Friday, August 13, 2010

Reza rindu kasih kakak

Pada musim Hari Raya Aidilfitri tahun lalu pelakon Reza Hasbi berjumpa dengan kakak sulungnya buat kali pertama selepas lapan tahun tak jumpa. Itupun hanya sekejap ketika kakaknya bertandang memenuhi undangan keluarga yang mengadakan kenduri kesyukuran.

Kenduri itu kerana meraikan kemenangan Reza mendapat tempat kedua pertandingan realiti Pilih Kasih di rumah keluarganya di Kuala Kangsar, Perak. Belum sempat bermesra, kakaknya harus pulang bersama keluarga lain. Mengapa jadi macam itu? Ada cerita duka di sebalik peristiwa ini.

Reza mahu tagih kasih kakak

Cerita Reza: "Kakak saya sebenarnya dipelihara oleh keluarga angkat di Pahang sejak kecil kerana pada masa itu keluarga saya susah. Kami pernah berjumpa semasa kecik-kecik dulu, tapi tak mesra. Kali terakhir saya jumpa dia lapan tahun lalu.

"Pada masa itu saya pun tak reti erti kasih sayang lagi dan masa berjumpa pun macam malu-malu sebab hubungan kami tak mesra. Ingatkan semasa hari raya tahun lalu dapat lebih lama dengan kakak, tapi nak buat macam mana kakak hanya datang sekejap.

"Kami tak marahkan kakak dan faham situasinya. Dia juga harus mengutamakan keluarga angkatnya yang menjaganya sejak kecil. Tambahan pula dialah satu-satunya anak keluarganya itu.

"Nasib baik saya masuk Pilih Kasih. Kiranya boleh menjalinkan kasih kami dengan kakak sulung. Saya harap pada hari raya kali ini kakak dapat datang lagi dalam masa yang lebih lama. Itulah harapan saya."

Reza akui jauh dalam sudut hatinya mahu mendapat kasih sayang seorang kakak yang tidak pernah dirasainya. Reza adalah anak kedua. Tiga lagi adiknya kesemuanya perempuan.

"Saya lelaki dan bila bab raya ni mana pandai sangat nak membuat persiapan, kalau ada kakak, mungkin sambutan hari raya kami akan lebih meriah," kata Reza kepada Mangga Online.

Sesuaikah pemilik wajah comel ni lakon watak jahat?

Mula aktif berlakon

Perjalanan seni boleh diibarat Reza baru bermula apabila mendapat tawarat melakonkan watak penting dalam drama bersiri Trilogi Cinta terbitan sifunya, Rosyam Nor dari Suhan Movies. Sekarang Reza sedang rancak menjalani penggambaran blok pertama sebanyak 20 episod. Blok kedua sebanyak 20 episod lagi akan dimulakan selepas hari raya.

"Alhamdulillah sekarang saya anggap perjalanan seni saya baru bermula. Sebelum ini ada juga beberapa drama yang saya lakonkan serta terlibat dalam pementasan teater," jelas anak muda yang molek budi bahasa itu.

Reza juga seronok digandingkan dengan pelakon berpengalaman seperti Rosyam, Amyza Aznan, Siti Fazurina dan ramai lagi. Rakan program Pilih Kasih antaranya Zulin Aziz dan Rey Redzuan turut berlakon.

"Saya berlakon watak jahat. Bukan jahat macam mana... watak saya tu tidak sukakan abang ipar (lakonan Rosyam) kerana mengesyaki dia mahu bolot harta kakak saya dalam syarikat yang dibinanya," kata Reza pasal wataknya dalam drama itu.

Sekarang Reza menetap di Lembah Klang untuk memanjangkan kerjaya seninya. Apatah lagi dia baru memulakan pengajian dalam bidang teater di Aswara. Reza mahu serius dalam bidang seni, sebab itulah dia mengambil peluang tawaran belajar ilmu lakonan.

"Saya harap pengajian saya tak terjejas walaupun saya aktif berlakon. Lagipun pensyarah faham keadaan itu. Kalau ada jadual kuliah dan penggambaran bertindan, saya akan maklumkan kepada pensyarah. Mereka faham," sambungnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: