Tuesday, September 21, 2010

Jiwa menulis Ahmad Atory


AHMAD ATORY membuktikan minatnya yang mendalam pada dunia penulisan dengan menghasilkan 30 buah buku.


NAMA Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain cukup sinonim dengan dunia politik tanah air. Boleh dikatakan dalam apa jua isu berkaitan perkembangan politik semasa, pendapatnya sentiasa ditagih oleh pihak media.

Memegang jawatan sebagai Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, beliau juga sering diundang sebagai kolumnis akhbar arus perdana.

Sama ada penulisan berbentuk politik, budaya, bahasa mahu pun kritikan sastera, semua karya Atory mempunyai keistimewaan yang membuatkan pembaca mahu menghabiskan bacaannya.

Pada usia mencecah 59 tahun, Atory telah pun menghasilkan lebih 30 buah buku yang boleh dijadikan rujukan generasi kini.

Antara buku hasil tulisan beliau termasuklah Reformasi Pentadbiran Malaysia, Pembentukan Polisi Awam, Pengurusan Sumber, Pembentukan Dasar Awam: Hubungan dengan politik, UMNO dan Birokrasi, Politik dan Dasar Awam Malaysia, YB oh YB dan buku terlaris Dari Berantakan Menuju Pembangunan serta tidak ketinggalan buku Politik Melayu di Persimpangan.

Dalam satu temu bual bersama Kosmo! baru-baru ini, bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, menulis sudah begitu sebati dalam jiwanya. Bahkan beliau mengakui jika sehari tidak memegang pena, terasa dirinya bagai kurang sempurna.

“Menulis merupakan sebahagian daripada hidup saya. Setiap hari, saya akan pastikan ada catatan yang dibuat. Kelengkapan wajib yang perlu sentiasa ada di sisi saya adalah sebuah buku dan sebatang pen.

“Buku catatan bersaiz kecil merupakan penghuni setia poket saya. Apabila muncul ilham, terus saya tarikan mata pena,” ujar penganalisis politik terkenal di Malaysia itu.

Obses menulis

Dek kerana obses menulis, Atory berjaya menyiapkan sebuah buku sewaktu berada dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Los Angeles yang memakan masa selama 14 jam.

Menurutnya, sepanjang berada dalam pesawat, idea untuk menulis melimpah ruah dari kotak fikirannya. Lantaran tidak mahu mensia-siakan ilham ketika di awan biru, Atory menulis tanpa jemu.

Hanya apabila terasa penat dan mengantuk barulah beliau melelapkan mata. Namun, sebaik terjaga daripada tidur, beliau akan menyambung aktiviti menulis hinggalah tiba ke destinasi yang dituju, Los Angeles.

“Selepas 14 jam, buku bertajuk Perubahan Politik dan Pentadbiran Malaysia itu berjaya saya siapkan,” tutur Atory sambil tersenyum mengimbau kenangan pada tahun 1990 itu.

Bagi menghasilkan buku Politik Melayu di Persimpangan pula, Atory hanya mengambil masa enam bulan untuk menyiapkannya pada tahun 2008, sejurus Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) berakhir.

PRU-12 menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah, Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Malah, ia juga merupakan titik tolak kepada kebangkitan parti pembangkang merampas pemerintahan beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak daripada kerajaan BN selain gagal untuk menguasai semula Kelantan.

Jelas Atory, buku tersebut adalah satu analisis penuh mengenai PRU-12 yang dihasilkan untuk merakam peristiwa pahit dalam sejarah politik Malaysia.

“Seandainya pihak pembangkang berjaya memerintah negara suatu hari nanti, saya harap buku ini boleh menjadi rujukan untuk masyarakat menilai sejarah lampau,” tegas Atory bahawa keharmonian dan keamanan Malaysia perlu dipelihara dengan baik.

Adakah beliau bersetuju dengan cadangan untuk menyatukan UMNO dan Pas? Atory pantas menjawab: “Orang Melayu perlu bersatu tanpa mengira idealogi politik masing-masing kerana hanya dengan itu kaum lain akan menghormati kita.

“Penyatuan ini bagi saya seperti pasangan suami isteri yang bercerai, sudah pasti anak-anak akan membuat haluan sendiri, sebaliknya jika mereka kekal sebagai suami isteri yang bahagia, bererti anak-anak juga akan menghormati orang tuanya.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: