yang juga bersama rombongan ke Bosnia. Barisan pelakon lain, Datuk Aziz Singah, Hamidah Wahab, Linda Hashim, Amanda Misbun, Watie Elite, Erynne Erynna, Hafidzuddin Fazil, Wafa Abd Kadir, Pekin Ibrahim, Rosnah Johari, Fadilah Mansor, Fazren Rafi dan Kismah Johar. Tambah Sofea yang pegang watak Natasha, cabaran paling besar membintangi drama itu apabila dia terpaksa bercakap dalam bahasa Bosnia. "Enam puluh peratus saya bercakap dalam bahasa itu dan agak rumit kerana ia campuran bahasa Arab, Turki dan Russia. Sejarah penjajahan negara itu yang panjang memberi banyak keunikan kepada bangsa dan bahasa yang dipertuturkan. Pun begitu, budaya negara itu banyak dipengaruhi bangsa Turki. "Sebelum berangkat ke Bosnia, saya belajar bahasa itu dengan orang Bosnia yang sudah lama menetap di sini. Apabila tiba di sana saya berguru pula dengan orang sana dan barulah saya dapat bercakap bahasa Bosnia yang sebenar mengikut cara serta dialek mereka.


"Makanan di sana juga sedap belaka dan saya sangat sukakan rotinya dan hidangan seperti murtabak yang dipanggil 'borek' dalam bahasa mereka. Borek itu lebih besar dan berinti. Saya memang tak memilih soal makan jadi semua makan di sana, saya rasa. Rezeki kami memang murah di sana kerana setiap hari ada saja yang mengajak kami makan di rumah mereka," katanya.Secara ringkasnya Angin Rindu Sarajevo menceritakan mengenai gadis Bosnia bernama Natasha berasal dari bandar pedalaman, Visoko. Kawasan itu terletak di daerah pergunungan terpencil dari kesibukan kota Sarajevo. Meskipun tinggal di pedalaman, pemikiran keluarga Natasha lebih terbuka berbanding penduduk setempat yang agak tertutup pemikirannya.


Ayahnya, Miladin Zirojevic, seorang ketua kampung, bekas guru dan sejak kecil pernah tinggal bersama orang Inggeris iaitu ketika keluarganya bekerja di rumah Gabenor Inggeris sewaktu bangsa itu menjajah Bosnia. Ayah Natasha mahu anak-anaknya berjaya dengan menghantar mereka belajar di sekolah Inggeris di Sarajevo. Anak pertamanya, Haric, berkelulusan universiti Sarajevo dan menjadi doktor yang berkhidmat di Mostar.


Anak keduanya perempuan, Munira, fasih berbahasa Inggeris dan bekerja sebagai pemandu pelancong dan bekerja di Zaqreb. Manakala Natasha anak ketiganya, lulusan UIA. Natasha suka melakukan kegiatan masyarakat dan mahu membangunkan anak bangsanya terutama penduduk tempatan supaya berjaya dan membangun seiring perkembangan dunia luar. Namun keadaan di Bosnia tidak semudah itu tambahan jika perubahan itu mahu dilakukan oleh anak gadis yang mendapat pendidikan di luar negara.


Sewaktu Natasha belajar di kolej Sarajevo, dia banyak menyertai kegiatan masyarakat kelolaan Yayasan LAJEPA yang diasaskan Profesor Azra. Ketika itulah dia berkenalan dengan Datuk Hamzah, tokoh NGO Yayasan Amal International dan Malaysia yang sering berulang alik ke Sarajevo. Dek kerana konflik yang menimpa negaranya, Natasha mendapat keistimewaan apabila ditawarkan meneruskan pengajian di UIA Malaysia. Manakala Sufian, anak Datuk Hamzah, berada dalam semester akhir kajian Undang-Undang di universiti yang sama. Sufian kemudian jatuh pada Natasha dan pada masa sama, Imran turut mencintainya. Belum sempat Natasha membuat keputusan mengenai lelaki pilihannya, dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Sarajevo. Untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada cinta mereka, saksikan siarannya di RTM Ramadan ini.

Pilihan warna ikut suasana

GUBAHAN bunga berperanan menyerikan sesuatu ruang sama ada diletakkan di atas meja makan, meja kopi atau meja konsol, di tepian meja, lorong laluan atau dijadikan hiasan pentas.

pix_middle



Gubahan bukan sahaja mencantikkan meja malah menambah seri sesuatu majlis.

Bagi yang berkebolehan, bunga boleh digubah sendiri sama ada menggunakan bunga segar, kering atau plastik. Apa yang penting, pilihan warna bunga mestilah sesuai mengikut suasana majlis juga posisi bunga diletakkan.

Ketua Penggubah Bunga Hotel One World, Petaling Jaya, Roslan Razali berkata kini wanita semakin bijak memanfaatkan sepenuhnya ruang dengan meletakkan gubahan bunga.

Ada antara mereka yang menggubah mengikut gerak tangan tanpa peraturan tertentu, namun gubahan dihasilkan mampu menambat mata memandang.

Menurut Roslan, ukuran serta jenis rekaan bergantung kepada tempat bunga diletakkan. Misalnya bekas bunga berbentuk bulat sesuai diletakkan di atas meja bulat.Bunga berwarna cerah pula sesuai diletakkan di atas meja gelap seperti meja kopi hitam atau bekas berwarna hitam atau coklat.


"Ini bagi menaikkan seri ruang apabila gubahan bunga bergabung dengan warna dinding atau alas meja. Selain itu pastikan gubahan bunga bersesuaian dengan saiz meja kopi.

"Sekiranya bunga terlalu tinggi, ia akan menghalang pandangan mata, begitu juga sekiranya ukuran bunga terlalu kecil yang akan menyebabkan gubahan tidak kelihatan," katanya.

Berpengalaman hampir enam tahun dalam seni menghias bunga, Roslan memberitahu asas paling penting dalam gubahan adalah kombinasi warna, jenis rekaan serta posisi bunga diletakkan.

Sesetengah wanita menganggap menggunakan bunga mahal mampu menghasilkan gubahan menarik. Ini pandangan salah, mahal atau murahnya jenis bunga tidak menjanjikan gubahan cantik asalkan penggubah kreatif menyusun atur menggunakan warna sesuai.

Kini gaya gubahan bunga sudah bertukar, ramai wanita menggemari gaya moden kontemporari yang boleh dilihat menerusi pemilihan bekas bunga. Bagi yang inginkan konsep zen, mereka perlu menggunakan bunga berukuran besar, bekas yang tinggi serta hiasan tambahan seperti kristal serta batu permata.

Yusuf belum mahu dakwa Cut Tari berzina

JAKARTA: Suami Cut Tari, Yusuf Soebrata berada dalam keadaan serba salah berhubung skandal seks isterinya, Cut Tari.

YUSUF menemani isterinya ketika disoal siasat oleh polis,  semalam.
YUSUF menemani isterinya ketika disoal siasat oleh polis, semalam.
Bapa seorang anak itu masih belum membuat laporan mengenai perzinaan isterinya walaupun masyarakat menunggu tindakan tegas daripadanya.


“Jika Yusuf membuat laporan mengenai perzinaa Cut dengan Ariel, bukan saja Ariel, malah isterinya juga akan berdepan dengan masalah yang lebih berat,” kata seorang anggota polis yang turut terbabit dalam siasatan kes video seks membabitkan penyanyi utama kumpulan Peterpan, Ariel, Cut dan seorang lagi selebriti, Luna Maya. “Kerana masih belum ada pihak yang melaporkan perzinaan itu menyebabkan Ariel hingga kini tidak didakwa atas tuduhan berzina,” katanya.


Sementara itu, Cut disoal siasat buat kali kedua semalam.


Akhbar Internet, Detikhot, melaporkan pengacara televisyen yang juga pelakon terkenal itu berada di ibu pejabat polis di Jakarta selama sembilan jam.


Cut yang enggan menjawab sebarang soalan yang diajukan wartawan bergegas memasuki keretanya sambil ditemani Yusuf.

Perisian terbuka jimat kos RM200j

MULTIMEDIA Development Corporation Sdn Bhd (MDeC) yakin syarikat berstatus MSC Malaysia yang bergiat dalam industri perisian terbuka mampu mencapai peningkatan pendapatan dua digit pada tahun ini berbanding pendapatan tempatan lebih RM595 juta dan nilai eksport lebih RM234 juta dicatatkan pada 2009.

Datuk Badlisham Ghazali
Datuk Badlisham Ghazali
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pihaknya percaya peningkatan itu bukan saja membabitkan nilai pendapatan, tetapi termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri berkenaan.


“Tahun lalu saja 6,206 pekerja diserap dalam bidang industri ICT dan ia dijangka bertambah kerana kesedaran mengenai kepentingan ICT semakin meningkat di negara ini.


“Malah, lebih 300 syarikat Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia) daripada 2,000 syarikat yang menyertai industri sumber terbuka adalah penyedia dan pengeluar perisian sumber terbuka,” katanya pada sidang media sempena MSC Malaysia Open Source Conference (MOSC) 2010, di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, MDeC juga menggalakkan syarikat Malaysia menggunakan perisian sumber terbuka bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pentadbiran dengan efektif serta memperbaiki kompetitif dalam pasaran global.


Beliau berkata, 97 peratus agensi kerajaan sudah mengaplikasikan sistem terbuka ini dalam aktiviti masing-masing dan maklum balas diterima menyatakan melalui sumber terbuka itu ia mampu menjimatkan kos sehingga RM200 juta.


“Bagaimanapun, kami turut mengharapkan sektor swasta menyertai dan menggunakan sumber terbuka ini kerana ia kaedah pemikiran terbaru selain lesen untuk perisian sumber terbuka ini percuma,” katanya.

Tiada siapa sudi bantu

KUALA LUMPUR: Seramai 73 penghuni wanita, termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Rumah Titian Kasih (RTK) di sini, sedang menghitung detik untuk ‘bersesak-sesak’ bersama lebih 50 penghuni lelaki di sebuah lagi rumah perlindungan selepas diarah keluar dari kediaman itu.

TERKILAN...Sharifah menjawab soalan pemberita mengenai perintah  mengosongkan RTK, di sebelahnya Muhammad Khairun.
TERKILAN...Sharifah menjawab soalan pemberita mengenai perintah mengosongkan RTK, di sebelahnya Muhammad Khairun.
Mereka terpaksa berpindah dalam tempoh 24 jam dari rumah yang disewa di Persiaran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa di sini, selepas pemilik meminta mahkamah mengeluarkan arahan keluar dari rumah itu, April lalu.


Pengasas RTK, Sharifah Adlan atau lebih dikenali dengan Mak Pah berkata, dia amat terkilan dan sedih dengan nasib penghuni wanita, terutama kanak-kanak dan golongan OKU kerana keadaan tidak selesa yang bakal dirasai mereka.


“Ini kerana saiz rumah perlindungan bagi lelaki yang menempatkan lebih 50 orang itu agak kecil. Kita tak mungkin boleh menempatkan semua penghuni di situ,” katanya ketika sidang media Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, semalam.


Menurutnya, RTK yang sudah beroperasi selama 12 tahun sebelum ini pernah mengutip dana untuk memiliki rumah bernilai RM2.5 juta itu, namun gagal.


“Ada pihak yang prihatin dengan nasib kami menderma 10 peratus daripada nilai rumah itu, namun tetap gagal membelinya kerana dana masih tidak mencukupi.


“Malah, tiada pihak pun termasuk bank dan agensi bertanggungjawab mengambil berat perkara ini atau bersetuju membantu dalam usaha pembelian itu,” katanya. Katanya, hatinya berat untuk berpindah kerana tiada lokasi strategik setakat ini sedangkan RTK sekarang berdekatan sekolah dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).


“Ini kerana ada lima penghuni bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (enam) dan empat lagi bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


“Lagipun, jika ada penghuni sakit, sini dekat dengan HKL,” katanya.


Menurutnya, dia pernah cuba meminta bantuan dari semua saluran sejak menerima notis berpindah, namun maklum balas diterima amat mengecewakan. “Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kami juga membuat permohonan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), namun gagal,” katanya.


Katanya, kira-kira RM30,000 diperlukan RTK setiap bulan untuk perbelanjaan makan dan minum penghuni selain sewa bagi rumah itu berjumlah RM5,000.“Kami mempunyai sebuah lagi rumah perlindungan untuk penghuni lelaki yang bakal kami tumpang pada awal bulan ini dan sewanya RM2,700,” katanya.


Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh, berkata pihaknya akan berunding dengan agensi kerajaan hari ini bagi menyelesaikan masalah dihadapi RTK, sekali gus mendapatkan rumah sementara.


“Ini soal kemanusiaan kerana nasib 73 penghuni itu tidak menentu...lebih-lebih lagi selepas mereka terpaksa tinggal bersama di rumah perlindungan lelaki,” katanya.

Norman Hakim Tetap Jaga Batas

Detik manis Memey dan Norman ketika meraikan majlis Hari Jadi anak lelaki Chef Wan iaitu Chef Riz di restorannya, On The Table di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

PELAKON Norman Hakim berkata dia tetap akan menjaga batasan mengenai hubungannya dengan pelakon Memey Suhaiza.

Ia termasuklah ketika diajak bergambar bersama kerana tidak mahu ada pihak-pihak yang kurang senang dengan aksi yang mereka berikan.

Baru-baru ini, Memey mahupun Norman tidak menolak untuk merakamkan gambar mereka berdua yang penuh mesra bagaikan pasangan suami-isteri.

Gambar tersebut dirakamkan semasa mereka meraikan majlis ulang tahun kelahiran anak lelaki Chef Wan iaitu Chef Riz di restorannya, On The Table di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

“Saya rasa tak salah bergambar kerana aksi kami itu bukan sengaja dilakukan sebaliknya atas permintaan pihak media.

“Kami tahu yang sepatutnya kami tidak perlu menunjuk-nunjuk kemesraan itu. Bagaimanapun, kami masih menjaga batasan antara satu sama lain kerana banyak hati yang perlu dijaga,” beritahunya sambil tertawa kecil.

Sama ada tingkah laku mereka itu akan meninggalkan kesan buruk atau tidak, Memey mahu menganggap semua itu sebagai suatu yang positif.

“Kalau saya terus memikirkan tentang apa yang orang katakan, sampai bila pun takkan selesai. Saya tak nak dengar apa yang orang akan cakap tentang kami selepas ini. Cukuplah masyarakat sudah tahu hubungan kami dan ianya tidak perlu dirahsiakan lagi.

“Saya rasa gambar kami berdua tidak perlu dikontroversikan,” katanya yang semakin menyerlah dalam bidang lakonan.

Selepas beberapa kali diberikan watak utama seperti menerusi drama Cinta Balkis dan Puteri Aurora Beradu, Memey ditawarkan berlakon dua lagi watak utama menerusi drama Impian Cinta dan Bola Cinta.

“Saya sedang menjalani penggambaran drama 30 episod Bola Cinta dan drama 13 episod Impian Cinta.

“Kedua-dua drama itu terbitan RTM dan berkisarkan tentang cerita cinta. Dalam drama Bola Cinta, saya bercinta dengan Shah Jazle manakala saya bercinta dengan Zoey untuk drama Impian Cinta.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang masih tidak putus sekarang,” ujarnya.

Kereta & Rumah Mewah Ahadiat Jadi Pertikaian

Ahadiat Akasha dan bekas isterinya, Shahilah ketika melangkah keluar dari mahkamah.

KUALA LUMPUR: Kereta dan Rumah mewah yang dimiliki oleh penulis novel terkenal Ahadiat Akasha,44, menjadi pertikaian dalam perbicaraan permohonannya bagi pengubah perintah nafkah anak yang difailkan pada Januari lalu.

Bekas isterinya, Shahilah Mat Nazir mendakwa Ahadiat mempunyai beberapa kereta mewah termasuk Porsche, Toyota dan Mercedes Benz serta mempunyai sebuah banglo mewah dan unik walaupun sudah diistiharkan muflis.

"Dia cuma muflis namun masih mempunyai harta lebih dari orang biasa. Walaupun tidak ada dokumen jual beli menggunakan namanya tapi dia yang pakai kereta tersebut.

Selain itu dia juga mempunyai banglo mewah dan unik seperti yang dikeluarkan dalam sebuah majalah," jelasnya.

Shahilah, 39, yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah bank menyatakan demikian ketika soal balas peguam mewakili Ahadiat, Mostadza Halimi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam.

Wanita itu memberi keterangan pada perbicaraan permohonan Ahadiat bagi mengubah perintah mahkamah sebelum ini yang menetapkan dia perlu membayar RM300 sebulan sebagai nafkah untuk anak mereka, Aishah Akashah bersia 14 tahun.

Dalam pada itu, Shahilah juga tidak bersetuju ketika ditanya tentang harta tersebut telah dijual kerana dirinya diisytiharkan muflis.

"Selepas dia jual rumah banglo tersebut dia beli kereta Porsche. Saya nampak transaksi yang dijalankan. Dia jual harta seperti keretanya kerana dia ingin membeli kereta yang lain," katanya.

Wanita itu juga yakini rumah banglo tersebut menelan belanja besar walaupun Mostadza menunjukan artikel yang keluar di majalah Anjung Seri keluaran Jun 2008 menyatakan rumah tersebut dibina mengunakan bahan terbuang.

"Itu adalah konsep rumah tersebut. Memang dia tidak mahu mengecat dinding rumahnya dan mengunakan barang lama untuk menjadikan konsep rumah tersebut. Bukan kerana tidak mampu atau muflis.

"Saya pernah masuk rumah itu dan tengok tapak serta draf lukisan rumah tersebut sebelum ia dibina." katanya menjawab pertanyaan Mostadza yang menyoal tentang keunikan sebuah rumah yang keluar di majalah tidak semestinya mewah.

Turut ditanya perkhidmatan bas sekolah bagi menghantar dan ambil anaknya, Shahilah memberitahu plantif hanya menghantar Aishah ke sekolah tiga kali seminggu.

Dia sebaliknya tidak setuju pertanyaan peguam tentang khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menghalang plaintif untuk mengambil anak mereka.

"SMS tersebut pada bulan Januari 2009 dan ketika itu saya sudah menyewa perkhidmatan bas sekolah untuk hantar dan ambil anak saya, jadi saya beritahu dia supaya tidak perlu berbuat demikian kerana ia adalah membazir.

Selain itu, Sahilah turut memohon agar wang nafkah tersebut diberikan tanpa mengambil kira pendapatan lain.

"Saya perlu duit itu untuk membeli keperluan-keperluan asas anak saya, sumbangan dari segi lain tidak diambil kira. RM300 itu adalah untuk makan minum dan pakai," katanya.

Terdahulu, dalam permohonan tersebut, Ahadiat selaku plaintif memohon nafkah terhadap anak tunggal mereka diberikan mengikut kedudukan kewangannya sekarang.

Permohonan itu dibuat Ahadiat selepas mahkamah tersebut pada 18 November tahun lalu memerintahkan dia membayar tunggakan nafkah anak sebanyak RM3,900 sejak Oktober 2007 hingga kini.

Ahadiat dan Shahilah berkahwin pada 3 Jun 1995 di Alor Gajah, Melaka dan disahkan bercerai pada 12 April 2000. Ahadiat kemudian berkahwin pula dengan Norhayati pada 13 Ogos 2000 dan memperoleh tiga anak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 13 Julai ini.

Ariel Menonton Piala Dunia Di Penjara

BEKAS vokalis Peterpan, Nazril Irham atau lebih dikenali sebagai Ariel merupakan peminat sukan bola sepak. Malah ketika berada dalam tahan dia tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan hebat Piala Dunia yang kini sedang berlangsung.

"Kelmarin, Brazil menang dia sangat gembira kerana dia salah seorang penyokong pasukan itu," ujar vokalis Marvells, Yanna, ketika ditemui selepas melawat rakannya itu,

Selama bertemu Ariel, topik utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan Piala Dunia.

"Biarpun dibebani masalah besar dia tetap tidak terkecuali menonton perlawanan Piala Dunia," jelasnya seperti dipetik DetikHot.com lagi.

Yana memberitahu bahawa mereka kerap bermain bola bersama penyanyi lagu Mungkin Nanti itu dan mengaku berkawan dengan Ariel sejak tahun 2000.

Berhubung kes video lucah yang sedang dihadapi teman baiknya itu, Yanna tidak mahu memberi sebarang komen. Sebagai teman, dia turut sedih dan berharap Ariel selalu sihat.

Mentor 4: Ziana, Azmeer Dan Dayang Susun Strategi Untuk Berentap

Mentor (dari kiri): Joe Flizzow, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Mas Idayu, Mus dan Azmeer.

RANCANGAN Mentor musim keempat peringkat akhir yang akan berlangsung di Wisma MBSA, Shah Alam, Ahad ini memperlihatkan tiga orang mentor telah menyusun strategi untuk memastikan protege mereka menjulang juara dalam acara itu.

Ziana Zain yang merupakan mentor kepada Mohd akan melakukan lampas otak untuk memilih lagu terbaik selain membolehkan Mohd menghayati lagu serta memastikan kehadirannya di atas pentas dirasai.

"Mohd kena banyak bertanya kepada mentor dan protege. Selain itu, dia kena cuba membuat yang terbaik pada final nanti," katanya kepada sidang akhbar setelah usai pertandingan separuh akhir Mentor 4 sesi kedua, Ahad lalu.

Walaupun Mohd berada dalam kedudukan selesa dalam pertandingan itu setakat ini, Ziana berkata, apa-apa boleh terjadi semasa final nanti.

"Kalau mentor ada populariti pun, jika protege tak boleh nyanyi. Ia tidak akan membantu kerana orang di luar dah pandai menilai vokal dan pitching," jelasnya.

Bagi Azmeer yang menjadikan Nani sebagai protegenya menyimpan kemas strategi yang akan digunapakaikan pada konsert akhir nanti.

"Saya akan berikan 100 peratus. Dan sebenarnya masih ada lagi yang saya simpan. Dan saya tidak keluarkan lagi kerana ini adalah strategi saya. "Saya berharap strategi saya mengenai matlamatnya. Mudah-mudahan jika Allah menyebelahi, kita akan wujudkan saingan yang hebat. Itu adalah motif saya," katanya.

Azmeer percaya, semua mentor turut mempunyai rahsia masing-masing yang jika dipertaruhkan pada final nanti akan mewujudkan pertarungan sihat,

serta menjadikan final nanti sebutan dan perbualan orang ramai. "Bila ada persaingan hebat, baru ia akan jadi menarik," ujarnya.

Sementara itu, Dayang Nurfaizah yang merupakan mentor kepada Adi pula berkata, dia akan mencurahkan segala-gala kreativiti, dan pengetahuannya untuk membantu Adi melakukan persembahan terbaik.

Juara Mentor 4 akan membawa pulang wang tunai RM100,000 dan kontrak rakaman yang diidamkan.

Sandra Bullock Sahkan Bercerai

Sandra Bullock (kanan) dan suaminya, Jesse James hadir ke The 41st Annual NAACP Image Awards di Los Angeles pada 26 Februari lalu.

PERCERAIAN Sandra Bullock dengan suaminya yang curang iaitu Jesse James akhirnya sampai ke kemuncak.

Bullock yang merupakan pemenang anugerah Oscar telah memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah dua bulan lalu.

Media melaporkan seorang wakil aktres itu mengesahkan pasangan tersebut bercerai kerana wujudnya konflik personaliti dan perbalahan.

Bullock, 45, dan James, 41, yang merupakan personaliti televisyen serta mekanik motosikal telah berkahwin untuk tempoh lima tahun.

Rumah tangga mereka bagaimanapun retak ekoran laporan media bahawa James berlaku curang terhadap isterinya.

Bullock hanya menyedari perkara tersebut selepas memenangi Anugerah Akademi untuk kategori Aktres Terbaik.

Album Berkembar Dari Malique

MENGIKUT jejak album OK (2008) yang banyak memenangi anugerah dan juga kejayaan KO The Mixtape (2009), Malique mengorak langkah dengan mengedarkan dua buah single yang bakal disusuli dengan album yang masih dalam pembikinan iaitu TKO (Peace Out).

Album tersebut dijangka berada di pasaran penghujung 2010 ini. TKO merupakan album solo terakhir Malique (gambar) yang mengakhiri siri trilogi album-album solo beliau.

Cuba Lagi, yang menampilkan vokal Lah Ahmad, merupakan sebuah lagu yang memberikan perangsang untuk mencapai kejayaan serta menolak kegagalan.

Lah Ahmad, yang pernah menganggotai V.E., sebelum ini pernah berkolaborasi bersama Malique menerusi single KL Streets, yang pernah memenangi Anugerah Indursti Muzik menerusi kategori Lagu Inggeris Terbaik. Gabungan kali kedua ini membuktikan keserasian mereka berdua.

“2010 Masih Hip Hop” merupakan versi rakaman semula lagu Masih Hip Hop yang dipetik dari album KO The Mixtape; apa yang menarik versi baru ini menampilkan rakan seperjuangan Malique dari Too Phat, Joe Flizzow.

"Ini merupakan rakaman mereka berdua yang pertama setelah lima tahun. Peminat-peminat setia Too Phat pasti akan teruja dengan perkembangan ini, apatah lagi bila mereka merindui akan kolaborasi hebat antara Malique dan Joe, satu gabungan hebat yang tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya.

Selain Cuba Lagi dan 2010 Masih Hip Hop, Malique akan mengedarkan dua buah single sebelum meluncurkan TKO (Peace Out) di pasaran. Kedua-dua single berkenaan akan menyusul di pasaran September ini.

Yang pertama merupakan Senyum, dengan penampilan istimewa vokalis jazz indie Najwa; Malique dan Najwa pernah berkolaborasi menerusi lagu Kau Yang Punya (dari album solo pertama Malique, OK).

Senyum akan diedarkan bersama-sama sebuah lagu yang akan diumumkan sedikit masa lagi – satu kolaborasi hebat bersama sebuah kumpulan nasyid terkenal di Malaysia.

Selepas pengedaran album solo terakhir TKO (Peace Out), Malique akan kembali memfokuskan kerjanya terhadap album baru Too Phat dengan menulis lebih banyak lagu-lagu di dalam bahasa Inggeris.

Untuk maklumat lanjut dan prebiu lagu-lagu, layarilah www.myspace.com/maliqueibrahim

Untuk pertanyaan dan penempahan atau permintaan lagu untuk siaran, hubungilah qarmamusiq@gmail.com.

Angelina Jolie Tidak Mahu "Mr &Mrs Smith Disambung

Jolie tidak harap filem Mr & Mrs Smith disambung

ANGELINA Jolie menyatakan pendapatnya bahawa filem yang turut dibintangi oleh Brad Pitt iaitu Mr & Mrs Smith tidak perlu disambung lagi.

"Pelik jika filem ini ada sambungannya. Adakah kami akan mempunyai anak dalam filem itu? Kami berdua sudah memikirkannya tetapi pastinya watak mereka akan dikembangkan dan mereka mempunyai anak," jelasnya.

Dia turut mengakui ramai peminat yang bertanyakan hal tersebut, namun pada pendapat Jolie jika filem tersebut disambung jalan ceritanya pasti tidak menarik.

"Pilihannya, kami menikah atau punya anak atau berpisah," jelasnya, seperti dipetik Just Jared.

Walaupun tidak terlalu berharap dengan sambungan filem 'Mr & Mrs Smith', itu tidak bermakna Jolie tidak mahu bergandingan dengan Pitt lagi. Malah juga senang jika mereka digandingkan sekali lagi.

"Apa yang pelik ialah kami terfikir siapa yang akan menjaga anak-anak kami nanti," tambahnya.

Menurut Jolie lagi, tidak semua orang ingin melihat pasangan kekasih dalam filem.

"Peminat mungkin sudah bosan melihat gandingan pasangan kekasih, mungkin kami sesuai untuk jadi penjahat yang mencuba membunuh satu sama lain," katanya.

Sementara itu Angelina Jolie mendedahkan dia dan Pitt tidak merancang untuk berkahwin.

Jolie berkata, menjaga anak-anak mereka adalah suatu komitmen yang jauh lebih besar daripada perkahwinan.

"Ia seperti kami sudah berkahwin. Anak-anak adalah suatu komitmen yang lebih besar (daripada perkahwinan). Ia adalah sepanjang hayat," katanya kepada media.

Pasangan itu mempunyai tiga anak angkat iaitu Maddox, 9, Pax, 6, dan Zahara, 5 selain tiga anak sendiri iaitu Shiloh, 4, serta anak-anak kembar Knox dan Vivienne.

Suami Pujuk Sonali Bendre Berlakon Semula

Sonali Bendre hadir ke satu acara promosi Chivas di Mumbai pada 13 Jun 2010.

PELAKON Sonali Bendre yang menyepi dari industri hiburan selepas perkahwinannya dengan penerbit filem, Goldie Behl pada 2002 berkata, suaminya memujuknya dia berlakon semula.

Ini kerana katanya, Behl berpendapat perkembangan industri perfileman sekarang adalah sama sewaktu dia aktif berlakon di Bollywood.

"Memegang watak yang membuat bising bukanlah kekuatan saya. Kekuatan saya adalah melakonkan watak sebenar sama seperti apa yang berlaku dalam industri sekarang," kata Sonali kepada media.

Menurut Sonali, suaminya berpendapat dia amat sesuai untuk membawa watak-watak yang ditawarkan oleh penerbit filem sekarang.

Walaupun ibu mertua turut memberikan sokongan padu kepadanya untuk kembali berlakon, Sonali berasa dia belum bersedia untuk berbuat demikian sekarang.

50 Resipi Pilihan Chef Zam Dalam Buku Dwi-Bahasa

Chef Zam akhirnya muncul dengan buku masakannya yang pertama.

CHEF selebriti popular, Chef Zam atau Zamzani Abd Wahab yang baru sahaja meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah di Kolej KDU selepas 12 tahun berkhidmat terus mengembangkan profil karier masakannya dengan mengeluarkan buku masakan pertamanya.

Menghimpunkan 50 resipi termasuk 40 resipi bergambar, buku berjudul Segalanya Nasi dan Everything Rice & Nice yang diterbitkan dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris itu memaparkan pelbagai resipi pilihan Chef Zam yang berasaskan beras dan nasi.

Menurut Chef Zam yang dihubungi oleh mStar Online baru-baru ini, semua resipi yang dipaparkan itu mengambil masa lebih 10 tahun untuk dikumpulkan.

Memandangkan kesibukannya dengan tugasan sebagai pensyarah dan chef selama ini, penerbitan buku itu yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali.

Penerbitan buku dwi-bahasa itu menjadi kenyataan akhirnya selepas mendapat sokongan daripada syarikat penerbit buku itu, Marshall Cavendish yang bersungguh-sungguh untuk menerbitkan buku itu.

"Sebenarnya ilham untuk menerbitkan buku sendiri sudah tercetus sejak beberapa tahun lalu. Namun, disebabkan dengan kesibukan kerja projek ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Saya harus berterima kasih kepada syarikat penerbit, Marshall Cavendish yang bersungguh-sungguh mahukan saya mengeluarkan buku ini.

"Selepas perbincangan tentang konsep buku dan pemilihan 50 resipi yang terbaik dijalankan bersama penerbit, akhirnya kedua-dua versi buku ini muncul. Walaupun saya sudah lama terlibat dalam bidang masakan, ini adalah buku masakan solo saya yang pertama. Saya sangat gembira dengan penerbitannya," katanya.

Buku Segalanya Nasi dan Everything Rice & Nice yang menghimpunkan 50 resipi pilihan Chef Zam diterbitkan dalam dwi-bahasa.

Bercerita tentang keistimewaan buku ini, anak jati Terengganu itu berkata, 40 resipi dalam buku itu dipersembahkan dalam bentuk bergambar dan berwarna-warni bagi gambaran lebih jelas kepada pembaca.

Kesemua resipi yang dipaparkan adalah kompilasi resipi ciptaannya sendiri, resipi tradisional yang diperbaharui mengikut selera kontemporari seperti nasi dagang serta beberapa resipi daripada teman-teman chef dari luar negara seperti Indonesia, Sepanyol dan Timur Tengah.

"50 resipi yang saya pilih ini adalah berasaskan beras dan nasi, daripada resipi pembuka selera hinggalah ke pencuci mulut. Ia merangkumi resipi daripada negara kita sendiri seperti nasi dagang dan bubur lambuk Terengganu dan resipi daripada teman-teman chef di luar negara seperti Lemper Ayam (Indonesia).

"Ia dihias dan dipersembahkan mengikut stail yang moden dan kontemporari bagi memberikan kelainan daripada mana-mana resipi yang sedia ada," ceritanya.

Tambah Chef Zam, kedua-dua versi buku tersebut diterbitkan dalam format kulit lembut agar ia lebih praktikal untuk kegunaan para pembaca. Selain dijadikan panduan dan pengetahuan kepada peminat dunia masakan, pembaca yang ingin mencuba resipi yang dipaparkan juga mudah untuk membawa dan melipat buku tersebut ketika memasak di dapur.

"Buku-buku ini memang diterbitkan dalam format kulit lembut supaya ia mudah untuk digunapakai. Jika diterbitkan dengan kulit tebal, tentulah susah dan leceh untuk dilipat atau dibawa ke merata tempat. Sudahnya, ia dijadikan perhiasan atau disusun dengan cantik di rak sahaja.

"Sebab itu saya terbitkan dalam format kulit lembut supaya memudahkan pembaca membawa dan melipat buku ini apabila mereka memasak di dapur atau ke mana sahaja," katanya yang terlibat sepenuhnya dengan proses penerbitan buku itu.

Buku masakan Everything Rice & Nice dan Segalanya Nasi kini sudah berada di pasaran dengan harga RM39.90 seunit.

Pos Malaysia Keluar Setem Definitif Siri Taman Bunga Kebangsaan

Penolong Pengurus Kanan Bahagian Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah menunjukkan Setem Siri Kebangsaan Tarif Baru bertemakan Bunga-Bungaan Taman di Pos Malaysia Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi baru setem-setem definitif siri taman bunga kebangsaan, Khamis ini sempena tarif baru pos.

Penolong Kanan Pengurus Setem dan Filateli Diyana Lean Abdullah berkata setem-setem yang bertemakan bunga-bungaan taman dijual dengan harga dari 30sen hingga RM1 sekeping.

"Pilihan setem itu terbahagi kepada lapan jenis bunga-bungaan seperti Kembang Pagi, Bunga Kertas, Bunga Raya dan dua reka bentuk baru, Bunga Tasbih (Canana oriental) dan Bunga Cempaka (Allamanda cathartica)," katanya semasa previu media mengenai setem-setem itu di Galeri Setem di Kompleks Dayabumi di sini hari ini.

Katanya setem-setem definitif itu dikeluarkan dalam siri kebangsaan dan negeri menjadikannya setem definitif kebangsaan keenam.

"Pos Malaysia juga akan menjual setem-setem hari pertama khas mengandungi sampul surat dengan enam jenis setem di atasnya. 40,000 set setem ini hanya boleh didapati pada hari pertama dan berharga RM7.10 setiap satu," katanya. Bagaimanapun, baki setem-setem bagi koleksi terdahulu (siri burung) akan terus dijual dan tidak akan dicetak semula.

Diyana berkata respons daripada para pengumpul masih menggalakkan sehingga hari ini.

"Ramai beranggapan bahawa setem sudah tidak relevan lagi tapi tidak bagi para pengumpul kerana mereka sentiasa bersemangat untuk mendapatkan koleksi baru," katanya.

Kakitangan Pos Malaysia, Harmiza Abdul Wahab menunjukan setem siri Kebangsaan Tarif Baru bertemakan Bunga-Bungaan Taman di Pos Malaysia Kuala Lumpur, hari ini. Ia merupakan koleksi ke enam siri Setem Definitif Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Sebelum ini beberapa siri telah dikeluarkan termasuk Burung (1965), Rama-rama (1970), Binatang (1979), Buah-buahan (1986) dan Burung (2005). Setem-setem siri baru ini serta sampul surat akan mula dijual pada 1 Julai depan.

Pengeluaran koleksi setem baru adalah bagi memeriahkan Malaysia sebagai syurga bagi pemandangan menarik dan daya tarikan.

"Bunga-bungaan yang cantik dapat menyentuh perasaan keakraban di kalangan rakyat Malaysia kerana bunga-bungaan ini biasanya kelihatan di taman-taman awam," kata Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan.

Adalah dianggarkan bahawa lebih 15,000 spesies pokok bunga tumbuh di Malaysia termasuk kira-kira 2,000 jenis pokok seperti palma dan orkid.

Selamat tinggal seni



Jika dahulu penyanyi, pelakon dan model, Noorkumalasari, 54, adalah artis cukup tersohor dan dilihat seakan tidak akan berganjak dalam industri hiburan tempatan, kini beliau mengaku tidak teruja kembali aktif dalam bidang yang sangat diminati satu masa dulu.

”Sudah terlalu jauh saya meninggalkan karier dalam bidang seni iaitu sekitar 1997 dan kini saya sudah betul-betul bersedia menjadi suri rumah sepunuh masa, sama seperti wanita lain. Saya juga lebih selesa menguruskan keperluan keluarga, suami dan empat orang anak lelaki yang sangat memerlukan perhatian,” kata anak kepada pasangan pelakon veteran S.Roomai Nor dan Datin Umi Kalthum itu.

Menurutnya, masa yang diberikan untuk berada dalam dunia artis sudah pun berlalu dan kini dia tidak lagi berminat untuk terus kembali.

Kini dia lebih selesa dengan penampilan bertudung, kehidupannya yang baru dan pendekatan ke arah lebih mendekatkan diri dengan Islam.

”Zaman itu sudah berlalu bagi saya. Jika dahulu saya asyik memikirkan populariti dan glamour sehinggakan hati juga tidak tenang serta serabut apabila mengingatkan tentang peminat dan persembahan di mana-mana.

“Memanglah seronok ketika itu kerana saya selalu sahaja diserbupeminat, tetapi selepas itu saya tetap ada rasa kesepian dan keseorangan.

"Namun, kini dengan jalan mendekatkan diri dengan Allah, nampaknya jiwa saya semakin tenang dan tidak pernah rasa keseorangan kerana di dalam hati dan di depan depan mata saya sentiasa lebih mengingati Allah,” katanya.

Menurut penyanyi yang sering muncul dengan pasangan duetnya yang serasi, penyanyi nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, sehingga kini tawaran masih ada lagi untuknya terutama beberapa filem yang berunsurkan keagamaan.

“Kesemua tawaran saya terima semestinya watak yang menutup aurat dan bertudung. Jika ada tawaran sebegini saya akan berbincang dengan suami dan adakalanya dia memberi kebebasan sama ada untuk menerima atau pun menolak tawaran tersebut..

“Kalau dulu saya akan berfikir panjang dalam mengambil kira baik buruknya tetapi kini tidak lagi, saya terus sahaja mengambil keputusan untuk tidak terbabit lagi,” katanya yang mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dengan filem pertama, Menanti Hari Esok sekitar 1977.

“Ini kerana, hanya satu saya memikirkan soal meminta rehat untuk bersolat bila tiba waktunya. Saya sangat faham apabila kita meminta diri seluruh produksi juga terpaksa berehat dan ini membuatkan mereka rugi. Selain itu, waktu bersolek pastinya akan mengambil masa yang lama setiap kali selepas sembahyang, jadi rasanya amat tidak sesuai bagi saya,” katanya

Menurutnya, dia cenderung berkongsi pengalaman dalam mendekatkan diri dengan Islam serta caranya untuk terus kekal menjadi muslimah sejati.

”Mungkin sudah sampai masa untuk saya berkongsi pengalaman tentang beberapa perkara dalam melakukan perubahan dalam diri.

"Saya terima pun selepas bertanya kepada beberapa orang terdekat yang menasihati saya bahawa berkongsi pengalaman tidak mengapa kerana dengan niat kesilapan itu datangnya daripada kita dan yang baik itu hanyalah daripada Allah,” katanya yang turut berkongsi pengalaman bersama rakan artis yang lain seperti Aishah dan Amy Search.

Sementara itu, Noorkulamasari juga kesal dengan sikap sesetengah wanita yang bertudung tetapi tidak konsisten mengamalnya.

Katanya, perkara sebeginilah yang cuba disampaikan agar dapat dielakkan khususnya wanita agar niat itu haruslah berada di landasan yang betul.

“Saya dahulu pun pada awalnya tidak mahu menutup aurat dan akhirnya bertudung tanpa dirancang. Saya bersyukur kerana mendapat hidayah daripada Allah.

"Saya tidak mahu melihat wanita hanya bertudung kerana disuruh oleh suami atau perlu bertudung atas sebab-sebab lain. Saya mahu seseorang wanita itu bertudung kerana rasa cintanya kepada Allah semata-mata,” tegasnya yang juga pernah berlakon dalam sebuah filem seram usahasama Malaysia-Indonesia berjudul, Misteri Rumah Tua pada tahun 1987.

Menurutnya lagi, dalam mengekalkan sesuatu perkara baik haruslah selari dengan kekuatan dalaman serta mempunyai azam yang sangat tinggi. Malah paling penting berusaha untuk mengenali Pencipta kita terdahulu.

Sementara itu, Noorkumalasari juga sempat berkongsi, dalam mengekalkan jiwanya kepada Islam, kini dia berusaha untuk ke masjid bersama suami dan anak-anak untuk bersembahyang berjemaah setiap kali tiba waktu solat.

“Jika dahulu saya tidak ke masjid untuk bersembahyang tetapi bila difikirkan ketika menunaikan haji di Mekah, kita berlumba-lumba ke masjid untuk menunaikan ibadah ini tetapi apabila di sini perkara tersebut sudah tidak dilakukan. Rasanya tidak menjadi satu masalah pun untuk saya terus menunaikan amalan tersebut,” katanya.

”Secara ringkasnya itulah beberapa pengalaman seperti yang saya lalui mahu dikongsi dengan para peserta seminar itu nanti, “ akhirinya yang tidak mahu kemunculannya di seminar itu dikatakan hanya melihatkan dirinya seakan membangga diri.

Luna Maya nikah umur 14 tahun

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba berita tentang Luna Maya telah bernikah ketika berusia 14 tahun menjadi antara berita hangat di Indonesia.

Berita itu dibantah keras salah seorang rakan baik Luna dan Ariel, Boy Afrian Bondjol.

“Isu itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas, ia sama seperti cerita Ariel yang dikatakan mati kerana menelan pil belebihan padahal dia sihat walafiat di dalam penjara." katanya.

Berita itu menjadi hangat setelah pihak polis juga menyoal perkara sama kepada Luna.

Bagaimana pun Luna masih belum memberi sebaran komen tentang khbar angin yang bertiup itu.

Sementara itu, Luna sempat melawat Ariel dipenjara dan dilihat memeluk erat Ariel bagi melepaskan rindu setelah Ariel menyerah diri kepada pihak polis. Luna juga dikatakan memberi kata-kata semangat pada Ariel dan menyampaikan kata cinta dan rindunya kepada vokalis Peterpan itu.

70 penghuni RTK dihalau


Nasib penghuni Rumah Titian Kasih kini kabur setelah banglo mereka berteduh di Persiaran Titiwangsa, Kuala Lumpur diarah dikosongkan mulai hari ini.


KUALA LUMPUR - Tujuh puluh penghuni wanita berusia antara dua bulan dan 85 tahun akan hilang tempat tinggal apabila mereka diarah keluar dari rumah perlindungan Rumah Titian Kasih (RTK) yang disewa selewat-lewatnya hari ini.

Pengusaha RTK, Sharifah Adlan berkata, mereka telah diarah keluar atas perintah mahkamah dari banglo No. 15 Persiaran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa apabila pemiliknya mahu menjual kediaman berkenaan untuk tujuan komersial.

"Kami menyewa kediaman ini sejak tahun 2008, namun pada tahun lepas, pemilik banglo ini mengambil keputusan untuk menjual kediaman itu atas dasar komersial.

"Kami tidak mampu untuk membeli banglo ini dengan harga RM2.7 juta," katanya kepada pemberita di sini semalam.

MB kecewa stadium belum dibaiki


KEADAAN Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu yang masih belum diperbaiki walaupun telah runtuh sejak lebih setahun lalu.


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluahkan rasa malu dan kecewa dengan keadaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang rosak akibat bumbung runtuh lebih setahun lalu masih belum lagi diperbaiki.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum nampak sebarang usaha pembersihan dilakukan walaupun pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) memberitahu sudah membuka tender kepada kontraktor untuk proses membaik pulih.

Jelas Ahmad, pihak JKR memaklumkan sudah ada 40 kontraktor menawarkan diri untuk kerja-kerja pembaikan itu tetapi beliau hairan kerana sehingga sekarang pihak JKR belum memilih kontraktor sesuai.

"Pada saya, cari yang murahlah untuk jimat kos, tunggu apa lagi. Penilaian apa yang lama sangat. Yang penting, murah. Saya tidak faham.

Sukarelawan ke Gaza dakwa diracun arsenik


Noorazman


PUTRAJAYA - Sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel setelah flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza diserang pada 31 Mei lalu mendakwa sebahagian mereka diracun dengan arsenik yang dimasukkan dalam makanan sepanjang penahanan itu.

Ketua Misi Lifeline for Gaza Malaysia, Noorazman Mohd. Samsuddin berkata, dakwaan itu terbukti benar apabila tiga sukarelawan dari Indonesia disahkan mempunyai kandungan arsenik yang tinggi dalam badan, sekembalinya mereka dari misi itu.

"Bagi sukarelawan dari Malaysia, setakat ini lima hingga enam sukarelawan sudah buat pemeriksaan kesihatan termasuk petugas media dari Astro Awani dan keputusan mendapati ia negatif.

"Baki sukarelawan yang masih belum membuat pemeriksaan kesihatan akan berbuat demikian dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perkongsian Pengalaman Bersama Sukarelawan Malaysia ke Gaza di sini semalam.

Remaja ugut bunuh diri


ZURAINI menunjukkan gambar Rosmida sambil memegang Rosdan dan menunjukkan SMS ugutan untuk membunuh diri yang dikirim remaja itu di Kuantan semalam.


KUANTAN - Gara-gara cinta, seorang pelajar tingkatan tiga dipercayai tergamak lari dari rumah dan meninggalkan keluarga demi mengikut kekasihnya yang dikenali sebagai 'Man'.

Selain tindakan itu, keluarga remaja perempuan terbabit turut bimbang apabila dia mengugut untuk membunuh diri jika laporan polis dibuat mengenai kehilangannya.

Bapa remaja itu, Rosli Raslan, 46, memberitahu, dia menyedari kehilangan anaknya, Rosmida, 15, apabila remaja itu tidak pulang ke rumahnya di Taman Tas di sini selepas habis sesi persekolahan pada 21 Jun lalu.

"Saya cuba menghubungi Rosmida, tapi panggilan saya tidak dijawab, kemudian saya pergi berjumpa rakan-rakannya dan saya diberitahu anak saya berkawan dengan seorang lelaki bernama Man berusia 28 tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Penerbangan terus MAS ke Muscat


TENGKU AZMIL (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Hill di Petaling
Jaya semalam.


PETALING JAYA - Rakyat Malaysia yang mahu melancong ke ibu negara Kesultanan Oman, iaitu Muscat dengan menaiki pesawat tanpa henti kini boleh berbuat demikian menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Akses laluan berkuat kuasa serta-merta itu berjaya direalisasikan menerusi perjanjian perkongsian kod di antara MAS dan Oman Air yang dimeterai pada satu majlis di sini semalam.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, perjanjian itu juga akan membolehkan penumpang penerbangan tersebut disambung ke destinasi lain di Asia Barat.

"Menerusi usaha sama ini, pengembara dan penumpang boleh ke destinasi lain yang disambung tanpa masalah ke Amman dan Bandar Kuwait.

"Ia juga akan menyediakan lebih banyak penerbangan dan pilihan kepada penumpang ke Dubai dan Beirut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis tersebut.

Dipenjara 14 hari kerana 'duit kopi' RM100


MEOW BOON (menutup muka) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas dakwaan cuba memberi 'duit kopi' kepada seorang sukarelawan polis November tahun lalu.


KUALA TERENGGANU - Gara-gara 'duit kopi' RM100, seorang jurujual dihukum penjara 14 hari serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Jika gagal membayar denda itu, tertuduh, Chew Meow Boon yang bekerja di sebuah syarikat di Kampung Merbau Patah dekat sini terpaksa menjalani hukuman penjara selama enam bulan lagi.

Keputusan itu dibacakan hakim, Che Mohamad Zulkifly Jusoh selepas tertuduh mengaku salah cuba merasuah seorang sukarelawan polis pada 21 November tahun lalu di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Mengikut fakta kes, Meow Boon telah memasuki laluan bas yang tidak dibenarkan untuk kenderaan lain di stesen bas itu kira-kira pukul 2.10 petang dan dia ditahan seorang sukarelawan polis, Koperal Alias Mohamad yang meronda bersama tiga lagi rakannya yang lain.

Bagaimanapun, ketika kompaun sedang ditulis, Meow Boon telah meletakkan dua keping wang kertas bernilai RM50 di atas meja di hadapan Alias dan apabila ditanya, tertuduh memberitahu itu adalah 'duit kopi' untuk membatalkan saman.

Bawa peminat tidur di rumah




MUNGKIN sebelum ini jarang kita dengar ada artis yang membawa peminat untuk tidur di rumah mereka kerana bagi artis jurang antara peminat harus dijaga.

Namun fakta itu tiada dalam kamus vokalis Hujan, Noh. Dia sebaliknya pernah membawa peminat pulang untuk tidur di rumahnya!

Noh mengakui ketika itu dia membawa peminatnya yang berasal dari luar Kuala Lumpur itu untuk bermalam di rumahnya kerana peminat tersebut tidak mempunyai tempat tinggal ketika berkunjung ke kota raya ini.

"Peminat lelaki itu datang ke Kuala Lumpur pada musim cuti sekolah (semata-mata) untuk berjumpa dengan Hujan.

"Bila sampai di sini dia tidak ada tempat tinggal dan saya suruh dia duduk rumah saya. Dalam Facebook saya layan mereka (peminat) dengan baik dan saya kenal dia. Justeru, tidak mungkin bila dia datang nak jumpa kami, kami tidak layan," katanya.

Noh bagaimanapun mengakui rakan-rakannya pernah menasihatinya supaya mewujudkan jurang dengan peminat kerana bimbang berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

"Saya dah cuba tetapi susah kerana bagi saya tanpa peminat siapalah Hujan," katanya.

Sememangnya kerjaya sebagai seorang selebriti sering menjadi perhatian khalayak ramai terutamanya peminat mereka sendiri. Adakalanya kisah remeh-temeh pun jadi besar gara-gara ada peminat yang tidak berpuas hati.

Mungkin bagi sesetengah artis atau selebriti mereka akan mengambil langkah menjadi seorang yang hipokrit atau menjadi orang lain untuk menjaga hati semua pihak disamping agar imej mereka tidak tercalar.

Lain pula bagi Noh apabila dia meraih impak negatif setelah membuat pilihan untuk menjadi dirinya yang sebenar. Bagi dirinya, dia tidak mahu ada jurang antara dia dan peminat dan sebab itu jugalah dia memilih untuk peminat mengenali dirinya yang sebenar.

Pada 29 April lalu, seorang peminat wanita Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 25, telah membuat pengakuan dihina dalam satu sesi autograf bersama Noh anjuran sebuah universiti tempatan.

Pelajar tersebut berkecil hati dengan Noh gara-gara menggantikan autografnya dengan ayat 'awak busuk'. Rentetan daripada kejadian itu pelajar tersebut telah meminta Noh meminta maaf secara terbuka.

Noh ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini di satu sidang akhbar di Oxford Cafe, Kuala Lumpur memberitahu dia bersedia untuk meminta maaf kepada pelajar tersebut.

Permintaan itu akan ditunaikan sekiranya pelajar tersebut mahu bersemuka dengannya. "Saya boleh minta maaf kepada dia (pelajar) itu pun kalau dia mahu jumpa saya," katanya.


NOH dinasihatkan supaya mewujudkan jurang dengan peminat.


Jelasnya, sebenarnya kejadian tersebut telah sedikit sebanyak mengganggu kariernya. "Namun nasib baik ramai juga peminat saya yang lain banyak memberi sokongan.

"Mereka kata, saya jangan risau dengan hal tersebut kerana siapa yang kenal Noh tahu saya macam mana," jelanya.

Tambahnya, dia sedar sikapnya itu mungkin akan membuatkan sesetengah pihak akan hilang minat kepada dirinya.

"Itu cara saya. Mungkin ketika kejadian itu pelajar tersebut tidak boleh menerima cara layanan saya. Kesilapan saya ialah buat macam itu kepada orang yang salah.

"Tujuan saya adalah untuk buat peminat serapat yang mungkin dengan Noh dan mahu peminat selesa dengan cara saya," tambahnya.

Sokongan Raingers

Dia yang mewakili ahli Hujan yang lain dalam pada itu berasa terharu dengan sikap kumpulan peminat mereka yang diberi nama Rainger. Mereka sanggup melakukan pelbagai aktivi selain dapat menambahkan keakraban antara mereka.

Jelas Noh, Raingers pada mulanya adalah peminat-peminat Hujan yang datang ke konsert dan kemudian menjadi kawan dan terus menubuhkan kelab peminat bernama Raingers.

"Kami (Hujan) memang rapat dengan Raingers dan banyak melakukan aktiviti bersama ketika ada masa lapang seperti main badminton dan menonton wayang," ungkapnya.

Menurut Noh lagi, apa yang membuatkan dia terharu dengan Raingers ialah mereka banyak membantu Hujan walaupun berkenaan hal peribadi.

"Baru-baru ini ada salah seorang ahli Raingers yang merupakan kawan karib kami meninggal dunia. Arwah sangat rapat dengan seorang lagi ahli Raingers yang ketika itu sedang menjalani latihan menjadi polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak Kuala Lumpur Pulapol tidak tahu berita itu dan ahli Raingers lain telah pergi dan sampaikan berita kepada mereka.

"Saya mendapat berita itu 10 minit sebelum saya buat persembahan. Saya menangis dan selepas itu terpaksa membuat persembahan dengan menggunakan cermin mata hitam," tuturnya.

Hujan lawan Bunkface

Berita baik buat sekalian peminat Hujan. Hujan bakal beraksi di pentas dalam masa terdekat ini.

Konsert Hujan vs Bunkface: 1 Hati Cinta Negara itu dijadualkan akan berlangsung pada 10 dan 11 Julai ini di KL Live Hall, Life Center, Kuala Lumpur.

Objektif yang akan dibawakan pada konsert anjuran Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang selari dengan matlamat mereka.

Menurut Presidennya Datuk Izzudin Ishak, penganjuran konsert itu dilaksanakan selepas Pencinta menyedari bahawa perlu ada usaha memupuk semangat patriotik dan cinta negara di kalangan generasi muda.

Katanya, generasi muda tidak harus tertumpu kepada program bersifat akademik semata-mata seperti seminar, dialog, kempen dan program bercorak keilmuan sahaja.


NOH (kanan) dan anggota Hujan yang lain (dari kiri), Am, Izzat, Dimas, bertuah kerana mempunyai kelompok peminat setia, Raingers.


"Malah, pendekatan kepada mereka juga boleh dibuat melalui elemen hiburan kerana ianya lebih dekat dengan minat mereka.

"Konsert ini dilakukan bagi memainkan peranan memupuk sikap mencintai negara melalui hiburan di mana golongan remaja akan didekati," katanya.

Konsert itu turut menyuntik konsep Battle of the band yang mana kumpulan Hujan dan Bunkface akan membuat persembahan secara berselang seli.

Namun, terdapat juga beberapa lagu yang akan dinyanyikan secara kolaborasi sekaligus menjadi keistimewaan konsert itu.

Antara lagu yang akan dibawakan oleh Hujan pada malam itu nanti seperti Pagi yang Gelap, Jiwa Kelajuan, Bila Aku Sudah Tiada dan beberapa lagu lain.

Sementara Bunkface pula bakal mengalunkan lagu Ekstravaganza, Revolusi, Situasi dan banyak lagi.

Leona haramkan daging


LEONA LEWIS


PARA krew dan pekerja untuk konsert jelajah Leona Lewis, Labyrinth dilaporkan berang dengan polisi penyanyi tersebut yang tidak membenarkan daging dibawa berdekatan dengannya. Impaknya, pihak krew dikatakan mengugut untuk berhenti daripada menjayakan konsert tersebut.

Mengamalkan pemakanan berasaskan sayur-sayuran atau vegetarian secara serius sejak berusia 12 tahun, Leona telah mengharamkan semua produk makanan haiwan sepanjang konsert jelajahnya itu. Tindakannya itu telah menaikkan kemarahan krewnya yang tidak boleh membawa makanan berdaging dari luar.

Menurut satu sumber kepada akhbar Britain, The Sun: "Leona menegaskan supaya semua orang diberi makan berasaskan sayur-sayuran. Ini membuatkan semua krew mengugut untuk berhenti. Apa yang lebih teruk, dia tidak membenarkan makanan berasaskan haiwan dibawa masuk dari luar."

Larangan itu membuatkan dia mempunyai reputasi teruk dan mula digelar diva. Dia juga diselar kerana mempunyai perangai diva yang sukar dikawal.

Tambah sumber itu: "Bukan sahaja pihak krew tidak gembira kerana isu pengharaman daging. Orang di sekelilingnya juga risau kerana para pekerja memerlukan banyak tenaga dan hanya memakan sayur-sayuran tidak akan mencukupi."

Cabaran WCOPA 2010


DIJADUALKAN mempersembahkan rentak Tari Inai di Hollywood, Suhaili menaruh harapan tinggi untuk menang.


MENGEMBANGKAN bakat ke luar negara sememangnya menjadi impian setiap karyawan seni. Apatah lagi dengan menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa di Hollywood yang akan mengiktiraf bakat dan mengubah nasib mereka untuk menjadi lebih terkenal.

Para peserta yang mewakili Malaysia pada pertandingan seni bertaraf dunia, World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2010 yang bakal berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat dari 17 hingga 25 Julai depan kini dalam proses bersiap sedia untuk menghadapi cabaran di Hollywood.

Merupakan kali keenam menyertai pertandingan tersebut, bagaimanapun pada tahun ini tiada sebarang artis terkenal yang menyertai barisan peserta yang bakal bertanding. Peserta yang terpilih mewakili Malaysia ke WCOPA kali ini ialah Cheryl Koh dan Khairullah Ezuan Sulaini bagi kategori vokal, Suhaili Ahmad Kamil dan Aswara Dance Co. untuk kategori tarian, sementara kategori muzik instrumental diwakili Rhythm of Borneo.

Satu lagi kategori iaitu peragaan diwakili Nur Farahdilla Marzuki dan Zulyasrani Zaulyaddin.

Bukan mudah untuk menyahut cabaran dari luar negara dan mendapat peluang bersaing antara satu sama lain, malah pendedahan ini merupakan satu langkah untuk golongan artis menempa nama di luar negara.

Justeru, pelbagai program diadakan di Malaysia untuk mencari dan menilai bakat terpendam yang dimiliki karyawan seni tempatan. Menurut Pengarah Eksekutif All Star Performing Arts (M) Sdn. Bhd., Romli Bidin, acara yang diadakan setiap tahun itu merupakan satu pertandingan yang akan memberi peluang kepada mereka untuk melonjakkan lagi nama mereka di persada seni suatu hari nanti dengan semangat dan latihan yang dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

Tambahnya, pada tahun ini karyawan seni Malaysia akan menyertai empat kategori kali ini iaitu kategori vokal, tarian, peragaan dan muzik instrumental.

Malaysia tidak akan menyertai kategori lakonan pada tahun ini kerana tiada sebarang individu yang berjaya membawa lakonan yang berkesan atau menarik perhatian juri untuk melayakkan mereka ke WCOPA 2010.

Menyentuh tentang persediaan ke gelanggang pertandingan itu nanti, menurut Cheryl Koh, gadis cilik yang baru berusia 14 tahun yang melayakkan diri untuk untuk kategori vokal, dia telah menjalani latihan hampir setiap hari bagi memantapkan lagi vokal dan gayanya apabila berada di atas pentas.


NUR FARAHDILLA (kiri) dan Zulyasrani mewakili negara untuk kategori peragaan.


"Saya memang teruja untuk menyertai WCOPA 2010, apatah lagi saya terpilih untuk mewakili kategori vokal. Menerusi pertandingan itu nanti saya akan menyanyikan lagu untuk kategori pop, R&B, world music dan kategori terbuka," tuturnya.

Tambahnya: "Bersama Khairullah Ezuan Sulaini, saya juga akan menyertai kategori duet menerusi kategori pop dan R&B."

Bagi kategori tarian solo pula, Malaysia akan mempertaruhkan bakat Suhaili Ahmad Kamil, 25, yang merupakan pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan guru penari sepenuh masa di Arora School of Dance di Subang Jaya.

Suhaili bakal bertanding menerusi empat kategori iaitu jazz, tradisional, lirikal dan kategori terbuka.

"Persiapan untuk pertandingan kali ini, saya lebih tekankan kepada gaya tarian tradisional yang ingin disampaikan kerana rentak Tari Inai yang bakal saya persembahkan sangat rumit dan memerlukan saya mengubah sedikit rentak tarian yang mana setiap masa yang diberikan hanya satu minit," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Harapan Suhaili supaya apa yang disampaikan di sana nanti bakal membuka mata mereka bahawa Malaysia juga setanding dengan mereka.

Model, Nur Farahdilla Marzuki, 19, pula bagaimanapun mengakui sedikit gusar dengan ketinggian yang dimilikinya berbanding peserta-peserta luar negara yang jauh lebih tinggi berbanding dirinya. Namun, dia tidak menjadikan faktor tersebut sebagai halangan buat dirinya untuk menjadi juara.

"Farah akan lebih menggayakan busana bercorak batik bagi menyerlahkan fabrik kebanggaan negara kita itu ke luar negara sekali gus membuka mata mereka bahawa Malaysia juga mampu mereka," ujar beliau baru-baru ini.

Bagi model lelaki pula, Zulyasrani Zaulyaddin, 22, yang sebelum ini bekerja di Hush Puppies sebagai pembantu jualan sanggup berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap modelingnya.


MENGGALAS nama Malaysia dalam kategori tarian, Aswara Dance Co. kini giat menjalani latihan.


"Saya sangat teruja dapat pergi ke Hollywood kerana tahun lepas saya cuba nasib dalam pertandingan ini, tetapi gagal mempersembahkan yang terbaik dan tahun ini merupakan rezeki saya dan saya sangat bersyukur dapat mewakili Malaysia untuk menaikkan lagi nama Malaysia ke persada seni," ujar jejaka tinggi lampai ini.

Zul lebih menekankan kepada gaya jalan beliau dan tarikan para penonton yang melihat kerana ia merupakan imej yang perlu ada terhadap model.

Kategori yang akan dipersembahkan oleh Zul termaasuklah formal, kasual, sesi fotografi dan pakaian renang malah mengatakan kasual merupakan persembahan yang sukar dibawa kerana ia perlu membawa karektor yang lain dari yang lain.

Namun tambahnya, ia bukanlah halangan untuk beliau terus berusaha lebih gigih untuk memberi yang terbaik bagi semua kategori.

"Saya berharap, peserta yang mewakili Malaysia ini mampu membuka mata semua orang di sana bahawa Malaysia juga mampu bersaing bersama mereka tidak kira dalam apa jua persembahan dan menaikkan nama Malaysia ke persada dunia," kata Zul.

Sukar temui mangsa tanah runtuh


ANGGOTA-anggota penyelamat mencari mangsa tanah runtuh di kampung Dazhai, China semalam.


BEIJING - Kira-kira 600 anggota pasukan penyelamat semalam berdepan situasi sukar untuk mengeluarkan 107 mangsa yang tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di kampung Dazhai di wilayah Guizhou.

"Pasukan penyelamat masih melakukan usaha mencari manakala hujan turun dengan lebat. Ia memberi kesan terhadap kerja-kerja menyelamat," kata jurucakap yang mewakili pihak berkuasa di daerah Guanling, Pi Yingfang.

Stesen televisyen tempatan menunjukkan para penyelamat berjalan di laluan berlumpur tebal yang hampir menutupi keseluruhan rumah-rumah.

Kelmarin, lebih 100,000 kubik meter lumpur dan batu jatuh ke atas beberapa buah rumah.

Ia disifatkan sebagai insiden terbaru sejak China dilanda banjir dan tanah runtuh dua minggu lalu.

AS tangkap perisik seksi Rusia


GAMBAR yang disiarkan sebuah akhbar di Amerika Syarikat menunjukkan gaya Anna.


WASHINGTON - Seorang wanita seksi berambut merah dan empat pasangan suami isteri merupakan antara 10 suspek yang ditangkap Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana menjadi pengintip Rusia di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Mereka didakwa di sebuah mahkamah AS kelmarin kerana merancang komplot pengintipan gaya era Perang Dingin terhadap AS.

Perang Dingin merujuk kepada ketegangan politik dan ketenteraan selain perang risikan antara negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) dan Barat terutamanya AS selepas Perang Dunia Kedua dan berakhir dengan kejatuhan empayar komunis itu pada tahun 1990-an.

Wanita berkenaan, Anna Chapman, dipercayai seorang janda berusia 28 tahun dan lulusan ijazah sarjana ekonomi selain memiliki perniagaan hartanah secara dalam talian.

Anna, ditangkap di Manhattan beroperasi dengan menggunakan nama sebenar. Anna kini ditahan tanpa ikat jamin selepas pihak pendakwa raya AS menggelarnya sebagai seorang ejen terlatih dan penipu yang licik.

Dia dipercayai menggunakan hubungannya dengan golongan berprofil tinggi untuk menghantar rahsia negara AS kepada seorang pegawai pemerintah Rusia pada setiap Rabu, bermula sejak Januari lalu.

Anna dan sembilan lagi suspek didakwa menggunakan dakwat pen yang boleh hilang, radio frekuensi pendek, stenografi dan gelombang WiFi untuk menghantar mesej berkod ke Rusia, termasuk maklumat tentang senjata nuklear.

Beberapa suspek berkenaan dipercayai telah beroperasi di AS sejak lebih sedekad lalu.

Pada Sabtu lepas, seorang ejen FBI yang menyamar sebagai seorang ejen perisik Rusia bertemu dengan Anna di sebuah restoran di New York.

Menurut dokumen mahkamah, ejen FBI berkenaan kemudian berpura-pura mahu menghantar wanita jelita itu dalam misi untuk menyerahkan sebuah pasport palsu kepada seorang ejen wanita lain.

"Adakah anda bersedia untuk misi ini?" soal ejen FBI tersebut.

"Ya," jawab Anna ringkas.

Wanita seksi itu diberitahu bahawa seorang ejen Rusia lain akan menyambutnya dengan bertanya:

"Bukankah kita pernah bertemu di California pada musim panas lalu?".

Anna sepatutnya menjawab: "Tidak, rasa saya kita bertemu di Hamptons,". Sebaik sahaja dia menyerahkan pasport itu, dia perlu melekatkan sekeping setem di atas peta dinding untuk memberitahu pihak atasan bahawa misi tersebut berjaya.

Bagaimanapun, penyerahan pasport itu tidak berlaku. FBI dalam dokumen mahkamah yang difailkan tidak menerangkan mengapa pasport itu tidak bertukar tangan. Salah seorang suspek lain, Mikhail Semenko, diperangkap dengan cara serupa di sini oleh FBI pada hari yang sama.

Berbeza dengan Anna, lelaki itu menurut arahan dan dicekup selepas dia menyelesaikan misinya.

Pihak FBI turut mengintip Anna ketika dia duduk di sebuah kafe di New York dan menggunakan komputer ribanya untuk berhubung dengan seorang ejen Rusia yang bersembunyi di dalam sebuah van berdekatan.

Wanita itu juga pernah dilihat mengunjungi sebuah kedai telefon bimbit Verizon di Brooklyn, New York untuk membeli sebuah telefon bimbit dengan menggunakan nama Irine Kutsov dan alamatnya sebagai '99 Jalan Palsu'. FBI mendakwa, dia berniat menggunakan telefon bimbit itu untuk aktiviti perisikan.

Agensi penyiasatan AS itu turut menyiarkan gambar Anna memakai gaun merah di laman jaringan sosial, Facebook selain beberapa gambar dia beraksi seksi di laman sama.

Kes Anna menggemparkan AS bukan sahaja kerana wanita itu memiliki reputasi sebagai seorang jelitawan.

Dia juga dipercayai seorang ejen penting kerana pernah menyertai misi Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak 10 kali dan menghantar mesej kepada ejen-ejen Rusia di AS menerusi rangkaian wi-fi persendirian.

Peguam Anna, Robert Baum bagaimanapun menyatakan bahawa dakwaan-dakwaan terhadap anak guamnya sengaja diperbesar-besarkan.

Semua suspek itu didakwa kerana bertindak sebagai ejen perisik tidak rasmi untuk pihak asing dan boleh dipenjara lima tahun sekiranya didapati bersalah.

Sembilan daripada mereka pula didakwa kerana berkomplot melakukan penggubahan wang haram yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Antara suspek berkenaan termasuk empat pasangan suami isteri yang menjalani kehidupan tenang di pinggir bandar raya New York, di sini dan Boston.

Mereka dipercayai berkahwin bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya satu pasangan itu mempunyai seorang anak hasil perkahwinan mereka.

Salah seorang perisik wanita Rusia yang ditangkap, Vicky Pelaez merupakan seorang wartawan dan pengarang akhbar berketurunan Peru. Dia pernah bekerja selama beberapa tahun untuk salah sebuah akhbar berbahasa Sepanyol paling popular di AS.

Satu kenyataan mengenai misinya menyatakan: "Anda (Pelaez) dihantar ke AS untuk perkhidmatan jangka panjang. Ijazah anda, akaun-akaun bank, kereta rumah dan sebagainya adalah bagi memenuhi satu matlamat: Jayakan misi anda iaitu mencari dan membina hubungan dengan kalangan pembuat dasar di AS dan menghantar laporan risikan ke C (Pusat Risikan Moscow.

Kenyataan misi itu seperti yang dihantar kepada suspek dari Moscow berjaya dipintas oleh FBI.

Pelaez dicekup bersama suaminya, Juan Lazaro di kediamannya di New York.

Dia dikenali di AS menerusi ruangan pendapatnya yang kerap mengkritik pemerintah negara kuasa besar itu. Anak lelakinya, Waldo Mariscal, memberitahu mahkamah bahawa ibunya tidak bersalah.

"Semua dakwaan ini palsu. Kami tidak mengenali suspek-suspek lain," katanya.

FBI mendakwa, Pelaez dan suaminya, Juan Lazaro pernah membincangkan rancangan untuk menghantar mesej berkod dengan menggunakan dakwat yang boleh hilang kepada beberapa pegawai Rusia semasa satu lagi kunjungan Pelaez ke Amerika Selatan.

Kata FBI, beberapa mesej dari ibu pejabat perkhidmatan perisikan Rusia, SVR di Moscow, mengarahkan suspek-suspek supaya membina hubungan dengan kalangan pembuat dasar di AS di samping mempelajari pelbagai topik termasuk senjata nuklear, dasar kawalan senjata AS, Iran, khabar angin melibatkan White House, peralihan kepimpinan Agensi Perisikan Pusat (CIA), pilihan raya Presiden AS, Kongres AS dan parti-parti politik di AS.

Dokumen mahkamah turut menerangkan mengenai satu sistem komunikasi canggih terbaru yang digunakan untuk perhubungan antara ejen-ejen berkenaan.

Sistem itu menggunakan komunikasi tanpa wayar berfrekuensi pendek yang dapat menghubungkan komputer riba kepada beberapa komputer riba lain.

Mereka menghantar maklumat dengan menggunakan sistem tersebut.

Seorang lagi daripada sepuluh perisik tersebut yang menggunakan nama sebenar ialah Mikhail Semenko yang diberkas di Virginia.

Dua lagi suspek, Richard Murphy dan isterinya, Cynthia Murphy ditangkap ejen-ejen FBI di kediaman mereka di Montclair, negeri New Jersey. Suspek keenam iaitu suami Pelaez, Juan Lazaro pula ditangkap bersama isterinya di kediaman mereka di New York.

Dua lagi suspek, Michael Zottoli dan Patricia Mills ditahan di rumah mereka di Arlington, negeri Virginia.

Sementara itu, dua suspek terakhir, Donald Howard Heathfield dan Tracey Lee Ann Foley ditahan di kediaman mereka di Boston.

Pengintip ke-11, Christopher R. Metsos, masih bebas dan diburu FBI.

Penangkapan 10 suspek itu memalukan Rusia dan memburukkan hubungan antara Presiden Dmitry Medvedv dengan rakan sejawatannya di AS, Barack Obama.

Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Rusia di AS menyatakan, pihaknya tidak mengetahui tentang penangkapan tersebut dan masih mencari maklumat lanjut.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, beliau akan meminta penerangan AS berhubung dakwaan-dakwaan berkenaan.

Cut Tari beri keterangan kepada polis isu klip lucah


CUT TARI


JAKARTA - Pengacara terkenal, Cut Tari bertindak mendiamkan diri apabila pihak media mengajukan soalan mengenai sesi soal siasat yang berlangsung selama 10 jam di sebuah pejabat polis di sini berhubung rakaman lucah yang melibatkan individu miripnya dan Ariel Peterpan, lapor sebuah akhbar semalam.

Cut Tari yang ditemani suaminya Johannes Joesoef Subrata kelihatan terburu-buru untuk beredar bagi menghindarkan diri daripada dikerumuni pihak media.

Tidak banyak komen yang dikeluarkan oleh pengacara itu.

"Aduh, hujan. Tolong ya, Terima kasih," katanya kepada pemberita selepas selesai menjalani sesi soal siasat dengan polis.

Ketika itu, hujan sedang turun.

Menurut akhbar itu, wajah Cut Turi kelihatan penat tetapi dia memberikan senyuman kepada pemberita.

Cut Turi dan suaminya itu memasuki sebuah kenderaan Suzuki sebelum meninggal pejabat polis tersebut.

Dia disoal siasat polis berhubung klip video yang menampilkan wajahnya dengan Ariel yang kini masih ditahan polis kerana disyaki menyebarkan klip berkenaan di Internet.

Pemain England disindir akhbar tempatan


BEBERAPA pemain England turun dari sebuah pesawat di Lapangan Terbang Heathrow, London semalam.


LONDON - Pemain-pemain England tiba di Lapangan Terbang Heathrow di sini sejurus sebuah pesawat mendarat kira-kira pukul 6 pagi semalam.

Namun, sebuah akhbar tempatan mendakwa luka dialami para pemain itu selepas tewas 1-4 kepada Jerman di Afrika Selatan bakal terubat kerana mereka pulang untuk menikmati penajaan dan kontrak lumayan hasil daripada Liga Perdana Inggeris.

Lima pemain ternama England iaitu John Terry, Ashley Cole, Frank Lampard, Wayne Rooney dan Steven Gerrard akan memperoleh lebih £100,000 (RM490,363) seminggu.

Pemain-pemain England itu kebanyakannya memakai sut skuad rasmi pasukan bola sepak dibawa memasuki ruang untuk tetamu kenamaan (VIP) di lapangan terbang tersebut. Mereka juga tidak berdepan dengan rombongan wartawan yang mahu mendapatkan komen.

Pemain-pemain itu kemudian menaiki kereta masing-masing. Sementara itu, jurulatih England, Fabio Capello yang mendapatkan kritikan peminat kerana tewas di pusingan kedua didapati menaiki sebuah pesawat lain selepas dia tiba di lapangan terbang berkenaan.

Dia yang berasal dari Itali menaiki pesawat itu bersama isterinya dan dipercayai menuju ke Switzerland.

Sebab siaran Piala Dunia lewat


BEBERAPA peminat menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Australia dengan Jerman menerusi imej tiga dimensi di sebuah pawagam di Melbourne pada 14 Jun lalu.


LONDON - Ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 dari Afrika Selatan dan Kejohanan Tenis Wimbledon di sini menguasai televisyen di rumah, pejabat dan kedai makan, timbul persoalan kenapakah terdapat televisyen yang siaran secara langsung lebih awal daripada televisyen lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Jawapannya terletak pada televisyen yang sedang ditonton dan cara siaran itu diterima.

Penyebab paling lazim ialah kelewatan dalam aspek menukar kod data digital.

Di rumah, peralatan digital mengandungi perisian yang mentafsir kod data isyarat siaran.

Maksudnya, semakin banyak perincian dalam siaran, maka lebih banyak masa diperlukan untuk proses mentafsir kod.

Justeru, penonton yang menonton menerusi isyarat analog atau menggunakan aerial yang dipasang terus ke televisyen biasanya akan memperoleh siaran langsung lebih awal.

Oleh itu, mereka yang menonton siaran lansung pada televisyen analog lama, siarannya adalah beberapa saat lebih pantas.

Berbanding televisyen berdefinisi tinggi, masa lebih banyak diperlukan untuk mentafsir kod siaran yang berkualiti tinggi. Sementara itu, mereka yang menonton siaran sukan secara dalam talian terpaksa berdepan dengan sedikit kelewatan kerana isyarat perlu melalui alamat protokol Internet atau lebih dikenali dengan panggilan IP.

Jalan lengang sebab Piala Dunia


TIADA sebuah kereta melalui sebuah lebuh raya di Sao Paulo, Brazil semasa separuh masa kedua perlawanan antara Brazil dengan Chile disiarkan menerusi televisyen kelmarin.


SAO PAULO - Tiada kesesakan berlaku di jalan raya di bandar raya ini semasa perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Brazil dan Chile disiarkan menerusi televisyen kelmarin pada waktu tempatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Seramai 50,000 penduduk menyaksikan siaran secara langsung itu menerusi skrin gergasi di kawasan penduduk di Anhangabau.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung di televisyen Malaysia pada pukul 2.30 pagi semalam, Brazil menewaskan Chile 3-0 di Afrika Selatan sekali gus melayakkannya memasuki peringkat suku akhir.

AS tahu rahsia kokpit Boeing bermasalah


GAMBAR yang disiarkan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan cermin kokpit pesawat Boeing 757 milik American Airlines retak akibat haba pemanas tingkap.


WASHINGTON - Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) didakwa mengetahui sejak bertahun-tahun lalu mengenai masalah alat pemanas tingkap kokpit yang mudah terbakar dalam sebahagian pesawat Boeing.

Namun, pihak pentadbiran itu tidak pernah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk membaiki masalah tersebut walaupun selepas banyak insiden kebakaran berlaku sejak 2002 menyebabkan pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas.

Ramai juruterbang pernah membuat aduan mengenai alat pemanas itu terbakar, panas atau mengalir arus elektrik di seluruh tingkap manakala penyiasat keselamatan mendapati kes itu berpunca akibat perkara kecil iaitu skru tertanggal.

Setakat ini, belum ada kemalangan jiwa berlaku namun kes itu menakutkan pelbagai pihak kerana api pernah dilaporkan menyala semula selepas ia disembur dengan alat pemadam selain ada cermin yang retak dan panel peralatan dipenuhi serpihan kaca.

Tumpuan penghijrah nusantara




LORONG-LORONG di setiap pelosok Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak pernah sunyi dengan hiruk-pikuk penghuni ibu kota yang bertandang tamu ke sana. Sudah tentu, tujuan utama rata-rata pengunjungnya adalah untuk memenuhi selera masing-masing.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini tidak akan berasa gusar untuk pulang dengan perut kosong. Ini kerana, pilihan makanan yang tersedia pelbagai kadangkala membuat sesiapa sahaja rambang mata. Apatah lagi bebeberapa nama kedai makanan seperti Nasi Lemak Antarabangsa turut berlokasi di situ.

Selain nasi lemak, pilihan makanan laut, ikan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih boleh didapati di satu-satunya kampung yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Ia secara tidak langsung memaparkan sisi budaya yang semakin dicerap elemen antarabangsa.

Masakan tidak, menu tom yam malah stik dan spagheti tidak terkecuali boleh ditemui dengan mudah di Kampung Baru.

Biarpun desas-desus mengatakan bangsa asing tidak dialu-alukan di sini, barangkali faktor agama menjadi alasan yang kuat buat setiap pendatang beragama Islam memenangi hati penduduk di kampung itu.

Justeru, sejak sekian lama, ramai pendatang dan orang luar berhijrah ke sini untuk turut sama membina perniagaan di celah-celah kehidupan Kampung Baru yang didiami sepenuhnya oleh orang Melayu, biarpun hanya menyewa tanah yang sekangkang kera.

Tujuan mereka sama, mencari punca rezeki yang melimpah ruah di tanah bertuah di Kampung Baru yang sudah menjadi satu lokasi yang dipaparkan dalam peta pelancongan negara.


MASAKAN tom yam di Kampung Baru dikatakan lebih enak dan lazat kerana dihasilkan daripada air tangan orang Thailand sendiri yang berhijrah ke perkampungan itu.


Restoran Nang Kam Seafood yang terletak di Jalan Raja Uda, Kampung Baru merupakan salah sebuah restoran yang dibangun pasangan berasal dari Thailand. Mereka sudah menyewa tanah di situ sejak lapan tahun lalu.

Menurut anak kepada pasangan pengasas restoran berkenaan, Norwidah Abdullah, 27, sebelum mereka sekeluarga menjejak kaki ke Kampung Baru, mereka terlebih dahulu mencuba nasib berniaga di sekitar Kampung Pandan dan Pandan Indah Ampang.

"Perniagaan keluarga ini sudah berpindah randah akibat kekurangan sambutan lantaran pembangunan di Kampung Pandan dan Pandan Indah. Lapan tahun lalu kami membuka restoran di sini dan sambutannya sangat menggalakkan.

"Kampung Baru menjadi lokasi paling baik untuk kami membuka perniagaan makanan berbanding di kawasan lain," jelas anak pasangan Abdullah dan Azizah yang dilahirkan di Hatyai itu.

Bercerita lanjut, Norwidah memberitahu nama restoran mereka pada asalnya menyebabkan perasaan kurang senang di kalangan segelintir penduduk kerana tidak menggambarkan nama berunsur islamik.

"Ada penduduk minta kami turunkan papan tanda restoran dan tukar dengan nama lain tetapi lama-kelamaan masalah itu selesai dengan sendirinya apabila kami semakin rapat dengan penduduk kerana sama-sama beragama Islam," katanya.

Norwidah menambah, bapa saudaranya yang dikenali sebagai Ahmad yang juga berasal dari Thailand terlebih dahulu meneroka rezeki di Kampung Baru dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab memperkenalkan masakan tom yam di perkampungan itu.

"Bapa saudara saya berhijrah ke sini 30 tahun lalu dan membuka gerai tom yam. Masakan tom yam di restoran kami pula diperkenalkan ibu saya sendiri yang bertindak sebagai tukang masak utama ketika restoran ini mula-mula dibuka dulu," katanya.

Sewa tanah lot

Sementara itu, pemilik pasar raya mini Rina Mini Market, Adi Zainal, 36, yang berasal dari Acheh, Indonesia juga sudah lapan tahun menetap di Kampung Baru dengan menyewa rumah seorang penduduk di situ.


PASAR Raya mini Rina menjadi punca pendapatan utama Adi dan keluarganya yang menyewa lot kedai di flat PKNS Kampung Baru sejak lapan tahun lalu.


"Pada asalnya, saya datang ke Malaysia 12 tahun lalu untuk bekerja di sebuah kilang di Perak. Pada masa itu saya berkenalan dengan isteri yang merupakan penduduk tempatan dan kami berkahwin.

"Selepas beberapa tahun, hasil perbincangan dengan keluarga, kami membuat keputusan untuk berhijrah ke sini dan membuka perniagaan pasar mini. Tetapi kami hanya menyewa lot kedai kerana orang luar tidak boleh memiliki tanah di sini," jelasnya.

Katanya lagi, berniaga di Kampung Baru memberi rezeki yang baik buat mereka sekeluarga. Kerana itu juga Adi tidak bercadang untuk berpindah walaupun sudah membeli sebuah rumah di Puchong, Selangor.

"Saya sekeluarga akan tetap tinggal di sini kerana di sinilah rezeki kami. Rumah yang sudah dibeli pula akan disewakan untuk keperluan anak-anak pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengembara yang berasal dari negeri di Bawah Bayu, Sabah turut mengambil peluang mencari rezeki di Kampung Baru. Takdir Azhar, 21 dibawa ke perkampungan berkenaan oleh kedua orang tua sejak kecil lagi.

"Saya sekeluarga menyewa di Kampung Baru dan sudah lama bekerja di sini. Malah kami sudah terbiasa dengan cara kehidupan di sini berbanding di Sabah.

"Walaupun ibu saya sudah berhijrah ke Pulau Pinang, saya dan abang masih selesa bekerja di sini kerana lokasi yang strategik untuk menjalankan perniagaan," katanya yang bekerja di sebuah kedai pelbagai produk, Stable Steak House yang terletak di bawah bangunan flat PKNS, Kampung Baru itu.

Tanah orang Melayu

Penghijrahan orang luar yang menyewa tanah di Kampung Baru selari dengan kenyataan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi, bahawa tanah Kampung Baru tidak boleh diwariskan kepada orang luar.


NORWIDAH berdiri di hadapan restoran keluarganya yang diusahakan sejak lapan tahun lalu.


Menurut beliau, undang-undang itu termaktub selepas Kerajaan Negeri Selangor memberi hak milik tanah kepada penduduk Kampung Baru bagi 940 lot sedia ada, tidak termasuk tanah yang ditetapkan untuk pembangunan surau, masjid, sekolah dan padang permainan pada tahun 1965.

"Orang luar tidak boleh memiliki tanah di Kampung Baru walaupun mereka berkahwin dengan penduduk asal di sini. Tanah hanya akan diwariskan kepada anak-anak pasangan yang berkahwin campur.

"Bahkan, di bawah akta penubuhan Kampung Baru menghendaki sesiapa sahaja yang ingin menetap di Kampung Baru mestilah berketurunan Melayu, beragama Islam, berbahasa Melayu dan membudayakan adat orang Melayu atau diisytiharkan Melayu oleh Lembaga MAS," katanya.

Katanya lagi, Kampung Baru bukan sebarang kampung kerana sejak penjajahan British sehingga Jepun dan selepas mencapai kemerdekaan, akta sedia ada tidak berubah, malah Lembaga MAS yang ditubuhkan pada Januari 1900 masih bertanggungjawab terhadap segala urusan pentadbiran sehingga kini.