
HIDUPAN liar di Sabah yang diancam kepupusan dijangka menyaksikan peluang survival yang lebih baik. Terima kasih kepada ‘koridor penyelamat’ yang diperkenal kerajaan negeri Sabah.
Koridor penyelamat itu bukan sahaja bertujuan mewujudkan lebih banyak hutan bagi hidupan liar untuk hidup bebas tetapi juga bagi merealisasikan matlamat kerajaan negeri dalam memastikan 55 peratus daripada muka bumi Sabah diliputi hutan.
Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, program itu membabitkan pemulihan rizab ‘riparian’ untuk mewujudkan laluan bagi hidupan liar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
“Banyak pihak, khususnya pemilik ladang kelapa sawit, menanam tanaman mereka hingga ke tebing sungai. Oleh itu, ia menghalang laluan hidupan liar,” kata beliau.
Hutan riparian merupakan kawasan hutan bersebelahan dengan saluran air seperti sungai, anak sungai, kolam, tasik, tanah paya, muara atau terusan yang menghubungkan hutan yang terpisah.
Beli tanah
“Kami akan memulihkan kawasan ini (rizab riparian) dan kami mengesyorkan alternatif kepada semua pemilik tanah untuk berhenti daripada menjalankan aktiviti pertanian di rizab riparian kerana apabila mereka bertani sehingga ke tebing sungai, hidupan liar, khasnya gajah akan sukar untuk melintas sungai,” katanya.
Koridor penyelamat ini menjadi tumpuan di daerah Kinabatangan yang akan membabitkan kawasan yang luas untuk mewujudkan rizab riparian.
“Kami sedang membeli tanah ini sedikit demi sedikit dan juga menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mencari sumber kewangan kerana kami mahu ia dimiliki oleh semua.
“Penguatkuasaan bermakna atas apa-apa alasan jika seorang petani atau pemilik ladang menceroboh rizab riparian, mereka sebenarnya melakukan kesalahan di bawah Kanun Tanah. Oleh itu langkah pengkuatkuasaan akan diambil oleh Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.
Idea koridor penyelamat itu adalah untuk membenarkan hidupan liar merayau dan mencari makanan dengan bebas sekali gus memberikan mereka peluang lebih besar untuk membiak.
“Hidupan liar semakin kehilangan habitat sehingga memaksa mereka masuk jauh ke dalam hutan. Lebih buruk lagi, pembersihan hutan menyebabkan hutan terpisah.
“Oleh itu, haiwan tidak dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari makan dan apabila mereka masuk ke ladang-ladang, mereka menjadi sasaran pemilik ladang dan pemburu haram,” katanya sambil menambah beruang matahari merupakan antara spesies paling terancam di negeri itu.
Hutan rizab
Masidi memberitahu Stesen Hutan Malua yang merangkumi kawasan seluas 144,320 hektar merupakan antara program pemuliharan yang signifikan khusus bagi hidupan liar.
“Kita juga mempunyai Lembah Danum dan Santuari Hidupan Liar Sepilok yang merangkumi kawasan seluas 5,000 hingga 6,000 hektar. Lebih kurang 50 peratus daripada hutan di Sabah sudahpun dilindungi dan kami sedang memulihkan dua peratus lagi kawasan yang dibalak, menjadikannya kawasan dilindungi,” kata beliau.
Spesies dilindungi
Menurut Jabatan Hidupan Liar Sabah, spesies yang diancam kepupusan kebanyakannya boleh ditemui di Hutan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu dan Ulu Segama, lebih kurang 400 kilometer dari ibu negeri. Yang lain merayau di pelbagai bahagian negeri ini.
Pengarahnya, Laurentius N. Ambu berkata, rusa merupakan spesies dilindungi yang paling terancam kerana diburu untuk mendapatkan daging, kulit dan tanduknya.
Spesies lain yang turut dilindungi ialah gajah, badak Sumatera, Orang Utan dan beberapa spesies monyet, termasuk monyet bangkatan, yang sering dibunuh kerana menceroboh kawasan pertanian.
Sabah dibahagikan kepada empat jenis habitat hidupan liar, hutan pantai dan paya bakau, hutan dipterocarp, hutan batu kapur dan montan. Mengikut Enakmen Hidupan Liar dan Pemuliharaan 1997, santuari semula jadi merupakan kategori pemuliharaan paling andal bagi fauna, flora dan sumber genetik serta habitat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: