![]() |
| Pintu masuk utama berteras moden. Kiri: Bingkai-bingkai gambar hitam putih menghiasi ruang masuk utama. Pemilihan lampu menyerlahkan lagi suasana. |
APA fungsi sebenar sebuah restoran? Jawapannya sudah pasti sebuah ruang untuk menjamu selera. Pun begitu, aspek keselesaan dan tarikan sampingan tentunya tidak boleh dipinggirkan.
Bagi kebanyakan daripada kita, keenakan hidangan belum tentu dapat menarik perhatian andainya kebersihan dan keselesaan diabaikan.
Atas faktor itu, Restoran Italiannies yang terletak di Kompleks Membeli-belah Empire Subang Jaya bukan sahaja menyediakan hidangan yang enak dan asli, malah menjanjikan sebuah ruang yang selesa untuk menjamu selera.
Menurut Pereka Kreatif, Petrina Roach Reddy, restoran kuisin Itali itu berkonsep sebuah restoran fine-dining yang menggabungkan unsur klasik negara asalnya dan kontemporari.
“Italiannies adalah jenama Malaysia. Cuma kami memastikan hidangan di sini benar-benar asli dan mengikut cita rasa Itali kecuali beberapa menu tempatan yang menjadi kegemaran pengunjung,” katanya.
Memasuki pintu masuk utama restoran, pengunjung akan dihidangkan dengan potret-potret hitam putih kehidupan di Itali yang sangat unik dan kreatif. Sebuah kerusi lengan berwarna hitam tersedia menawan pandangan mata.
Dinding berbatu-bata jelas menggambarkan gaya klasik negara itu, namun diberi sentuhan moden dengan pemilihan lantai dan perabot yang terkini. Lantai marmar hitam putih menjadi pilihan pada ruang utama manakala selebihnya menggunakan kayu untuk unsur lebih semula jadi.
Sentuhan minimalis menjadi keutamaan kerana Italiannies tidak mahu menyesakkan pengunjung.
“Mungkin pengunjung berasa tidak selesa andai sebuah restoran itu kelihatan terlalu formal, lengkap dengan alas meja, susun atur pinggan dan sebagainya.
“Di sini, kami mahu mereka menikmati hidangan dalam suasana yang tenang dan santai. Lebih menarik, pekerja kami juga tidak segan silu menerangkan setiap menu yang pastinya asing bagi pengunjung tempatan,” katanya.
Cermin lutsinar di bahagian utama memberi pengunjung pandangan luar kawasan sub urban Subang Jaya yang semakin pesat membangun. Duduk menikmati hidangan pada sebelah petang atau malam pastinya cukup mengasyikkan, tambahan pula diiringi alunan jazz yang sangat mendamaikan.
Istimewa setiap malam minggu pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan live kumpulan muzik. Dengan suasana restoran yang tidak terlalu gelap atau terang, bersantai sambil menjamu selera di Italiannies pasti tidak membosankan.
Bagi yang mahu menikmati hidangan untuk tempoh yang lama sambil berkumpul bersama keluarga, pelbagai jenis sofa dan meja makan disediakan.
Sofa kulit klasik untuk mereka yang ingin suasana santai, atau hanya menikmati secawan minuman pada kerusi bar sambil menonton persembahan live.
Selain daripada itu, menurut Petrina, dapur pastri restoran sengaja dipilih berkonsep terbuka. Ini bagi memberi peluang pengunjung melihat sendiri bagaimana roti dan pastri Itali dihasilkan. Pastinya siapa yang tidak terpikat tatkala aroma harum pastri yang baru dimasak menusuk hingga ke rongga hidung.
Begitu juga dengan susunan kek yang memenuhi rak pamer, pasti membuat sesiapa jua tertarik.
Dapur itu juga sengaja diletakkan di kawasan masuk dari dalam kompleks membeli-belah untuk mudah dilihat pengunjung.
Mengakhiri bicara, Petrina sekali lagi menjelaskan; ringkas dan selesa, namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan cita rasa asli. Itulah Italiannies.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: