Monday, August 9, 2010

Stigma lapuk

SEMUA ciptaan Tuhan itu cantik. Sesungguhnya Dia Maha Saksama, segala-galanya terletak indah di tempatnya, tiada satu pun yang kurang. Namun lain pula bagi hamba-Nya, cantik itu subjektif dan gemar pula membeza-bezakan.

pix_middle

Justeru, tidak hairan mengapa rupa diletakkan sebagai syarat pelengkap pakej dalam industri hiburan tanah air. Jika direnung, fenomena itu bukan saja berlaku dalam industri kita bahkan turut menular dalam industri di beberapa negara lain, termasuk Korea Selatan, di mana ramai anak seninya sanggup melakukan pembedahan plastik untuk memenangi hati peminat serta kepuasan sendiri.


Persoalannya, adilkah andai rupa dijadikan sandaran? Meskipun ramai mula mendahulukan bakat daripada rupa, stigma itu masih ada hingga ke hari ini hingga industri sukar dibolosi mereka yang dikatakan kurang molek paras rupa.


Bagaimanapun, juara Mentor musim ketiga, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah berjaya mengetepikan stigma basi itu apabila diterima ramai, bahkan dalam tempoh belum sampai setahun, anak muda ini berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-24, Artis Tak Harap Pada Paras Rupa Hip TV dan Artis Baru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.


Sejak awal kemunculannya, dia dicop sebagai pendatang baru yang tiada paras menarik namun miliki vokal hebat. Akui Black, dia tidak ambil pusing kerana yang lebih penting, masyarakat sedia maklum akan bakat serta kemampuannya.

Dia yakin peminat bijak menilai, bahkan tidak meletakkan rupa sebagai ukuran dan itu terbukti menerusi kemenangannya dalam ABPBH lalu. Malah, katanya, soal rupa banyak kali diperkatakan sebelum ini hinggakan dia sudah lali dan tidak terasa apa-apa lagi.


“Kalau industri cop saya tak ada rupa, saya akui. Sebelum masuk dalam bidang ini saya pernah menyertai uji bakat beberapa program realiti dan mereka pertikai wajah saya. Paling sedih apabila ada juri cakap saya ada semua pakej kecuali rupa. Jujur, saya kecil hati dan sejak itu tidak lagi menyertai mana-mana uji bakat.


“Ketika itu saya nekad lupakan hasrat mahu cuba nasib sebagai penyanyi dan mula mencari peluang untuk muncul sebagai pemain bola sepak hinggalah keluar iklan pencarian bakat Mentor 3.


“Mak pujuk saya supaya sertai uji bakat itu tetapi saya tak nak. Bagaimanapun, saya setuju temankan kawan yang mahu cuba nasib. Sampai di Sri Pentas, hanya peserta dibenarkan masuk dan saya terpaksa daftar untuk temankan kawan.


“Ketika itu saya pakai seluar koyak dan kemeja-T buruk, maklumlah niat saya hanya temankan kawan. Tak sangka pula Mas Idayu pilih saya.


“Alhamdulillah saya menang dan diterima masuk. Zaman sudah berubah, kini ramai mula dahulukan bakat berbanding rupa.


“Saya lebih suka orang lihat bakat saya kerana ia lebih bertahan lama. Bagi saya, rupa boleh disolek jika mahu tampil menarik tetapi kalau tidak ada suara haru biru jadinya,” katanya.

Sehingga hari ini masih ada yang menyentuh soal rupanya namun bagi Black, katalah apa saja kerana ia sedikit pun tidak berbekas di hati. Baginya, barangkali golongan ini tidak suka kehadirannya dalam industri.


Black kini rancak menyelesaikan rakaman album mini sulungnya yang dijangka menembusi pasaran Oktober depan. Uniknya, album itu memuatkan lagu menggunakan nama wanita sebagai judul dan sebagai pengenalan, Black tampil dengan single Sofea Jane yang kini rancak dimainkan di radio.


Tegas Black, semua nama itu tidak ada kena- mengena dalam lipatan kisah peribadinya, sebaliknya konsep itu dipilih semata-mata mencari satu kelainan.


Tatkala idea itu meluncur dari bibirnya, tiada bantahan daripada syarikat rakaman, bahkan dia menerima reaksi positif.


“Saya mahukan kelainan. Serius, tidak ada sebab spesifik, sebaliknya merasakan itu yang terbaik buat masa ini untuk saya. Monkey Bone bersetuju kerana tidak pernah tampil dengan konsep ini.


“Kelima-limanya guna nama wanita kecuali track bonus, Aku Sayang Rindu Kamu. Setakat ini saya sudah rakam empat lagu dan tinggal satu saja lagi.


“Alhamdulillah, single Sofea Jane mendapat maklum balas positif dan ramai tertanya-tanya kenapa memilih nama pelakon popular itu.


“Sebenarnya saya peminat setia Sofea Jane dan suka lakonannya. Bagi saya, dia aktres yang sangat bagus dan belum ada pelapis yang dapat menandingi kehebatannya.


“Saya tidak mahu tergesa-gesa keluarkan album ini kerana Sofea Jane masih hangat diputarkan di radio. Lagipun lagu duet dengan Noraniza Idris, Kuasa Cinta jua tengah rancak di radio.


“Biarlah dua lagu itu mesra di telinga pendengar dulu,” katanya yang belum bersedia mengembangkan sayap dalam dunia lakonan meskipun pernah menjayakan Hotel Mania.


Meskipun jadual hidupnya kini berbeza, Black tidak pernah berubah. Anak muda yang menetap di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur ini sedar akar umbinya dan selesa kekal begitu biarpun dia mampu menikmati kehidupan lebih baik.


“Alhamdulillah, undangan persembahan tak pernah putus. Dua atau tiga persembahan dalam sehari adalah perkara biasa bagi saya sejak memenangi Mentor.


“Sebagai orang baru, saya seronok dengan apa yang saya lalui sekarang. Meskipun jadual padat dan memenatkan, saya tidak kisah. Saya juga tidak memilih ‘show’, sekecil manapun ia, bagi saya itu tetap rezeki.


“Ada beberapa teman dalam industri sarankan supaya saya ubah gaya hidup. Kononnya hidup saya tidak sesuai dengan status artis. Bagi saya itu tidak perlu.


“Kenapa perlu saya berubah sedangkan saya suka begini. Saya bangga menjadi anak peniaga ikan dan tidak pernah rasa malu.


“Jika tidak ada persembahan atau komitmen seni lain, saya akan bantu ayah berniaga. Kehidupan saya sama macam dulu, tak ada beza langsung.


“Saya selesa hidup dengan kejiranan di PPR Kerinchi dan belum terfikir untuk berpindah. Semua kawan saya di sini, saya mahu terus menetap di sini. Saya bimbang suasana tempat baru akan buatkan saya lupa diri, jadi ada baiknya saya tidak berpindah.


“Lagipun jiran dah kenal benar dengan saya dan jika ada yang tidak kena, mereka boleh nasihat,” kata Black yang sudah ada seseorang di hatinya.


Demi jaminan masa depan, Black membuka butik diberi nama Zwarthna yang dipetik daripada bahasa Belanda bermaksud hitam. Butik yang beroperasi di Dataran Dwi Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, itu menjual pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: