Monday, September 13, 2010

Komitmen USM untuk AIU


NOR ALIAH ( kanan) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Ramli Saad (kiri) sambil diperhatikan oleh Dzulkifli Abdul Razak pada majlis khas di IPPT USM baru-baru ini.


STATUS sebagai universiti utama negara tidak menghalang Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang untuk berkolaborasi dengan institusi pengajian yang kerdil.

Berpegang kepada falsafah pengembangan ilmu untuk semua, USM pada Ogos lalu memeterai Memorandum Persefahaman dengan Albukhary International University (AIU) bagi membantu penubuhan universiti itu di negara ini.

Berlokasi di Alor Setar, Kedah, AIU merupakan sebuah universiti swasta yang dibangunkan khusus untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapat akses pendidikan tinggi.

AIU dijangka mula beroperasi pada bulan November ini dengan pengambilan sulung 100 pelajar dari 30 buah negara dalam tiga jurusan pengajian iaitu Peniagaan/Pengurusan, Teknologi Maklumat dan Sains Kemasyarakatan.

Jumlah itu akan ditingkatkan sehingga 3,000 pelajar dalam tempoh masa lima tahun dengan 70 peratus pelajarnya terdiri daripada pelajar luar negara.

Pada majlis itu, USM yang diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak manakala Ahli Lembaga Gabenor AIU, Datuk Dr. Sharom Ahmat.

Menurut Dzulkifli, dalam tempoh terdekat ini USM akan bersama-sama membantu di dalam pembangunan kurikulum dan latihan kakitangan bagi membolehkan tiga buah pusat pengajian terawal diwujudkan di AIU.

“Misi AIU dan USM adalah sama iaitu mahu membantu masyarakat terkebawah mendapat peluang melanjutkan pengajian.

“Sebagai sebuah universiti utama kita bertanggungjawab membantu penubuhan universiti baru dan bersedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan,” kata beliau.

Sementara itu, Sharom berkata, AIU mensyaratkan pengambilan pelajar yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan.

“AIU akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan untuk membolehkan mereka memperoleh segulung ijazah.

“Lebih penting, kita mahu graduan ini kelak memperjuangkan aspek-aspek kemanusiaan dan kesejagatan,” kata beliau.

Pusat latihan bertauliah

Menurut Sharom, AIU kini sedang meneliti beberapa tokoh yang layak untuk mengisi jawatan pengurusan tertinggi di universiti berkenaan. Dalam perkembangan lain, USM mencatat satu lagi sejarah baru apabila muncul sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama di negara ini yang diiktiraf sebagai Pusat Latihan Bertauliah (Certified Training Provider) Perisian Sumber Terbuka.

Ia berikutan pelantikan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM sebagai pusat latihan daripada Unit Permodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada Ogos lalu.

Sijil lantikan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) MAMPU, Datuk Dr. Nor Aliah Mohd. Zahri kepada Pengarah IPPT USM, Dr. Ramli Saad pada majlis khas di IPPT USM.


DZULKIFLI (kanan) bertukar dokumen dengan Shahrom pada majlis MOU untuk membangunkan Albukhary International University dengan USM baru-baru ini.


Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan ICT MAMPU, Mohamad Rosli Abd. Razak.

Dengan pengiktirafan tersebut, USM, menerusi IPPT akan berfungsi sebagai tempat latihan dan bimbingan bagi sektor awam di dalam penggunaan aplikasi sumber terbuka.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Nor Aliah berkata selain USM, sepuluh lagi pusat latihan lain telah dikenal pasti dan turut menerima pengiktirafan serupa sebagai Pusat Latihan Bertauliah.

“MAMPU yakin keupayaan USM memikul status ini bagi menjalankan latihan perisian tersebut kepada kakitangan awam terutamanya di kawasan utara,” kata beliau.

Penggunaan perisian terbuka tercetus menerusi Pelan Induk Perisian Sumber Terbuka Sektor Awam yang dilancarkan pada 16 Julai 2004.

Objektifnya bagi mengurangkan jumlah pemilikan, meningkatkan kebebasan memilih penggunaan perisian, meningkatkan tahap operasi antara sistem dan perisian serta meningkatkan pertumbuhan industri ICT.

Antara latihan Perisian Sumber Terbuka yang telah dilaksanakan oleh IPPT ialah OpenOffice.org, PHP5/MySQL5, Fundamental Linux, Virtualization for System Administrator using OSS dan MySQL for System Developer.

Perisian lain ialah Introduction to CMS with Joomla!, OsiriX - Advanced DICOM Medical Imaging Software, Integrated Library System (Koha) dan Document Management System (OpenKM).

Ramli pula memberitahu, IPPT melalui inisiatif Perisian Sumber Terbuka IPPT telah melaksanakan latihan dan pembangunan Perisian Sumber Terbuka tersebut sejak tiga tahun lalu di bawah Pusat Bio-ICT.

Jelas beliau, pengiktirafan itu juga bukti IPPT serius di dalam menyokong hasrat kerajaan dan proaktif dengan menganjurkan kursus pertama perisian sumber terbuka di peringkat pelbagai agensi serta jabatan kerajaan di kawasan utara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: