BUKAN menidakkan keupayaan Sazali Samad merangkul gelaran Mr Asia buat kali ketujuh namun ikon bina badan negara, Datuk Malek Noor tetap unggul dalam kelas tersendiri, malah membuktikan apa yang sebelumnya mustahil mampu dicapai dalam sukan terbabit.
JAGOAN...Sazali (kanan) dan Muhd Syarul Azman Mahen Abdullah di KLIA, Ahad lalu.
“Tidak timbul soal rekod saya dipadam Sazali. Dia menyertai kategori berat badan lebih rendah iaitu bantamweight dan kemudiannya lightweight sedangkan saya mengungguli kategori heavyweight.
“Sehingga kini, rekod saya belum dipecahkan sama ada di Malaysia mahupun Asia,” katanya yang bersara daripada sukan itu pada 1992.
Kejayaan Sazali merangkul gelaran ketujuh Mr Asia menerusi Kejohanan Bina Badan Multi Asia di Teheran, Iran, minggu lalu dalam kategori lightweight (bawah 70kg), mungkin menyebabkan pencapaian Mr Universe lima kali itu dilihat menenggelamkan pencapaian Malek.
Sazali merangkul Mr Asia pada tahun 1996,1998, 1999, 2000, 2004, 2009 dan 2010.
Malek tetap berbangga dengan kejayaan Sazali itu yang terbukti meneruskan kejayaan atlet bina badan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Begitupun, menurut usahawan yang pernah melakar nama sebagai pelakon dan penyanyi itu, tugas berikutnya terserah kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk mencari pelapis sukan itu.
Malah, perjalanan itu bukan mudah memandangkan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai program pelapis untuk sukan berkenaan, biarpun program serta kejohanan MBBF masih ditampung MSN.
Namun, apa yang penting menurut beliau, MBBF tidak hanya tertumpu kepada sukan bina badan semata-mata tetapi mempelbagaikan program mereka bagi mendekatkan diri dengan masyarakat demi menggalakkan budaya bersukan di kalangan rakyat pelbagai peringkat. Paling penting bagi Malek ialah sukan itu bebas daripada penggunaan dadah seperti dianggap sesetengah pihak, selain pada masa sama berusaha meningkatkan mutu dan kredibiliti sukan itu.
“Masyarakat kini mula menyedari kepentingan tubuh badan sihat menerusi latihan di gimnasium dan ada yang ingin mendapatkan kecergasan, bentuk tubuh cantik, menambah dan mengurangkan berat badan dan tentunya peringkat tertinggi adalah untuk bina badan.“Mungkin dengan cara ini, sukan bina badan lebih dekat di hati rakyat dan MBBF berpeluang mencari pelapis daripada program bersifat menyeluruh,” katanya.
Beliau juga mahu atlet bina badan dilengkapkan dengan pengetahuan dan tidak sekadar mengejar kejayaan dan dalam hal ini MBBF perlu memperkenalkan pelbagai program atau kursus yang boleh membantu mereka mengembangkan kerjaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: