SEORANG rakan SS menghadiri satu majlis baru-baru ini. Dalam majlis, muncul seorang artis yang lama kisahnya tidak dipaparkan media.
Justeru, rakan SS meminta jurugambar yang datang bersamanya mengambil foto artis itu.
Namun, lain pula ceritanya.
Menurut cerita jurugambar itu, si artis bertanya padanya apakah ada bayaran untuknya. Apa lagi, terperanjat dibuatnya jurugambar terbabit sebaik mendengar pertanyaan itu. Malah, sepanjang dia bekerja belum pernah lagi artis minta dibayar.
Kalau setakat ambil gambar, sudah minta bayaran, bagaimana pula dengan publisiti yang diberikan kepada si artis selama ini. Bahkan, hubungan artis dan media ini bukankah dua hala.
Sama-sama memerlukan dan berilah kerjasama yang baik.
Takkan susah sangat. Malah, hendak minta bayaran segala.
Bukankah menerusi publisiti yang diberi, memberi impak yang positif kepada artis juga. Oleh itu, tepuk dada dan tanya selera.
Kalau rasa tak boleh bagi kerjasama, beritahu lebih awal.
Jangan nanti, apabila gambar sudah diambil selepas itu bayaran diminta. SS tahu, industri hiburan di negara ini bukannya macam Hollywood. Satu filem saja dilakonkan, bayaran diterima pelakon berganda. Jadi, tiada masalah dengan pendapatan.
Tapi SS tidak pasti apakah artis ini begitu terdesak sangat hingga meminta bayaran pula. Tidak tahulah SS kalau nada permintaannya itu berbau lawak jenaka, kadang-kadang kalau kerjaya melawak, keliru juga mana satu lawak mana satu serius.SS juga dapat tahu artis ini ingin kembali memeriahkan dunia hiburan selepas agak lama sepi tapi takkan memulakan langkah dengan permintaan luar biasa ini.
Apapun, sekali lagi SS ingatkan kepada artis yang enggan memberi kerjasama, tolong beritahu pihak media. Jangan apabila gambar sudah diambil, baru keluar macam-macam permintaan.
Industri hiburan tanah air ini kecil, pusing-pusing ke situ juga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: