Friday, August 13, 2010

Tak kesal ubah kerjaya

MEMILIH bidang pemasaran berasaskan Islam bukan hanya memerlukan skil komunikasi yang tinggi malah pengalaman dan bijak membuat keputusan dalam mengatasi masalah.

pix_middle
pix_topright
Lebih penting, bagi Aslinda Nurziaty Amir, 28, adalah memperhalusi rasa tenang dan bermaruah yang harus menjadi jati diri seseorang yang menyandang tugas di bidang berkaitan keagamaan dan korporat. Apatah lagi, kerjaya itu sendiri harus seiring dengan personaliti diri.


"Dorongan terhadap kerjaya saya sekarang lebih kepada keinginan untuk mendekatkan diri dengan Allah dan beribadah untuk akhirat. Memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang hendak mengerjakan haji dan umrah, saya terpanggil untuk bekerja di bidang ini dan tidak menyesal meninggalkan kerjaya lama di syarikat telekomunikasi dan perbankan.


"Apa yang penting, pengalaman berhubung dengan orang ramai serta memanfaatkan urusan dengan pelanggan.


"Ia amat berharga buat saya kerana kerjaya ini tidak terbatas kepada pelanggan semata-mata tetapi terpaksa berhubung dengan orang lain, misalnya orang Arab sebagai perantara.


"Pengalaman menarik yang tidak mungkin hilang daripada ingatan adalah ketika mengendalikan jemaah yang mana saya berpeluang ke Raudah berkali-kali. "Di situ saya turut membantu mursyidah Arab untuk memberi laluan kepada jemaah dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei untuk memasuki kawasan berkenaan secara tertib. Biarpun agak kecil sumbangan itu, ia sesuatu yang bermakna kepada saya," kata anak perempuan tunggal daripada tiga beradik ini.


TH Travel & Services Sdn Bhd anak syarikat kepada Tabung Haji yang terkenal di kalangan pelanggan yang mengerjakan haji dan umrah.


Ketika pertemuan di bangunan Selborn, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia berkata, reputasi cemerlang syarikat itu dikatakan turut menarik perhatian orang ramai di samping syarikat korporat bahkan golongan kenamaan.


Bagaimanapun, Aslinda menyangkal pandangan segelintir pihak yang melabelkan syarikat itu lebih memilih bulu terutama golongan berada atau ternama.


Baginya, kejayaan syarikat itu menarik golongan berkenaan bukan kerana pakej mewah ditawarkan semata-mata sebaliknya kualiti perkhidmatannya yang cemerlang.


"Kami tidak menganggap syarikat ini satu-satunya yang menawarkan perkhidmatan terbaik. Banyak syarikat atau agensi lain yang membawa orang ramai mengerjakan haji dan umrah dengan pelbagai tawaran menarik. "Tetapi kelebihan kami mungkin terletak kepada cara mengendalikan orang ramai secara berdiplomasi dan berhemah," kata gadis ini yang juga model untuk busana bertudung di majalah dan akhbar.Dia tidak menafikan berasa seronok melayani beberapa kenalan termasuk kerabat yang pernah diiring sepanjang mengerjakan haji dan umrah selama setahun lebih bertugas dengan syarikat berkenaan.


"Pada saya, apa yang terpenting dalam apa jua yang dilakukan adalah keikhlasan. Mendahulukan kerja keras dan jujur ketika menjalankan tugas seharusnya menjadi amalan. Dalam berurusan dengan orang ramai, tidak dinafikan akan berdepan dengan pelbagai kerenah dan rungutan.


"Jangan fikir soal hadiah daripada mereka yang kita kendalikan itu. Apa yang penting adalah kerjaya yang dipilih. Apa yang membuat saya bangga, bila berdepan saja dengan jumlah jemaah yang ramai, hati teruja untuk membantu jika mereka ada masalah.


"Selebihnya, ia didorong rasa seronok kerana berpeluang mendekatkan diri untuk sentiasa mengerjakan ibadah. Jika memikirkannya sebagai kebajikan, soal balasan itu biar Allah saja yang menentukan."Mana ada kerjaya yang tiada cabaran. Dalam aspek kerjaya berkaitan haji atau umrah, ia berkait dengan soal ibadat yang menuntut rasa sabar seseorang.


"Saya bangga bertugas di syarikat ini kerana menemukan saya dengan pengalaman berharga," katanya yang terlalu komited membina masa depan sehingga terlupa memikirkan diri untuk menamatkan zaman bujang.


Anak paling rapat dengan orang tuanya ini mengakui amat teruja ketika meraih pengalaman mengerjakan haji pada 2004.


"Ia antara sebab saya memilih kerjaya ini kerana terasa begitu seronok untuk beribadah dan pada masa sama, itulah kerjaya yang semakin sebati di jiwa," katanya.


>PROFIL
NAMA: Aslinda Nurziaty Amir
JAWATAN: Eksekutif Kanan Pemasaran Korporat, TH Travel & Services Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Bahasa Arab dan Kesusasteraan, Universiti Islam Antarabangsa; kini menyiapkan Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Sains Malaysia
STATUS: Bujang

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: