Tuesday, October 19, 2010

Penyelidik UPSI diiktiraf Presiden AS

TANJUNG MALIM 13 Okt. - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob menyifatkan 2010 ibarat 'tahun manis' bagi universiti tersebut kerana berjaya mencatat pelbagai kejayaan membanggakan.

Beliau berkata, antaranya, kakitangan UPSI, Dr. Mohd. Muzafar Shah Mohd. Razali menjadi ahli akademik pertama negara menerima sijil pengiktirafan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama dan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton atas penglibatannya dalam penyelidikan berkenaan rawatan dan pencegahan penyalahgunaan dadah.

"Dua penyelidik UPSI juga telah merangkul dua pingat emas dan satu pingat gangsa di Pameran I-inova'10 pada 23 September lalu dan sebelum itu, dalam Malaysia Technology Expo 2010, penyelidik UPSI memenangi satu emas, satu perak dan lima gangsa.

"Petang semalam pula, tiga penyelidik UPSI memenangi 2010 Research Awards dari Malaysia Toray Science Foundation bagi penyelidikan dalam bidang fizik," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-12 Sidang Kedua Sesi Pertama di sini, hari ini.

Menurut Aminah, UPSI turut berjaya mendampingi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) sehingga dapat menerbitkan satu artikel khas untuk edisi 2010 Tomorrow Today's yang akan diterbitkan pada Disember depan.

Katanya, seorang profesor UPSI kini menjadi pakar rujuk di UNESCO Paris.

"Lanjutan itu, pada 22 hingga 26 November ini, UPSI dengan kerjasama World Education Research Association (WERA) dan 26 pertubuhan penyelidikan pendidikan di seluruh dunia akan menganjurkan persidangan antarabangsa berkaitan ekologi perkembangan manusia di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur," katanya.

Di samping itu, sepanjang 2010, UPSI meneroka peluang di China dan mengadakan perjanjian persefahaman dengan lima universiti di negara itu.

"Hasilnya, 34 pelajar dari China kini sedang menyambung pengajian di UPSI dan pada Disember depan, 60 pelajar lagi dari Southwest University akan mengikuti pengajian di sini," katanya.

Beliau berkata, UPSI mengatur strategi dengan mewujudkan Agenda Inovasi UPSI bagi melonjakkan universiti itu sebagai universiti pendidikan ternama di Malaysia dan dunia.

Dalam pada itu, Aminah memberitahu, UPSI bercadang menambah bilangan pelajar daripada 14,000 sekarang kepada 25,000 menjelang 2015 dengan adanya kampus keduanya di Proton City yang dijangka siap sepenuhnya pada 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: