Wednesday, August 11, 2010

Warga asing jaga 30 senjata api


WAN ZAKARIA menunjukkan beberapa kad pengenalan palsu yang
dirampas pada operasi di Pandan Perdana, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia yang ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam bukan sahaja memiliki kad pengenalan palsu malah turut memiliki lesen membawa senjata api dan bekerja menjaga lebih 30 senjata api di sebuah syarikat kawalan keselamatan di sini.

Wanita yang dikenali sebagai Ana itu ditahan dalam operasi bersepadu JPN dan Jabatan Imigresen Putrajaya bersama suami dan lima rakannya, juga warga Indonesia di Jalan Perdana, Pandan Perdana di sini semalam.

Operasi yang disertai seramai 22 orang anggota penguat kuasa serta pegawai itu menahan Ana serta suami dan rakan-rakannya pada pukul 2 pagi.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang berkata, Ana didapati bekerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan di sini menggunakan kad pengenalan palsu.

“Nombor kad pengenalan dan maklumat dirinya tiada dalam rekod JPN.

“Sangat menyedihkan apabila dia berjaya bekerja di dalam bidang kritikal iaitu menjaga lebih 30 senjata api dan berjaya mendapat lesen membawa senjata api menggunakan kad pengenalan palsu,” kata Wan Zakaria ketika ditemui pemberita semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: