Tuesday, October 19, 2010

Guna keputusan percubaan SPM ke MSU


Ismail Abd. Muttalib membuat pemeriksaan kesihatan percuma sambil diperhatikan Rosli Yusof semasa Program Pendidikan Sepanjang Hayat MSU-Utusan Malaysia di Pahang, baru-baru ini.


UNIVERSITI swasta terkemuka tempatan, Managament Science University (MSU) akan membuat pengambilan seramai 2,000 pelajar lagi pada tahun ini dan 3,000 lagi ditempatkan di kumpulan kolej PTPL seluruh negara.

Kata Naib Presiden Komunikasi Korporat MSU, Rosli Yusof, pengambilan itu berlangsung sepanjang tahun, bermula Januari, sementara pengambilan pada Disember bertumpu kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang dijangka mendapat keputusan peperiksaan pada Mac 2011.

Pelajar yang berminat boleh menggunakan keputusan peperiksaan percubaan untuk mendaftar.

Pelajar juga boleh memohon biasiswa MSU-Utusan Malaysia, selain pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

"Semua calon SPM dijemput mendaftar sebagai pelajar MSU mulai sekarang dengan membawa salinan peperiksaan percubaan SPM 2010," katanya kepada Utusan Malaysia sempena Program Pendidikan Sepanjang Hayat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran, Pahang, baru-baru ini.

Rosli menasihati pelajar lepasan SPM membuat pendaftaran awal untuk mengelakkan mereka membuang masa.

Program yang ditawarkan merupakan program asas atau pra universiti yang meliputi Sains Kesihatan, Perniagaan, Perundangan dan Perdagangan serta bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Program asas ini boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk melanjutkan pelajaran ke bidang yang lebih tinggi seperti bidang perubatan.

Bagi bidang perubatan, MSU mengehadkan pengambilan sebanyak 150 sahaja setahun dan kebanyakan mereka ditempatkan di kampus pesisir di Banglore, India. Kebanyakan mereka ialah pelajar tajaan MARA.

Kumpulan pertama pelajar perubatan MSU di Banglore ini dijangka akan bergraduasi pada 2011.

Pelajar perubatan di kampus induk di Shah Alam pula kini berada pada tahun kedua pengajian. Mereka sedang mengikuti latihan klinikal di 29 klinik dan hospital di seluruh negara, ujar Rosli.

"MSU akan mempunyai hospitalnya sendiri pada 2012 di Shah Alam," katanya.

Selain hospital, MSU juga akan mempunyai hotel bertaraf tiga atau empat bintang untuk pelajar hospitaliti dan perhotelan serta lebih banyak asrama. Hotel juga dibuka kepada orang awam, khususnya ibu bapa yang menghadiri pesta konvokesyen MSU.

Rosli juga memberitahu, sehingga kini terdapat 200 pelajar luar negara yang belajar di situ. Pihak MSU juga bersedia untuk mengisi sehingga 20 peratus pelajar asing di MSU.

Program Pendidikan Sepanjang Hayat edisi keempat di Maran mendapat sokongan dan pembiayaan MSU, dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd Muttalib.

Turut menjadikan program itu menjadi kenyataan di Maran ialah Pejabat Pelajaran Daerah Maran dan Pejabat Pegawai Daerah Maran.

Dalam ucapannya, Ismail menyatakan komitmen tidak berbelah bahaginya untuk memperjuangkan pendidikan anak-anak Maran demi kesinambungan survival anak bangsa mengharungi zamannya kelak.

Ke arah itu, beliau mahu pelajar di situ bersyukur kepada Tuhan, menghormati ibu bapa, berterima kasih kepada guru dan seterusnya menghargai jasa baik kerajaan dalam menyediakan landasan dan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran dan seterusnya bekerjaya.

Beliau berharap pelajar menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh program Utusan Malaysia dan MSU itu untuk memajukan diri, mencari peluang dan seterusnya mengejar impian masing-masing.

Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Samsiah Suradin dalam ucapannya tidak mahu pelajar berputus asa seandainya mereka tidak begitu cemerlang dalam akademik.

"Saya sendiri berpengalaman berjumpa dengan para pelajar yang kurang cemerlang, tetapi akhirnya menjadi orang yang berjaya dalam kerjayanya kerana peka dengan peluang yang diberikan oleh beberapa pihak seperti MSU," kata Samsiah, sambil memberi contoh lepasan program Sains Kesihatan yang menjadi seorang jururawat di sebuah hospital.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: