Tuesday, October 19, 2010

30 universiti seluruh dunia dijangka sertai kejohanan debat di UPM


Saifuddin Abdullah (dua dari kanan) memberi kata-kata perangsang kepada dua pendebat, Keeren S. Rajoo (dua dari kiri) dan Meor Alif Meor Azalan (kiri) yang mewakili universiti tempatan pada Majlis Prapelancaran Kejohanan Debat Jemputan Keamanan Universiti-Universiti Sedunia di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Sebanyak 30 universiti dari seluruh dunia dijangka menyertai Kejohanan Debat Jemputan Keamanan Universiti-Universiti Sedunia (GEMS-WUPID) yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18 Disember depan.

Turut serta pada kejohanan itu ialah wakil negara iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan UPM yang bertindak selaku tuan rumah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kejohanan selama enam hari itu bertujuan membolehkan pendebat bertukar-tukar pandangan selain memperbaiki kemahiran komunikasi yang sedia ada.

Katanya, melalui kejohanan itu, diharapkan debat dijadikan sebagai budaya terutamanya dalam masyarakat negara ini.

Justeru, katanya, bagi tujuan tersebut, budaya debat perlu disemai sejak bangku sekolah lagi bagi memastikan negara tidak ketandusan pendebat yang berkaliber pada masa depan.

“Pada masa ini, debat masih belum menjadi satu budaya terutamanya di kalangan penuntut universiti di negara ini.

“Sehubungan itu, saya percaya bahawa budaya ini perlu disemai dari awal lagi dan pada masa sama, satu usaha perlu dibuat bagi menggalakkan pendebat kita supaya terus menyertai kejohanan debat yang bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran Kejohanan Debat Jemputan Keamanan Universiti-Universiti Sedunia di Hotel Legend, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Tai Shzee Yew dan Pengarah Jawatankuasa GEMS- WUPID, Shamsul Azhar Ismail.

Kejohanan itu dibuat berkonsepkan sistem debat yang diamalkan di Parlimen United Kingdom (UK) iaitu melibatkan empat kumpulan yang terdiri daripada dua pendebat bagi setiap sesi.

Pemenang bagi kejohanan itu dijangka menerima wang tunai berjumlah RM5,000, manakala tiga tempat terbaik seterusnya masing-masing akan menerima habuan bernilai RM1,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: