Sunday, November 21, 2010

Langkah baru lebih bergaya

pix_middle

BAGAI layang-layang yang terputus talinya, rentak perjalanan bintang ini hilang arah dan hingga pernah sekali, dia tersungkur, mempersoalkan keadaan yang datang menghimpit.

Percaturan langkahnya samar dan ada kalanya kabur ditenggelami gaya. Suaranya lantang memukau, pesona penghibur sudah lama melekat pada dirinya, rangkaian lagu pernah diiktiraf di majlis penganugerahan dan wajahnya manis menghidupkan gaya yang tidak sekali tewas. Namun semua yang indah dimiliki tidak membawanya ke tahap lebih atas, Raja Putri Atilia Raja Haron (Atilia) masih tersadai di belakang, bakatnya belum dilihat besar di gelanggang muzik tempatan.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Persoalan yang terlintas tatkala menyusuri riak wajah penyanyi yang gigih memperjuangkan muzik jazz ini, apa lagi kurangnya dan mana pula silapnya lagi
hingga ke hari ini, nama Atilia masih janggal meniti bibir peminat dan kelibatnya masih tewas memancing perhatian umum.Bagaimanapun, anak kelahiran Muar, Johor ini tidak sekali mengalah, semangatnya tidak terusik dan jiwanya melontar jauh perasaan kecewa. Kini Atilia cuba bangkit membuktikan diri dan muziknya tetap wujud. Biar sekuat mana angin yang melayangkan dirinya, usahanya untuk kembali berpaut tidak pernah henti.

“Kecewa dengan penerimaan peminat dan rasa bagai hilang arah memang pernah singgah dalam episod seni saya. Masih lagi saya ingat, hingga terduduk dan menangis dibuatnya apabila segala usaha dan kerja keras saya memperkenalkan identiti muzik ini gagal meraih penghargaan. Namun itu semua dulu ketika detik awal merangkak mengintai ruang.

“Mujur semangat yang ada tidak pernah luntur dan rasa percaya akan bakat saya
masih kuat mengiringi percaturan langkah baru. Saya terus teguh berdiri dan yakin suatu hari nanti, muzik ini akan diterima ramai. Hari ini, peminat juga sudah bijak menghargai seni muzik serta sesebuah karya tanpa menyekat selera mereka. Saya lihat, penantian selama ini tidak berakhir dengan satu penyesalan sebaliknya jika mengikut firasat yang menebal, saya bakal kembali dengan koleksi karya yang berkualiti dan sesuatu yang pasti selesa diterima semua peminat industri muzik,” katanya.

Sangkar adalah usaha enam tahun Atilia sebelum ini. Walaupun pernah menerima pengiktirafan, namun sambutannya hambar. Tolak ke tepi rasa terkilan, penyanyi berusia 36 tahun ini kembali memperkenalkan album terbarunya, Indah. Menerusi Indah, bintang yang pernah mewarnai pentas teater muzikal P. Ramlee dan Always In Wonderland ini membentangkan sebuah lagi produksi yang mesra pendengar. Tidak seperti Sangkar yang menjurus kepada kepuasan diri Atilia, Indah hadir lebih ringkas yang sarat elemen komersial.

Istimewanya Indah, Atilia kembali merakamkan lagu popular ibunya yang juga penyanyi terkenal, Salamiah Hassan iaitu Gelombang. Tidak sekali menjadikan tiket menjadi anak kepada Salamiah sebagai laluan mudah untuk populariti, Atilia kini sudah mampu tersenyum apabila melodi sulungnya bagi album ini, Indah sudah mula meniti corong radio tempatan.

Meskipun saat ini lagu duetnya bersama Monolog (Butterfingers) berjudul Adinda Kekanda hebat dimainkan, penyanyi kecil molek yang bijak bergaya ini masih gigih mempromosikan lagu lain termasuk Harus Bagaimana dan Silly Little Thing selain lagu kolaborasi bersama Noh (Hujan) menerusi Old Love, serta bersama grup jazz popular Indonesia, Malique & The Essentials dan Sore.
“Peminat tempatan

kini bijak meninjau jenis muzik dan tidak lagi diskriminasi terhadap sesetengah genre yang mungkin pelik pada selera kita. Najwa, Ana Rafali dan Yuna umpamanya kini sudah selesa menembusi pasaran tempatan dengan memperjuangkan muzik yang sama seperti saya. Alhamdulillah penerimaan itu membuatkan saya makin berani dan bersemangat.

“Indah satu naskhah yang menekankan susunan muzik yang teliti. Ia menterjemahkan selera saya dalam muzik serta hasil penat lelah meneliti setiap sudut penciptaannya.

“Insya-Allah usaha saya selama ini akan membuahkan hasil.

Cukuplah penantian selama ini. Namun saya tidak pula rasa terasing kerana alhamdulillah undangan nyanyian tidak pernah putus setakat ini. Ini membuktikan ada juga sesetengah pihak yang menerima baik perjuangan saya,” katanya.

Memilih untuk berdiri di pentas komersial bererti Atilia bersedia berkongsi setiap sudut kehidupan peribadi dengan umum. Justeru tatkala disoal mengenai lelaki bertuah yang kini mendampinginya, bingkas wanita yang bijak menyusun kata ini, buat masa ini dia enggan membenarkan kisah peribadinya melangkaui cerita kerjayanya kerana bimbang peminat akan jemu.

Kegagalan mem-pertahankan perkahwinan pertama cukup mengajarnya untuk lebih berhati-hati. Tidak mahu terus menangisi ketentuan takdir, kini Atilia mengakui bahagia diulit cinta barunya.

“Saya tidak mahu berbohong kepada peminat akan soal cinta. Namun kali ini saya tidak mahu terlalu mendedahkan perkara itu kerana pengalaman lampau cukup memberi pengajaran buat saya. Memang ada kalanya saya cemburu melihat kebahagiaan teman lain, bahagia bersama suami dan anak namun jika difikirkan semula, komitmen sebuah perkahwinan bukan semudah kita melihat.

“Saya akui sedang mengenali seseorang dan dia juga bekerja dalam industri yang sama. Kami mula berkenalan sejak dua tahun yang lalu dan kini hubungan itu semakin intim dan ada keserasian. Saya senang dengannya dan keluarga juga merestui hubungan ini namun itu tidak bermakna saya sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga kedua dalam masa terdekat.

“Penat saya dalam membina empayar kerjaya bukan mudah dan banyak pengorbanan yang dilakukan. Justeru saya tidak akan persiakan. Saya mahu fokus pada nyanyian dulu. Alhamdulillah dia memahami dan menjadi penyokong paling utama saya. Insya-Allah saya akan perkenalkan si dia suatu hari nanti. Buat masa sekarang, dia sendiri tidak mahu dikenali dan bersedia mengumumkan perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: