BUKAN mudah mendapatkan waktu sesi fotografi bersama penyanyi terkenal, Ning Baizura Hamzah, 35, apa lagi apabila bergandingan dengan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 36. Memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing, agar sukar mengundang mereka berdua ke studio.
Pertemuan bersama Ning dan Omar, baru-baru ini cukup meriah dengan gelak ketawa dan usikan pasangan bahagia itu.
Walaupun tiba agak lewat di Balai Berita pada sesi pertemuan yang berlangsung sebelah malam itu, gelagat Ning sungguh menghiburkan.
Ning memaklumkan memang sukar untuk mendapatkan masa sesuai bagi mereka berdua untuk memenuhi sesi fotografi memandangkan kesibukan Omar yang bertugas sebagai perunding di sebuah syarikat gas terkemuka di ibu negara.
Ning juga sempat mengusik Omar apabila memaklumkan suaminya semakin bersahaja beraksi di depan lensa kamera berbanding dulu."Waktu kerja Omar dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Jadi ia membuatkan susah untuk kami memenuhi sesi fotografi bersama bagi majalah dan akhbar. Biasanya saya sibuk dengan aktiviti seni secara solo. Memang saya jarang memenuhi sesi fotografi bersama suami saya ini," kata Ning.
Berbicara mengenai sambutan Ramadan tahun ini, Ning berkata ia lebih istimewa apabila dia akan pulang mengikuti Omar ke kampung halamannya di Birmingham, England, minggu ini.
Ketika ini Ning berada di Bangkok, Thailand kerana terbabit dengan penggambaran satu iklan komersial bagi jenama kecantikan terkenal, Olay.
"Memang kami sudah lama merancang untuk pulang ke England. Malah saya juga ingin merasai pengalaman bagaimana berpuasa di luar negara. Sudah lama kami tidak pulang ke tempat asal Omar.
"Selain bertemu keluarga di sana, saya juga peluang berehat selepas sibuk mempromosi lagu Mama Papa dan Propaganda.
"Saya juga baru selesai, pementasan teater SHOUT! The Mod Musical arahan Michael Xavier Voon," katanya.
Selepas kali terakhir menjayakan pementasan teater pada 1997 menerusi The Storyteller, Ning seronok apabila diberi peluang beraksi dalam pementasan teater SHOUT! Malah khabar gembira kedengaran apabila SHOUT! akan dipentaskan di Singapura tidak lama lagi.
Mengenai pengalaman berpuasa Ning memberitahu suaminya semakin selesa dan teruja menantikan bulan Ramadan.
Memang pada awalnya agak sukar bagi Omar untuk berpuasa namun dengan galakan Ning sendiri, akhirnya Omar dapat menunaikan ibadat itu dengan tenang.
"Biasanya kalau puasa, Omar suka minum banyak air selepas sahur dan waktu berbuka. Ketika waktu sahur pula di gemar mengambil makanan seperti roti atau bahan bijirin," kata pemilik vokal soprano itu.
Mengulas mengenai impian menimbang cahaya mata, Ning yang mendirikan rumah tangga bersama Omar pada 31 Januari 2008, tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata walaupun pada usia yang lewat.
"Saya tidak merancang tapi belum diberikan rezeki oleh Allah. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga tentu mahu anak untuk mengikat kasih sayang. Kami juga begitu. Hasil pemeriksaan doktor mendapati kami berdua sihat dan tiada masalah untuk hamil.
"Cuma saya perlu bersabar menunggu detik itu. Mujurlah saya ada dua anak tiri, sekurang-kurangnya saya dapat menumpahkan kasih sayang dan mendapat pengalaman sebagai ibu," katanya.
Mengenai isu kes saman RM1 juta oleh bekas penerbit dan pengurus baru-baru ini, Ning memberitahu perkara itu sudah lama berlalu.
Begitupun atas nasihat pihak peguam dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu. Ning bakal muncul dalam filem muzikal, Magika arahan Edry Abdul Halim dengan memegang watak Puteri Gunung Ledang yang sudah gemuk dalam filem terbitan KRU Studios itu.
>PROFIL
NAMA PENUH: Ning Baizura Sheikh Hamzah
TARIKH LAHIR: 28 Jun 1975
TEMPAT LAHIR: Kajang, Malaysia
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Omar Sharif Christopher Layton Dalton (36 tahun)
KARIER: Penyanyi dan pelakon
ALBUM: Dekat Padamu, Ning, Teguh, Ke Sayup Bintang, Always, Pujaan Ku, Natural Woman, Selagi Ada..., Erti Pertemuan, 3113 (kompilasi), Drama, EastToWest
FILEM: Gemilang, Maria Mariana 2, Bara, Mimpi Moon, Malaikat Di Jendela, Azura 2003 (Telemovie), Lady Boss, Diva, Muallaf, Magika
TEATER: The Storyteller (1997), SHOUT! The Mod Musical (2010)
ANUGERAH: Voice of Asia (1991), Artis Baru Terbaik dan Album Terbaik - Dekat Padamu Anugerah AIM, Lagu Terbaik Balada (Curiga) Anugerah Juara Lagu (1993), Album Pop Terbaik AIM, Lagu Terbaik Pop/Rock (Kau & Aku) Anugerah Juara Lagu (1994), Kulit Album Terbaik dan Album Pop Terbaik - Erti Pertemuan, Video Muzik Terbaik dan Lagu Terbaik Tahunan - Awan Yang Terpilu AIM (2005)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: