Friday, August 13, 2010

Sasaran Agrobank kekal 15 peratus


AHMAD Said mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di pekarangan Agrobank di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Agrobank mengekalkan sasaran pertumbuhan pinjamannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini kepada 15 peratus berbanding angka sebelum ini yang diunjurkan mencecah 42 peratus.

Menurut Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said, semakan semula itu dibuat berdasarkan kepada kadar pertumbuhan pinjaman yang dicatatnya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 15 peratus

"Pertumbuhan sebanyak 42 peratus dalam segmen pinjaman dilihat sebagai satu sasaran yang terlalu tinggi dan kami rasakan tidak dapat dicapai.

"Oleh itu, kami akan menyemak semula sasaran itu dan merasakan menjelang hujung tahun ini kadar 15 peratus yang dicapai setakat ini akan terus berkekalan," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan sumbangan bubur lambuk Agrobank yang diadakan di pekarangan ibu pejabat bank itu di sini semalam.

Agrobank menyumbangkan sebanyak 1,750 pek bubur lambuk kepada kakitangan, para pelanggan dan warga kota dalam acara yang diadakan buat julung kali oleh bank berkenaaan.

Ahmad menambah, walaupun sasaran berkurangan kepada sekitar 15 peratus, namun ia dianggap sebagai satu sasaran yang bersifat realistik.

"Kadar hutang tidak berbayar (NPL) kami masih di tahap terkawal," ujar beliau sambil menegaskan keadaan ekonomi mahupun peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini tidak memberi kesan kepada pertumbuhan pinjaman tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: