KEHADIRAN jantung tiruan tanpa nadi, Heart Mate II yang beroperasi menggunakan kuasa bateri memberi harapan baru kepada pesakit jantung kronik yang memerlukan sokongan untuk jangka masa panjang bagi meneruskan hidup sebagai alternatif kepada pembedahan pemindahan jantung daripada penderma.
BERBEZA...jururawat, Sabirah Mohd Fariz (kanan) menunjukkan jantung mekanikal lama iaitu Paracoporial manakala Siti Masarrah Marzuki menunjukkan jantung mekanikal baru, Heart Mate II sewaktu pelancarannya di IJN, baru-baru ini.
Kemunculan jantung tiruan ini yang boleh bertahan melebihi lima tahun adalah penyelesaian terkini dan pembedahan pemindahan jantung boleh ditangguhkan selama beberapa tahun sehingga mendapat penderma sesuai.
Keunikannya, ia lebih fleksibel dan ringan; beratnya hanya satu kilogram berbanding jantung mekanikal yang digunakan sebelum ini (seberat sembilan kilogram) dan digerakkan dengan kuasa bateri supaya lebih senyap.
Pengarah Urusan IJN, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, berkata Heart Mate II lebih mesra pengguna kerana pamnya kecil dan boleh ditanam dalam dada tanpa mengira saiz ruang dada pesakit.
“Ia juga boleh digunakan pesakit yang memiliki tubuh bersaiz kecil seperti kebanyakan pesakit di Asia dan berupaya mengepam darah sehingga 10 liter seminit. Ini secara tidak langsung membolehkan pesakit bebas melakukan aktiviti harian tanpa perlu ke hospital,” katanya.
Sistem Heart Mate II membabitkan empat komponen iaitu pam kawalan, bateri kiri, bateri kanan dan pengecas bateri, manakala monitor dipasang di luar badan pesakit.
Jantung berkuasa bateri ini direka untuk beroperasi melebihi lima tahun berbanding jantung mekanikal yang hanya mampu bertahan dua tahun. Kekurangan lain jantung mekanikal ialah ia bukan saja berat, malah pesakit tidak boleh mandi dan terkena hujan.
Sementara itu, Pengarah Klinikal Pemindahan Jantung dan Paru-paru IJN, Dr Mohamed Ezani Md Taib, berkata sistem Heart Mate II tidak menggantikan fungsi jantung, sebaliknya bekerjasama dengan jantung asal untuk mengepam darah.
“Jantung kita mempunyai empat bilik iaitu dua bilik atas (atrium kanan dan kiri) dan bilik bawah (ventrikel kanan dan kiri). Pada keadaan normal (jantung yang sihat), ventrikal kiri mengepam darah ke seluruh tubuh tetapi pada jantung yang sakit atau bermasalah, ventrikel kiri tidak kuat untuk mengepam darah secukupnya.
“Heart Mate II umpama pembantu kepada jantung pesakit. Ia ditanam di sebelah jantung asal pesakit bagi menyokong ventrikal kiri dengan menambah kadar aliran darah,” katanya.
Malaysia menjadi negara ketiga Asia menggunakan teknologi ini selepas Jepun dan Singapura akibat kesukaran mendapatkan penderma jantung. Ia menjadi alternatif sementara sehingga ada penderma jantung yang sesuai.
“Sistem Heart Mate II antara yang terbaik untuk pesakit Asia, malah sesuai untuk lelaki dan wanita. Penggunaannya juga tidak mengganggu aktiviti seharian, termasuk bekerja dan bersenam.
“Bateri jantung tiruan ini hanya perlu dicas sekitar enam hingga 10 jam dan boleh bertahan tiga tahun. Ini bermakna selepas tiga tahun baru diganti dengan bateri baru. Walaupun panel kawalannya di luar badan, pesakit boleh membuat aktiviti tanpa gangguan,” katanya.
Bagaimanapun, pesakit diingatkan untuk sentiasa membawa dua bateri yang dibekalkan ke mana saja mereka pergi sebagai persediaan jika bateri pertama digunakan kehabisan tenaga.
Berkenaan kos, Ezani menjelaskan ia masih mahal iaitu sekitar RM500,000 kerana menggunakan teknologi canggih dari Amerika Syarikat.
“Walaupun mahal, penggunaannya sangat efektif dan berbaloi kerana ia memberi harapan kepada pesakit jantung tahap kronik menikmati hidup seperti individu normal lain sehingga dapat penderma jantung sesuai.
“Untuk rekod, enam pesakit jantung tahap kronik masih menanti penderma jantung sesuai bagi menggantikan jantung baru.
“Setakat ini kami masih memantau penggunaan jantung Heart Mate II kepada seorang pesakit kronik sumbangan kerajaan di bawah geran Program Jantung Mekanikal yang dilancarkan pada Mei 2005,” katanya.
SLM.INGIN MCUBA JUS DELIMA POMEPURE YG 100% ASLI.HUBUNGI 0199311274 AZIZ http://jusdelima83.blogspot.com.10 MAKANAN TBAIK DUNIA-amat baik untuk pesakit jantung
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete