Tuesday, October 19, 2010

Kembar jadi tarikan hari konvo UTHM

BATU PAHAT 12 Okt. - Pasangan kembar, Ooi Yuan Suang dan adiknya Ooi Chyn Suang, 24, menarik perhatian pada hari terakhir Majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini apabila masing-masing menerima Anugerah Naib Canselor atas kecemerlangan akademik mereka.

Kembar seiras berasal dari Gurun, Kedah itu mempunyai terlalu banyak persamaan termasuk mengambil program pengajian yang sama iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.

Malah, kedua-duanya yang menggemari makanan pedas kini bekerja sebagai pembantu jurutera di tempat yang sama iaitu di kilang elektronik Sharp di Sungai Petani, Kedah.

Ibu pasangan kembar itu, Lim Siew Kiou, 56, juga sukar membezakan suara kembar berkenaan apabila dihubungi menerusi telefon.

Yuan Suang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.81 manakala adiknya pula 3.76.

Yuan Suang secara bergurau menyatakan, sukar mencari kelainan antara mereka berdua kecuali dalam aspek teman lelaki.

"Saya sudah mempunyai teman lelaki manakala adik lebih berminat untuk menumpukan perhatian pada kerjaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chyn Suang pula memberitahu, mereka berdua tidak pernah berpisah sejak kecil malah belajar di sekolah dan universiti serta kelas yang sama.

"Cuma semasa kecil saya bercita-cita menjadi polis dan kakak mahu menjadi cikgu," katanya.

Mengenai rahsia kejayaan, pasangan kembar itu menyatakan mereka gemar mengulang kaji pelajaran bersama dan memberi tumpuan pada pelajaran semasa kuliah.

Graduan kembar itu adalah anak ketiga dan keempat daripada lima beradik.

Bapa pasangan itu, Ooi Ba, 60, pula memberitahu, dia sering mengingatkan anak-anaknya mengenai kepentingan ilmu yang dapat mengubah nasib seseorang.

"Saya bukan orang senang, cuma petani manakala isteri hanya suri rumah. Apa yang dapat kami berikan cuma nasihat supaya mereka rajin belajar," katanya.

Ooi Ba yang lebih dikenali sebagai Atan di kampungnya dan petah bertutur dalam loghat utara menyatakan dia amat berbangga dengan pencapaian anak-anaknya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: