KUALA LUMPUR 17 Okt. - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menanam 120,000 pokok hutan tempatan dan endamik daripada pelbagai spesies yang dikumpulkan dari seluruh Semenanjung Malaysia di kawasan seluas 27 hektar milik universiti tersebut.
Timbalan Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Abu Bakar Salleh memberitahu, penanaman di kawasan tanah tersusut nilai berhampiran universiti di Serdang itu bagi membolehkan ia dibangunkan sebagai model hutan tropika bandar serta dapat dijadikan pusat pelancongan semula jadi pada masa depan.
"Kawasan seluas 27 hektar ini berdekatan dengan landasan perkhidmatan Express Rail Links (ERL) dan pada dasarnya ia tidak memberi pulangan kepada UPM pada masa ini.
"Sekiranya program pemuliharaan model hutan tropika dilaksanakan di sini, ia dijangka mampu menjana pendapatan kepada universiti bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi dari segi kajian yang dapat dilaksanakan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penanaman 6,000 pokok hutan pelbagai spesies di kawasan tersebut dengan kerjasama Universiti National Yokohama dan Mitsubishi Corporation (Mitsubishi) hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Kanan Mitsubishi, Hideyuki Nabeshima serta Profesor Dr. Akira Miyawaki dari Universiti National Yokohama yang merupakan individu bertanggungjawab dalam kajian konsep penanaman pokok di kawasan tersusut nilai.
Pada majlis hari ini sebanyak 600 sukarelawan termasuk 45 dari Jepun bersama dengan 110 kakitangan Mitsubishi menanam kira-kira 6,000 pokok dari 48 spesies yang bernilai tinggi seperti pokok cengal dan meranti.
Abu Bakar memberitahu, UPM dan Mitsubishi telah mengadakan kerjasama pemuliharaan hutan di kawasan tanah tersusut nilai sejak 1990 di mana projek pertama ialah di Kampus UPM Bintulu dengan peruntukan awal sebanyak RM5 juta.
UPM berharap dengan adanya model hutan tropika yang dibangunkan di kawasan yang tersusut nilai ini akan dapat menarik lebih ramai untuk menyertai program pemuliharaan hutan di kawasan-kawasan terbabit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: