
TANG JITIAN sudah beberapa kali berpindah selepas pihak berkuasa menekan tuan rumah tempat dia menyewa. Dia semakin sukar untuk berjumpa dengan isteri dan anak perempuannya. Malah, dia kini kehilangan mata pencarian gara-gara membela Falungong.
Lelaki berusia 41 tahun itu merupakan salah seorang daripada sejumlah peguam di China yang mempertaruhkan pekerjaan dan keluarga mereka untuk memperjuangkan hak-hak asasi individu ekoran peraturan ketat kerajaan.
"Masalah hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang abstrak. Ia wujud dalam kehidupan kita dalam pelbagai cara. Tetapi, dalam fikiran ramai pegawai di negara ini ia dianggap tidak signifikan," kata Jitian, seorang lelaki bertubuh kecil tetapi periang.
Dia dan rakan sejawatnya, Liu Wei dibatalkan lesen sebagai peguam oleh mahkamah kerana mengganggu perintah mahkamah, selepas mempertahankan seorang ahli gerakan agama Falungong yang diharamkan di China pada bulan April tahun lepas.
Kedua-dua peguam itu kemudian mempertahankan diri dengan keluar dari mahkamah kerana diganggu semasa menjalankan proses pembelaan ke atas ahli Falungong.
Tindakan tegas
Wei yang bersama Jitian di sebuah kafe Beijing sebelum lesen mereka ditarik memberitahu, tugas membela pelanggannya adakalanya cukup memilukan.
"Saudara-mara mereka sangat menderita kerana dipisahkan dan mereka berharap akan bersatu semula.
"Tetapi ia sangat sukar dicapai. Walaupun saya tidak merasa gagal, tetapi saya tidak berdaya lagi," kata Wei.
Jitian dan Wei, peguam wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an merupakan peguam yang kini berdepan dengan tekanan daripada kerajaan China kerana penglibatan mereka dalam isu-isu pentadbiran negara itu.
Peguam terkemuka, Gao Zhisheng, yang juga membela ahli Falungong menghilangkan diri lebih setahun selepas keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) berikutan tindakan anak perempuannya yang cuba membunuh diri kerana tertekan dan sering disekat ke sekolah.
Beliau muncul kembali pada Mac lalu selepas dipercayai mendapat pengawasan polis. Beliau yang dikatakan akan meninggalkan perjuangan tersebut sekali lagi menghilangkan diri.
Pada Julai 2009, sebuah pusat penyelidikan undang-undang yang memfokuskan hak asasi manusia telah ditutup dan Biro Kehakiman Beijing menggantung lesen 53 orang peguam.
Di wilayah barat Xinjiang, kerajaan menetapkan sekatan kepada peguam untuk mendapatkan kes yang berkaitan dengan protes di Urumqi, lapor Kumpulan Peguam Prihatin Hak Asasi Manusia (CHRLCC) yang berpangkalan di Hong Kong.
Aktivis undang-undang juga membuat aduan bahawa peraturan-peraturan baru yang muncul pada Jun baru-baru ini boleh menyebabkan firma guaman mereka terdedah dengan hukuman dan tindakan tegas kerajaan.
"Jika para peguam berterusan ditekan, apakah ada cara lain untuk mangsa dan para pekerja meminta bantuan?
"Jika kerajaan serius mempromosikan peraturan undang-undang, mereka harus berhenti mengganggu para peguam, jika tidak kita dapat lihat pergolakan semakin meningkat," kata Setiausaha Eksekutif CHRLCC, Patrick Poon.
Jitian menjadi peguam hak asasi pada tahun 2007. Ia merupakan satu perubahan besar dalam kerjayanya yang sebelum ini bertugas sebagai pendakwa raya negeri di wilayah Timur Laut Jilin, pekerjaan yang memberinya pengetahuan secara langsung mengenai sistem undang-undang di China.
"Semasa proses penguatkuasaan undang-undang, setiap orang menerima keputusan yang berbeza-beza.
"Jika anda tidak mempunyai sebarang hubungan, banyak hak yang anda inginkan tidak akan dilayan dan jika anda melakukannya, mereka mempunyai alasan untuk memberi hukuman yang ringan atau membiarkan anda melepaskan diri.
"Itu bertentangan dengan keyakinan saya bahawa penguatkuasaan undang-undang yang adil dan setara bagi semua," katanya.
Beliau berpindah ke Beijing untuk membela nasib pengamal Falungong yang dipindahkan dari tanah mereka selain sekumpulan pembawa penyakit hepatitis B yang didiskriminasi.
Jitian pernah ditahan tahun lalu pada 4 Jun iaitu pada hari sambutan protes-protes prodemokrasi di Dataran Tiananmen. Penahanan Jitian memberi kesan mendalam terhadap kehidupan keluarga beliau terutama kepada anak perempuannya yang berusia 14 tahun.
"Di mata anak saya, polis adalah betul, jadi dia fikir saya yang melakukan kesalahan, dia sering menentang saya," katanya.
Pihak berkuasa juga memasang kamera litar tertutup di luar rumahnya di Jilin untuk memudahkan mereka memantaunya.
China menegaskan bahawa rakyatnya bebas melakukan pekerjaan yang yang mereka sukai.
"Warga China menikmati hak-hak dan kepentingan yang sah, yang dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan," kata jurucakap Kementerian Luar Negeri, Jiang Yu.
Pihak kehakiman di China juga melakukan tugas mereka sesuai dengan undang-undang.
Menurut Patrick, kebelakangan ini jumlah peguam hak asasi di China telah meningkat daripada hanya sepuluh orang pada tahun 2007, kini mencecah sekitar 100 orang di Beijing
"Ini bukan sesuatu yang kerajaan China ingin lihat, tetapi menggalakkan bagi masyarakat sivil di China. Jika mereka terus mengingatkan mahkamah dan kerajaan bahawa mereka harus mengikuti undang-undang China dan undang-undang antarabangsa yang sepatutnya, mereka mampu membantu pelanggan mencari keadilan atau membantu diri mereka sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: