Monday, September 20, 2010

Standard Mandatori Demi Kebaikan Pengguna, Industri

Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memilih alat mainan yang selamat untuk anak-anak.

MENYEDARI kepentingan standard keselamatan mainan kanak-kanak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan pengilang, pengimport dan pembungkus semula mainan kanak-kanak mengisytiharkan bahawa mainan yang dijual di negara ini adalah selamat.

Pelaksanaan standard mandatori yang berkuat kuasa 1 Ogos lalu dibuat bertujuan melindungi hak golongan kanak-kanak ketika bermain alat permainan terutama alat yang tidak menepati standard.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Kepenggunaan) KPDNKK, Mahani Tan Abdullah berkata peraturan ini diumumkan setelah kementerian mendapati tiada standard berkaitan alat mainan di Malaysia dan menyedari keperluan mewujudkan standard mandatori.

“Dalam hal ini kita dapati tiada undang-undang dapat melindungi kanak-kanak. Kita tidak mahu bertindak atau wujudkan peraturan hanya bila berlaku kes serius,” katanya kepada Mingguan mStar.

Sehingga kini, lebih 19 negara membangun di seluruh dunia telah menetapkan standard mandatori untuk alat mainan.

Sebagai permulaan di Malaysia, semua mainan yang baru dikilang atau diimport mulai 1 Ogos wajib mematuhi peraturan dan penandaan Malaysian Conformity (MC*) pada setiap unit barang, pembungkus, bekas atau kotak secara jelas.

MC* merupakan indikasi bahawa mainan yang dijual telah mematuhi standard keselamatan kerajaan Malaysia.

“Mereka yang terlibat dengan industri perlu mengisytiharkan dan membuat perakuan dengan menunjukkan laporan makmal yang mengesahkan permainan itu selamat.

“Perakuan yang lengkap membolehkan mereka mendapat nombor rujukan KPDNKK sebelum penandaan MC* dibuat,” katanya.

Menurut Mahani, standard dan peraturan yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia ini mulanya mendapat tentangan pihak industri kerana masalah kos yang akhirnya berbalik kepada pengguna juga.

Industri berpendapat standard dan peraturan sebegini menutup peluang golongan berpendapatan rendah mendapatkan alat mainan murah untuk anak mereka.

Pun begitu, setelah beberapa siri perbincangan dengan industri kementerian berpendapat standard mandatori ini wajar dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak.

“Dengan adanya standard seperti ini, ibu-bapa berasa lebih yakin membeli mainan untuk anak-anak. Mereka perlu sedar, untuk keselamatan, mereka perlu membayar lebih sedikit.

“Mahu atau tidak, pihak industri pula perlu mempertingkatkan keselamatan alat mainan mereka dari masa ke semasa mengikut standard yang ditetapkan. Ini merupakan satu cara supaya pengilang, pengimport dan penjual sentiasa menawarkan barang selamat kepada pengguna,” ujarnya.

Pelaksanaan standard ini juga dapat mengurangkan kemasukan alat permainan tiruan ke negara ini.

Sejak notifikasi ini diumumkan 1 Ogos lalu, sebanyak 371 syarikat telah mendaftar untuk penandaan MC*. Daripada jumlah ini, 34 adalah pengilang, 253 adalah pengimport dan 84 pembungkus semula.

Dalam pada itu, Mahani menyeru ibu-bapa supaya memandang serius isu ini.

“Kita boleh adakan akta dan peraturan, tapi tiada gunanya kalau ibu-bapa sendiri tak ikut peraturan dan bergantung pada undang-undang sahaja. Mereka perlu baca label sebelum beli alat mainan, baca arahan dan amaran serta membeli mengikut kesesuaian umur anak.

“Kalau ibu-bapa tak dapat patuhi peraturan ini, keselamatan anak-anak akan terancam juga sebab kita (kementerian) tak boleh kawal anak-anak di rumah,” katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak makmal ditubuhkan bagi menyelidik barangan tidak selamat, termasuklah alat mainan.

Katanya, setakat ini negara hanya mempunyai empat buah makmal untuk tujuan tersebut.

“Kita menghadapi masalah makmal yang tak mencukupi. Jika ada lebih banyak makmal, kos akan berkurang dan lebih banyak alat mainan dapat dihantar ke situ.

“Industri permainan juga akan menjadi lebih kukuh dan berdaya saing jika negara dilengkapi makmal dan semua pihak mematuhi standard,” katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDNKK jika mereka mendapati terdapat sebarang alat mainan tidak selamat dijual di pasaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: