Monday, December 6, 2010

Rawat atau trend?


MODEL Sofea Nursolehhatun menganggap pemakaian pendakap gigi tidak menjejaskan kariernya.


MASIH ingat drama televisyen Sepanyol bersiri Yo Soy Betty La Fea yang popular sekitar awal tahun 2000? Ia mengisahkan tentang seorang perempuan cemerkap yang tidak cantik, berkaca mata besar dan memakai pendakap gigi.

Begitulah gambaran individu yang memakai pendakap gigi. Mereka digambarkan tidak cantik, kurang keyakinan dan tidak menyerlah. Malah pemakaian pendakap gigi juga seakan membataskan kebolehan mereka kerana sering dipandang dengan pandangan 'luar biasa.'

Tapi itu dulu. Kini semakin ramai yang memilih untuk memakai pendakap gigi biar pun masalah susunan gigi mereka tidak serius. Tidak ketinggalan apabila beberapa selebriti kelihatan bergaya dengan pendakap gigi, maka ia seakan menjadi trend yang mula diminati. Apa lagi bila gelung pada bracket pendakap gigi boleh ditukar warna, menjadikan si pemakai kelihatan lebih comel dan bergaya.

"Pemakaian pendakap gigi bukan satu kemestian kepada mereka yang mempunyai susunan gigi tidak cantik. Mana-mana individu yang memilih untuk memakai pendakap gigi adalah mereka yang mahu memperbaiki penampilan," kata Pakar Ortodontik, Dr. Fatimah Arshad.

Pakar dari Livingwell Cosmetic & General Dentistry itu berkata, disebabkan semakin ramai yang mampu membiaya rawatan pendakap gigi dan semakin bertambah juga pakar yang menyediakan rawatan tersebut, maka jumlah pemakai juga meningkat.

Mengapa perlu pendakap gigi?

Dr. Fatimah berkata, pendakap gigi dipakai untuk merawat keadaan Maloklusi (susunan dan gigitan) yang tidak ideal.

"Ia bertujuan menyusun semula gigitan demi memelihara kesihatan gigi supaya ia berfungsi dengan baik," kata beliau.

Susunan itu juga katanya mampu menggerakkan gigi dengan baik agar barisan gigi atas bertemu gigi bawah (bukan bertemu sebaris tetapi pada kedudukan yang betul) dengan baik bagi menghasilkan penjajaran (alignment) yang betul.

Mereka yang memerlukan pendakap gigi kata Dr. Fatimah adalah individu yang mempunyai tiga masalah.

Pertama jelasnya, mereka yang bermasalah jongang gigi barisan atas atau bawah. Yang kedua katanya, masalah susunan gigi tidak rata atau gigi senget dan ketiga masalah kombinasi antara jongang dan susunan tidak rata.

Jelas beliau, jongang bererti susunan gigi atas melebihi daripada susunan normal sebanyak empat milimeter. Begitu juga dengan susunan gigi bawah.

"Gigi yang mempunyai masalah jongang sedikit berada pada kedudukan empat hingga tujuh darjah. Sederhana antara tujuh hingga 10 darjah manakala masalah serius melebihi daripada kiraan tersebut," kata beliau.

Kebiasaannya individu mengalami masalah jongang gigi atas dan susunan gigi tidak rata.

Jenis pendakap gigi

1. Pemakaian tetap

Menurut Dr. Fatimah, lebih 80 peratus pemakai pendakap gigi memilih untuk pemakaian tetap dan ia mengambil masa lebih kurang dua tahun. Mereka yang memiliki masalah serius hanya boleh memilih pendakap gigi jenis ini. Jenis pemakaian tetap turut memiliki pendakap invisible (tidak kelihatan) berwarna putih buat mereka yang tidak mahu pendakap kelihatan terlalu jelas. Kos rawatan di klinik swasta bagi pendakap pemakaian tetap lebih RM6,000 dan bagi jenis invisible melebihi RM9,000.

2. Boleh tanggal

Bagi mereka yang mengalami masalah sedikit boleh memakai pendakap gigi boleh tanggal untuk tempoh lebih kurang enam hingga 12 bulan. Pendakap gigi dipakai sepanjang masa cuma boleh ditanggalkan ketika makan dan sewaktu membersihkan gigi. Kos rawatan juga sama seperti pemakaian tetap.

3. Estetik

Juga termasuk dalam jenis pemakaian tetap cuma tidak kelihatan. Ia menggunakan material yang sama tetapi dipasang dari bahagian dalam. Kos rawatan agak mahal iaitu melebihi RM30,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: