Sunday, September 5, 2010

Aida Aris pengantin Ramadan


SYAWAL nanti pastinya mengukir kemanisan tiada terhingga buat Aida dan Farid. Masing-masing sudah bertahun-tahun hidup solo dan tahun ini, hari kebesaran itu disambut dalam emosi bulan madu.


KATA orang, adat insan bercinta, jika tidak ke jenjang pelamin bercerai kasih bukan penghalang. Kalau hati sudah suka, jangan disimpan dibiarkan sepi.

Cinta datang cinta pergi dan ketika ditiupkan sebuah seruan, itu takdir yang tidak mampu ditepis. Mungkin itulah takdir buat dramatis popular, Aida Aris yang sudah selamat diangkat sebagai permaisuri di takhta Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussein yang bertugas sebagai Ketua Pramugara Malaysia Airlines (MAS).

Berkongsi usia yang sama, masing-masing 38 tahun dan pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga, namun pertemuan singkat yang terbina sekitar Februari 2010, mereka akhirnya disatukan oleh sekalung akad penuh kesucian.

Aida atau nama sebenarnya Siti Rohaida Mat Aris sudah sekian lama menjanda selepas bercerai dengan penerbit TV, Bob Azrai pada tahun 2005.

Memilih pagi Sabtu, 4 September 2010 bersamaan 25 Ramadan 1431 Hijrah, Aida secara tidak rasminya melangkah meninggalkan dunia janda dalam bulan penuh keberkatan. Satu acara yang jarang dipilih kebanyakan pasangan untuk meraikan hari bahagia pada bulan Ramadan.

Ketika orang lain sibuk dengan persiapan raya, Aida pula memilih untuk berkahwin, itu pun kurang seminggu sebelum Aidilfitri, kenapa?

Saya tidak pernah merancang untuk bernikah pada bulan Ramadan. Sepatutnya kami merancang untuk tarikh yang lebih awal tetapi disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, kami rasakan tidak salah untuk buat majlis akad nikah pada tarikh berkenaan, tiada sebab yang konkrit.




Kelihatannya ia seperti memecah rekod pula, jarang dibuat oleh orang lain, bahkan di kalangan artis.

Saya ada bertanya kepada seorang ustazah, katanya nikah pada bulan Ramadan tidak pernah bertentangan dengan agama.

Cuma sebab bulan puasa, sukar untuk buat majlis besar-besaran seperti bersanding. Saya memang tidak berhajat untuk bersanding. Cukuplah majlis akad nikah yang sederhana dan jamuan semasa berbuka puasa. Itu sahaja.

Bergelar pengantin Ramadan dan kali pertama menyambut 1 Syawal bersama suami, pastinya satu momen terindah bukan?

Saya bahagia, gembira dan syukur tidak terhingga. Maklumlah sudah bertahun-tahun beraya sendirian tanpa suami, pastinya Aidilfitri nanti sangat berbeza, pertama kali sambut raya bersama Farid dan keluarga mentua.

Lama menjanda bahkan tiga tahun bercinta dengan Zul Handy Black, apa yang memberi jaminan Aida untuk beroleh bahagia di sisi Farid?

Ibu bapa saya tidak pernah bercinta sebelum kahwin. Yelah, bercinta-cinta bertahun-tahun ada masanya tidak juga kekal.

Kali ini, saya percaya dengan kata hati sedangkan kami hanya beberapa bulan sebelum memutuskan untuk bersama. Saya harap jodoh ini akan berkekalan dan perkahwinan ini akan jadi terakhir buat kami berdua. Itu doa saya.

Tidak sabar menimang cahaya mata?

Saya berserah. Kalau diberikan rezeki dalam masa terdekat saya terima. Farid sendiri sudah ada dua cahaya mata daripada pernikahan pertamanya, seorang perempuan berusia 9 tahun dan seorang lelaki, tujuh tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: