Tuesday, October 19, 2010

Hari Kanak-Kanak SK Jasin meriah


MURID dan sebahagian guru SK Jasin pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak di Melaka, baru-baru ini.


JASIN - Sekolah Kebangsaan (SK) Jasin meraikan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah itu untuk mencungkil bakat murid di samping menggalakkan mereka aktif dalam aktiviti berfaedah dan menyihatkan.

Guru Besarnya, Ahamad Othman memberitahu, kanak-kanak sebagai permata negara perlu dilengkapi dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran untuk menjadi insan cemerlang pada masa depan.

Justeru katanya, semua pendidik perlu membekalkan keperluan jasmani, emosi serta rohani generasi muda ini dengan lengkap dan sempurna supaya mereka dapat meneruskan kesinambungan kemakmuran dan kemajuan negara pada masa hadapan.

"Melalui pelbagai aktiviti pada sambutan Hari Kanak-Kanak ini, hasrat murni melahirkan insan cemerlang berjaya dipupuk dan dilaksanakan," ucapnya ketika merasmikan acara tersebut di Melaka, baru-baru ini.

Program dimulakan dengan senamrobik pada sebelah pagi untuk menyemai budaya cintakan kecergasan dan diikuti dengan sukaneka rakyat yang melibatkan acara seperti memancing botol, terompah gergasi, boling kelapa dan keretapi gelap.

"Acara persembahan oleh murid-murid dan guru-guru sangat menghiburkan," ujarnya bangga dengan bakat dan kebolehan warga sekolah itu.

Pertandingan mewarna dan menulis karangan mendapat sumbangan serta kerjasama daripada KFC Holdings (M) Berhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: