Sunday, November 21, 2010

Kate bayangan Puteri Diana


PUTERA William mengikut jejak langkah bapanya, Putera Charles memilih rakyat biasa sebagai pasangan hidup.


CATHERINE Elizabeth 'Kate' Middleton, 28, bakal mengulangi sejarah malang mendiang Puteri Diana?

Begitulah ramal banyak pihak apabila anak sulung pasangan berdarah orang kebanyakan, Carole Elizabeth dan Michael Francis Middleton, itu diumumkan sebagai tunangan pilihan anak sulung mendiang Puteri Diana, Putera William, 28.

Khabar itu semakin rancak dibicarakan terutama tatkala melihatkan cincin berbatu nilam yang dikelilingi 14 butir berlian di jari Kate yang sebelum ini merupakan cincin pertunangan Puteri Diana dengan Putera Charles sendiri pada tahun 1981.

Malah, Kate yang tampil ke khalayak pada acara itu dengan berbaju biru yang sepadan dengan cincinnya itu juga dikatakan mengulangi tindakan Puteri Diana.

Persamaan itu, tulis wartawan Daily Mail di London, Richard Kay, seolah-olah mengembalikan Puteri Diana dalam pemikiran orang ramai, khususnya mereka yang menyayanginya.

Malah, Putera William menjelaskan tindakannya menyarungkan cincin pertunangan itu ke jari Kate ialah sebagai simbol memperingati dan menjadikan mendiang ibunya sebahagian daripada acara penuh makna itu.

Ia memanglah menggambarkan kasih sayang seorang anak kepada ibunya, namun adakah ia langkah yang bijak?

Menurut Kay, ia umpama petunjuk yang buruk kerana cincin itu juga mengingatkan perkahwinan yang tidak bahagia untuk tempoh yang lama dan hakikatnya ia berakhir dengan perpisahan yang amat menyakitkan.

Lebih merunsingkan, baru di peringkat ini sudah begitu banyak perbandingan dibuat antara kedua-dua wanita itu.

Dalam sesebuah perkahwinan, petunjuk ialah sesuatu yang penting.

Selepas lebih sedekad menerima berita kematian Puteri Diana, siapa sangka keluarga diraja Inggeris itu perlu membiasakan diri untuk hidup dengan seorang lagi 'Diana'?


PUTERI Diana bersama Putera William pada tahun 1992. Kematian Puteri Diana pada 31 Ogos 1997 begitu dirasai William.


Tambahan pula, mereka berusaha keras untuk membuang ingatan tentang wanita itu daripada ingatan orang ramai.

Jika dilihat kembali, memorial untuk mengenang Puteri Diana hanya diwujudkan tujuh tahun selepas pemergiannya. Memorial itu pula tidak dapat dimasuki pengunjung awam.

Namun, memetik majalah Echoes, setiap kali Kate mengubah gaya rambutnya, atau dilihat menyarungkan dres baru, bertambah atau berkurang berat badan, membantu orang yang merempat atau menjadi penasihat untuk mana-mana badan kebajikan, beliau terus dibandingkan dengan mendiang Puteri Diana.

Sang putera ada berkata tiada tekanan ke atas bakal isterinya itu untuk menggantikan tempat mendiang.

Namun, sejauh manakah Kate teruja dengan laluan hidup yang dipilihnya itu apabila dalam satu temu ramah, beliau menggambarkan rasa terujanya dengan perkataan 'gementar' sebagaimana yang pernah disebut Puteri Diana 30 tahun lalu.

Cincin

Malah, mengatakan mendiang seorang wanita yang mampu memberi inspirasi juga seolah-olah mengalu-alukan lebih banyak spekulasi dan perbandingan antara dirinya dan Puteri Diana.

Kewujudan cincin berbatu nilam itu untuk satu lagi tempoh yang lama mempunyai implikasi ke atas seorang lagi wanita diraja dalam keluarga itu, Camilla Parker, kini isteri Putera Charles, bapa William.

Buat Duchess of Cornwall itu, cincin itu akan mengingatkannya terhadap rayuan Puteri Diana supaya dia meninggalkan suaminya, Putera Charles yang ketika itu menjalin hubungan sulit dengan Camilla.

Keputusan William untuk memberi Kate cincin pertunangan mendiang ibunya sendiri dilihat sebagai tindakan seorang anak yang merindui ibunya. Namun sebahagian lagi menerimanya sebagai peringatan buruk tentang sebuah perkahwinan yang gagal.

Editor majalah Psychologies, Louise Chunn, menilai langkah Putera William menyarungkan cincin pertunangan mendiang ibunya ke jari Kate sebagai tindakan yang penuh sensitif, jujur dan penuh rasa hormat.


CINCIN berbatu nilam yang dikelilingi 14 butir berlian peninggalan Puteri Diana dipakai Kate semasa majlis pertunangannya, Selasa lalu.


Malah, kepercayaan bahawa cincin itu bakal membawa malang sebagaimana yang berlaku terhadap Puteri Diana disifatkan Chunn sebagai karut.

Chunn menjelaskan bahawa cincin pertunangan ialah sebuah objek yang tidak hidup dan tidak mampu mempengaruhi alam perkahwinan sama seperti seutas rantai yang dibeli seorang pemenang tiket loteri yang tidak akan menjadikan seseorang itu seorang jutawan.

Sebaliknya, buat sesiapa saja yang kehilangan ibu pada usia yang muda, mereka tahu bahawa barang milik ibunya mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada William, tidak kiralah berapa pun harganya.

Penulis dan pengulas, Karen Krizanovich pula melihat pemilihan cincin itu sebagai satu penyatuan yang penuh tragis.

Tidak dinafikan, kata Krizanovich, Kate kini sedang memakai cincin yang paling terkenal di dunia.

"Tetapi jika saya menjadi Kate, saya akan mencari jalan untuk mengelak daripada memakainya. Kerana ia menjadi simbol kepada salah satu perkahwinan yang paling tidak bahagia dalam sejarah.

"Puteri Diana pernah menjadi salah seorang wanita terkenal dan tercantik di dunia. Tetapi dia menderita dalam perkahwinannya dan mati dalam kemalangan jalan raya yang amat tragik di Paris.

"Jadi nasihat saya kepada Kate, pakailah cincin itu di khalayak ramai tetapi simpanlah ia jika anda tidak ke mana-mana," pesan Krizanovich.

1 comment:

  1. sy stuju dgn pendat chunn.. ia adalah pendapat yg karut.. cincin itu hanya objek yg x bernyawa dan x mampu mempengaruhi alam dan manusia.. kita perlu ingat, segala yg berlaku adalah atas ketentuan Ilahi.. walau apa pun alasan Putra william, kita harus menerimanya dgn fikiran yg positif.. krn kita tahu putra william sgt2 menyaygi ibunya..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: