Thursday, August 12, 2010

Yatt ingin timang lima anak

SEJAK bergelar ibu kepada Suci Hanania Malika (Nia) yang berusia lima bulan, kehidupan pelakon dan pengacara jelita, Yatt Hamzah, berubah dalam sekelip mata. Nia yang bermaksud 'permaisuri suci dilindungi Allah' itu selamat dilahirkan secara pembedahan tanggal 28 Februari lalu.

pix_middle



Kata Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 30, kehadiran Nia, melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangganya dan suami, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30 (Talib).

"Selepas melahirkan Nia baru saya tahu bagaimana perasaan ibu ketika melahirkan saya yang juga anak sulung dalam keluarga. Saya sukar percaya kepada orang luar untuk menjaga Nia kerana saya memang cerewet dalam hal berkaitan tahap kebersihan anak saya.

"Sebab itu, saya hanya percaya kepada emak dan suami untuk menjaga Nia apabila saya berlakon.

"Pada masa sama, saya banyak membaca buku berkaitan penjagaan bayi termasuk kebaikan menyusukan anak ketika proses mengandung. Saya juga percaya, penjagaan bayi pada zaman dulu dan sekarang adalah dua perkara berbeza," katanya kepada Rap, baru-baru ini.

Sekalipun sudah kembali ke lokasi penggambaran, Yatt berusaha memastikan dapat menyusukan anaknya sekurang-kurangnya sehari sekali."Apabila kembali ke lokasi penggambaran selepas habis tempoh berpantang lebih tiga bulan, saya sudah memberikan Nia susu formula. Saya juga mengepam susu di tempat kerja supaya Nia dapat menyusu susu badan di rumah.


"Saya juga tidak pernah membawa Nia ke lokasi kerana saya tidak mahu dia rasa tidak selesa dengan keadaan di lokasi penggambaran. "Malah juga sanggup berulang alik dari Bahau ke Seremban untuk menyusukan Nia ketika menjayakan penggambaran slot legenda Ular Emas ketika ini. Memanglah penat untuk berulang alik kerana saya baru selesai penggambaran ketika itu. Namun, demi Nia, saya sanggup harungi semua itu," katanya.

Yatt ditemui pada pelancaran program Ramadan stesen TV3 dan TV9 di Muzium Kesenian Islam, kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Kata Yatt, hubungannya dan Nia cukup rapat kerana dia menyusukan sendiri anaknya itu.

"Talib juga rapat dengan Nia tapi apabila dia menangis, Talib terus serahkan Nia kepada saya. Saya juga bertuah kerana suami saya ringan tulang membantu saya menjaga Nia termasuklah menukar lampin," katanya.

Yatt dan Talib yang bertugas sebagai Pengurus di Sports Planet, Ampang mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2009.

Bagaimanapun Yatt akui sukar berenggang dengan anak sulungnya itu.

"Saya masih ingat lagi, saya menangis di lokasi penggambaran drama apabila dapat tahu Nia sudah mula belajar bercakap dari ibu saya. Maklumlah, saya berada di lokasi penggambaran drama ketika itu.

"Menurut ibu, Nia mula belajar bercakap selepas dia sihat dari demam. Perkataan baru yang disebutnya ialah Allah. Nia juga sudah boleh meniarap pada usia dua bulan dan belajar merangkak sekarang. Saya juga membahasakan diri pada Nia, Bonda dan suami pula Daddy. Bagi melepas rindu, saya membawa gambar Nia ke lokasi setiap hari," katanya.

Kata Yatt, dia merancang berehat selama dua minggu dari aktiviti seni selepas raya puasa nanti.

"Saya juga bersyukur pihak produksi juga beri kelonggaran pada saya untuk bercuti seminggu sekali dari penggambaran," katanya.

Yatt berkata, dia dan Talib merancang untuk membesarkan lagi keluarga mereka pada masa depan.

"Saya akui sakit ketika melahirkan anak tapi semua kesakitan hilang selepas melihat wajah Nia. Bergelar ibu baru juga cabaran besar kerana saya bangun lima kali sehari untuk menyusukan bayi dan hanya selepas tempoh berpantang baru senang sikit untuk menjaga Nia.

"Saya juga perlu menjarakkan kelahiran selama dua tahun kerana menjalani pembedahan ketika melahirkan Nia. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya dan suami merancang untuk mempunyai lima anak kerana kami ingin mempunyai keluarga yang besar," katanya.

Bagaimanapun, kata Yatt, kehadiran Nia membuatkan dia semakin dekatkan dengan Allah SWT.

"Saya lebih suka berzikir ketika menidurkan Nia dan berusaha untuk tidak meninggalkan solat. Saya ingin mendidik anak saya mengikut cara islam supaya hidupnya seimbang dunia dan akhirat, insya-Allah," katanya.

Ditanya kenapa dia kembali berlakon sedangkan anaknya masih kecil lagi, Yatt mengakui berlakon adalah periuk nasinya.

"Saya anak sulung dan berlakon untuk menyara keluarga. Suami saya cuma orang biasa dan lainlah kalau saya berkahwin dengan orang kaya atau jutawan.
"Saya kini utamakan Nia dari segalanya. Kalau beri barang keperluan pun terutama baju, semuanya untuk Nia dulu," katanya.

Mengenai masa depan Nia, kata Yatt, dia dan suami juga mula menabung untuk masa depan anaknya itu.

":Saya dan suami juga mengambil insurans untuk perubatan dan pendidikan Nia. Selain itu, kami membuka sedikit akaun Amanah Saham Bumiputera untuk Nia sebagai simpanan untuk masa depannya nanti.

"Impian saya juga semoga Nia meneruskan cita-cita saya untuk menjadi juruterbang atau jurutera yang tidak kesampaian dulu. Jika saya mempunyai ijazah, saya ingin anak saya mempunyai pendidikan yang lebih tinggi dari saya seperti mempunyai sarjana. Saya dan suami juga semakin bekerja keras untuk memastikan masa depan Nia terjamin kelak," katanya.

Yatt berkata, dia bercadang untuk menurunkan berat badannya sekarang kerana sudah kembali berlakon.

"Saya perlu makan makanan berkhasiat dan menambahkan susu badan kerana menyusukan Nia. Berat badan saya sekarang ialah 56 kilogram dan saya perlu turunkan kepada 50 atau 52 kilogram," katanya.

Beralih kepada cerita Ramadan, perasaan Yatt menjadi syahdu.

"Ini Ramadan pertama saya dan suami bersama Nia dan sudah pasti ia berbeza dari tahun sebelumnya. Saya juga pastikan banyak masa untuk suami dan Nia pada Ramadan ini. Saya juga akan habiskan penggambaran drama Ular Emas yang akan selesai pada penghujung Ramadan," katanya.

Buat masa ini, Yatt sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 20 episod untuk slot legenda di TV3, Ular Emas. Antara drama lakonan terbarunya ialah Rendang Raya Mak Tijah (TV2), drama bersiri Gerak Khas dan Dilema Wanita (sebanyak dua episod).


>PROFIL
NAMA SEBENAR: Haryati Hamzah
TARIKH LAHIR: 13 April 1980
TEMPAT LAHIR: Muar, Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Abdul Mutalib Abdul Shukor
ANAK: Suci Hanania Malika, lima bulan
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa & Pengajian
Media.
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon.
ANTARA DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah, Bella dan Ritma Kolej, Rendang Raya Mak Tijah, Slot lagenda Ular Emas
FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: