Friday, November 12, 2010

Karnival Upin & Ipin Disember Ini

SHAH ALAM: Buat julung kalinya Les' Copaque Production Sdn. Bhd (LCP) melalui anak syarikatnya, LC Merchandising Sdn. Bhd. (LCM) akan menganjurkan Karnival Upin & Ipin pada 24 hingga 28 Disember ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Karnival tersebut merupakan anjuran bersama TV9. Berkonsepkan keriangan, karnival ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan peminat siri animasi Upin & Ipin kepada para karyawan di sebalik kejayaan Upin & Ipin yang telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam industri animasi tanah air.

Menurut penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi, LCP dan TV9 telah lama bekerjasama menerusi animasi Upin & Ipin yang disiarkan di TV9.

Lantas mereka memikirkan untuk membuat aktiviti luar seperti karnival ini. LCP mensasarkan seramai 50,000 pengunjung terutama kanak-kanak yang akan berkunjung ke karnival tersebut memandangkan musim cuti sekolah.

"Kami akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran dan jualan. Antaranya persembahan khas pelakon suara siri Upin & Ipin, pertandingan mewarna serta sukaneka yang boleh disertai seisi keluarga.

“Apa yang lebih menarik, kami akan mempersembahkan satu perarakan yang dinamakan Animation Parade melibatkan penyertaan pelbagai watak dalam siri animasi ini,” ujarnya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, Rabu.

Selain itu, pameran sukan bermotor serta tayangan filem animasi adalah antara yang menarik untuk disaksikan. Peminat Upin & Ipin juga berpeluang mendaftarkan diri sebagai ahli kelab Upin & Ipin bagi menikmati pelbagai faedah keahlian yang ditawarkan.

“Setakat ini, kami telah menerima ribuan ahli yang berdaftar selepas kelab Upin & Ipin dilancarkan baru-baru ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Feisal Abd Malik berkata selaku penyiar rasmi dan penganjur bersama karnival ini, TV9 akan turut menyiarkan aktiviti-aktiviti menarik di karnival tersebut di dalam rancangan-rancangan terbitan TV9 seperti Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9 dan Adik Di 9.

“Ini merupakan karnival pertama kami dan berharap ia mendapat sambutan luar biasa memandangkan pada cuti sekolah. Jika dahulu, Upin & Ipin sentiasa bersama kami di Karnival Sua Rasa TV9, kini adik-adik boleh bertemu dengan Upin & Ipin dan kawan-kawannya di Shah Alam.

“Kami juga akan mengadakan karnival ini di Melaka Wonderland, Melaka pada 4 hingga 7 Disember ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment