Tuesday, October 19, 2010

KIST buka tiga lagi kampus cawangan


Tengku Putera Tengku Awang (kanan) menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Emas Presiden KIST, Romis Apin sambil diperhatikan Muhamad Zamly Abdullah (tengah) pada Majlis Konvokesyen KIST Ke-3 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) akan melebarkan sayapnya dengan membuka tiga lagi kampus cawangan di Alor Setar, Kedah; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak pada tahun depan.

Pengerusi Lembaga Penasihat KIST, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pemilihan lokasi itu dibuat kerana jumlah penuntut dari kawasan berkenaan yang belajar di kampus induk KIST di Kota Bharu, Kelantan dan cawangan Terengganu di Kuala Berang adalah ramai.

Katanya, bagi tujuan itu KIST akan membelanjakan kira-kira RM20 juta bagi menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penyediaan makmal di tiga kampus baru itu yang akan akan memulakan pengambilan pada Januari depan.

Beliau berkata, KIST akan meneruskan program Diploma Sains Kesihatan di ketiga-tiga kampus baru itu memandangkan potensi kerja dalam bidang berkenaan amat tinggi di samping menawarkan beberapa program baru bagi memenuhi pasaran kerja tempatan.

Menurut beliau, antara program yang akan ditawarkan ialah Diploma Pembantu Makmal, Diploma Juruteknik Pembantu Makmal Perubatan, Diploma Farmasi, Diploma Sains Sukan serta Pengurusan dan Diploma Perkhidmatan Makanan Halal.

''Sebagai peringkat awal kampus di tiga-tiga negeri akan beroperasi di bangunan yang disewa dengan mengadakan beberapa pengubahsuaian berdasarkan kursus yang ditawarkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis konvokesyen KIST ketiga di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Hadir sama Presiden KIST merangkap Pengerusi KIST Group Holdings, Muhamad Zamly Abdullah.

Tengku Putera yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, pada masa ini KIST merupakan antara institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mendapat tempat berdasarkan kepada program yang ditawarkan.

Malah katanya, kira-kira 90 peratus lepasan KIST berpeluang mendapat pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta kerana kursus yang ditawarkan kurang ditawarkan oleh IPTS lain.

Dalam masa jangka panjang katanya, KIST berhasrat untuk membuka cawangan di setiap negeri bagi memberi peluang kepada penuntut mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Pada majlis itu seramai 591 penuntut menerima diploma masing-masing yang meliputi Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan, Diploma Radografi Diagnostik, Diploma Psikologi dan Diploma Syariah.

Seramai 157 pula menerima sijil iaitu Sijil Pemasaran Produk Kesihatan, Sijil Jurulatih Kecergasan, Sijil Pembantu Pemulihan Perubatan, Sijil Pembantu Klinik dan Komunikasi Optik serta Sijil Fiber dan Teknologi Fotonik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: