![]() |
| Md. Khairuddin Arshad (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Dr. Khair Mohamad Yusof selepas perasmian Program Pendidikan MoneySmart PIDM di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR - Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menggunakan pendekatan yang kreatif dan interaktif untuk memupuk amalan menabung dan pengurusan kewangan secara berhemat di kalangan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Ketua Pegawai Operasinya, Md. Khairuddin Arshad berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Projek PIDM MoneySmart yang memberi pendidikan tentang asas kewangan seperti kepentingan menabung dari usia muda, penetapan matlamat serta pelan tindakan pengurusan kewangan peribadi.
Menurut beliau, projek mendidik kepentingan pengurusan dan perancangan kewangan yang bijak ini merangkumi empat komponen utama iaitu Permainan Dalam Talian MoneySmart, Permainan Papan MoneySmart, Buku Komik Bijak Wang dan sesi taklimat.
"Permainan yang mudah dan menyeronokkan serta boleh dimainkan secara individu atau berkumpulan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran para peserta selain berpeluang memenangi hadiah istimewa yang disediakan oleh PIDM," katanya.
Jelasnya, permainan dalam talian Money Smart memberi peluang kepada para peserta membina kekayaan kewangan dengan pilihan kerjaya dan pengalaman hidup yang berbeza.
Permainan interaktif ini, ujar Md. Khairuddin, memerlukan peserta untuk menjawab soalan bagi mengumpul mata dan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai.
Bagi kategori individu, pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan mendapat hadiah bernilai RM2,000 dan RM1,000.
Bagi kategori kumpulan pula, pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM6,000, RM4,000 dan RM2,000.
Tiga buah sekolah yang mempunyai penyertaan pelajar paling tinggi akan memenangi komputer. Tiga buah komputer untuk johan, dua komputer untuk tempat kedua dan sebuah komputer bagi tempat ketiga.
Tambah Md. Khairuddin lagi, bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai perlindungan deposit di kalangan generasi muda, PIDM akan terus melaksanakan program kesedaran dan pendidikan awam untuk para pelajar pada masa akan datang.
"PIDM juga akan terus berusaha memperluaskan skop program pendidikan, peruntukan sumber dan kerjasama pelbagai pihak bagi meningkatkan tahap penglibatan semua pelajar di negara ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Bahagian Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr. Khair Mohamad Yusof ketika melancarkan program itu berkata, Kementerian Pelajaran sangat mengalu-alukan usaha PIDM dalam menyumbang kepada peningka-tan celik kewangan di kalangan pelajar.
"Projek PIDM MoneySmart amat bermanfaat kerana menggalakkan penglibatan guru, ibu bapa, ahli keluarga, saudara mara dan juga rakan-rakan melalui penyertaan bersama dalam salah satu komponen utama program ini," kata beliau.
Jelasnya, penerapan pendidikan dan kemahiran berkenaan pengurusan kewangan bagi generasi muda perlu diutamakan demi membolehkan mereka menghadapi persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: