![]() |
| ROSNAH Abdul Rashid Shirlin (tengah) bergambar bersama sebahagian kanak-kanak yang mengambil bahagian pada program English On Wheels di Dewan Serbaguna Taman Kanching, Rawang, Selangor, baru-baru ini. |
PENDIDIKAN anak-anak adalah sesuatu perkara yang tidak boleh diambil sambil lewa oleh ibu bapa mahupun kerajaan dalam melahirkan generasi yang cemerlang.
Pada peringkat ini, kanak-kanak mula belajar serta memerlukan bimbingan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan dunia keliling mereka.
Menyedari hakikat tersebut, Pergerakan Puteri UMNO terus melaksanakan program English On Wheels (EOW) dalam memastikan setiap kanak-kanak di negara ini diberikan peluang dan ruang yang secukupnya untuk menimba ilmu pengetahuan.
Program EOW diperkenalkan bagi mendekati kanak-kanak seawal usia empat hingga sembilan tahun agar berminat dan cenderung mempelajari bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa yang digunakan di seluruh dunia.
Ia merangkumi program dan aktiviti seperti mewarna, menulis, kuiz, teka-teki, bercerita, menyanyi dan menari.
Sejak diperkenalkan ia dapat menarik minat kanak-kanak daripada berbilang kaum mempelajari bahasa Inggeris serta membiasakan diri dengan bahasa tersebut.
Menurut ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, program yang mula dianjurkan pada 2002 itu bertujuan meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak di kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, masyarakat perlu sedar dan bertindak segera kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi dunia yang mampu mengangkat sesuatu bangsa ke peringkat antarabangsa.
"Sebagai bahasa kedua terpenting di negara ini, saya harap usaha ini menjadikan anak-anak kita celik bahasa Inggeris," katanya pada program (EOW) 1Malaysia di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Kanching, Batu 16, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Rosnah berkata, pergerakan itu akan memperluaskan program EOW ke seluruh negara mulai tahun depan.
''Saya sudah berbincang dengan Puteri UMNO Selayang sebagai pelopor program yang akan ditugaskan untuk melatih tenaga pengajar untuk program ini," katanya.
Beliau berkata, program berkenaan didapati begitu berkesan kerana berjaya menghilangkan rasa fobia di kalangan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa Inggeris.
"Kanak-kanak di negara ini masih segan bertutur dalam bahasa Inggeris meskipun mereka sering terdedah dengan rancangan televisyen dan program keilmuan.
"Oleh itu, kami berharap program EOW dapat membimbing kanak-kanak terutama dari luar bandar untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan cara berkesan selain berani untuk berkomunikasi dalam bahasa itu," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: