HAMPIR RM8 juta peruntukan kerajaan bagi pembangunan industri filem tempatan melalui Dana Pinjaman Filem Cereka (DPFC) dipercayai 'hangus' berikutan sikap sambil lewa penerbit melunaskan pinjaman dan tiada tadbir urus yang baik oleh agensi pengurusannya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).Difahamkan, sehingga 30 Jun, jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) mencecah RM8 juta atau 20 peratus daripada jumlah keseluruhan RM50 juta wang pembayar cukai yang disalurkan kepada 43 syarikat perfileman.
FINAS selaku agensi bertanggungjawab menguruskan dana itu sedang berusaha mendapatkan kembali wang berkenaan dengan kerjasama Bank SME, termasuk menggunakan saluran perundangan.
Bagaimanapun, usaha itu dijangka menemui jalan buntu berikutan sebahagian besar syarikat penerbitan terbabit tidak lagi aktif, malah tidak lagi mempunyai pejabat hingga menyukarkan segala urusan berkaitan dilakukan, termasuk untuk menghantar surat peringatan atau notis amaran berhubung pinjaman mereka.
Selain pinjaman ‘hangus’, dana berkenaan turut menghadapi masalah NPL membabitkan peminjam liat di kalangan syarikat besar dan berstatus pemain utama industri filem tempatan sedangkan ada di antara filem mereka mencatatkan kutipan pecah panggung (box office) dan sudah dua tahun ditayangkan.
Sumber memberitahu Hip, walaupun ada pembayaran dilakukan, ia tidak sepadan jumlah pinjaman diperoleh mereka, selain gagal menepati tempoh bayaran balik pinjaman ditetapkan dalam syarat permohonan iaitu antara satu hingga tiga tahun selepas permohonan diluluskan.
“Jika mereka tidak mampu, produser kita kebanyakannya mempunyai banyak sumber pendapatan. Mereka bukan hanya menerbitkan filem, malah dokumentari, drama dan pelbagai bentuk rancangan TV lain. Difahamkan, ada yang ‘menguasai’ slot di stesen televisyen kita. Bahkan, ada yang menjual filem mereka (selepas tayangan pawagam) kepada stesen televisyen dengan bayaran lumayan. Jadi, soal kemampuan bukannya isu di sini,” katanya.
Katanya, kumpulan produser liat itu membabitkan sekurang-kurangnya 10 syarikat produksi, dengan jumlah pinjaman diluluskan kepada mereka mencecah RM13.5 juta, namun bayaran balik setakat ini dikatakan tidak sampai RM5 juta, manakala bakinya tidak dapat dipastikan perkembangannya.
“Sikap penerbit tidak bertanggungjawab ini menyebabkan prestasi dana teruk, sekali gus menjejaskan peluang produser lain mendapatkan bantuan, terutama yang baru bertapak. Yang menghairankan, mengapa kemudahan ini turut diberikan kepada syarikat besar dan pemain industri sedangkan mereka berkemampuan, selain boleh mendapatkan dana dari sumber lain.
“Lebih mengecewakan, pinjaman diluluskan tanpa had jumlah tertentu kerana ada sebuah syarikat produksi mendapat pinjaman sehingga RM5 juta bagi menerbitkan lima filem. Difahamkan, mereka baru melunaskan pinjaman untuk satu filem, manakala yang lain masih tergantung,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: