Sunday, September 19, 2010

Jamirul utama ilmu solekan

BIDANG kecantikan yang satu ketika dulu hanya dimonopoli golongan wanita kini mula menjadi kerjaya golongan lelaki berdasarkan kebanjiran kaum Adam dalam bidang itu.

VERSATIL...meminati kedua-dua kerjaya yang diceburinya.
VERSATIL...meminati kedua-dua kerjaya yang diceburinya.


Katanya, minatnya terhadap bidang solekan bercambah ketika dia berada di tingkatan tiga apabila dia terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ menyolek rakannya yang terbabit dalam persembahan kebudayaan.

“Ketika itu saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas kecantikan, sebaliknya hanya mempelajari teknik itu daripada rancangan solekan di televisyen.


“Hasil tangan saya itu mendapat pujian daripada guru serta rakan dan dari situ terlintas di hati untuk mendalami teknik solekan dengan betul,” katanya.

Dia melanjutkan pelajaran dalam bidang kecantikan dengan mengambil jurusan Diploma Kecantikan dan Kesihatan di Kolej Antarabangsa Geomatika.

Katanya, dia mengambil jurusan itu kerana gemar melihat sesuatu yang cantik dan baginya kecantikan seseorang itu perlu dipelihara dan diper­indahkan lagi.

Atas rasa cintanya terhadap bidang persolekan, anak muda kelahiran negeri di bawah bayu ini menubuhkan satu kumpulan soleknya, Eyoi Makeup Artistic Team.

Walaupun mempunyai pekerjaan hakiki sebagai pensyarah, itu tidak menjadi halangannya menjadi jurusolek artis.

“Pandangan sesetengah pihak yang mengatakan kerjaya jurusolek tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi sebenarnya sudah lapuk.

“Kerja menyolek ini juga memerlukan pengetahuan dan pendidikan kerana ada sesetengah teknik perlu dipelajari dan bukan boleh mahir dengan hanya memerhati,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jamirul berkata, dia sering berpesan kepada pelajarnya supaya memberi sepenuh perhatian dan ikhlas ketika melakukan solekan kerana hasilnya pasti memuaskan hati.

Katanya, sebagai jurusolek, penampilan perlu dijaga kerana pelanggan lazimnya membuat penilaian awal berdasarkan penampilan jurusolek.

“Jika kita berpakaian selekeh dan penampilan hanya ala kadar, pasti mereka tidak berkeyakinan untuk mendapat perkhidmatan kita walaupun hasil solekannya cemerlang.

“Setiap pelajar saya diwajibkan menyertai bengkel ‘grooming’ bagi mengubah penampilan mereka supaya kelihatan lebih bergaya,” katanya.

Jamirul berkata, perkara yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan solekan adalah kebersihan wajah bagi memastikan solekan sekata.

“Wajah yang tidak dibersihkan terlebih dulu akan mencacatkan solekan dan lebih membimbangkan jika solekan tidak menjadi sehingga mencacatkan penampilan seseorang.

“Malah, alat solek perlu diperiksa tarikh tamat tempohnya kerana jika terus digunakan, ia mungkin menimbulkan kesan kepada kulit wajah seperti keradangan,” katanya.

Pernah mendapat tunjuk ajar pakar kecantikan terkemuka Indonesia, Martha Tilaar, Jamirul berpengalaman luas menjadi jurusolek ramai artis, antaranya Jimmy Shanley, Amy Mastura, Uji Rashid dan Azwan Ali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: