Wednesday, August 11, 2010

Rasidi berkelakuan pelik


RASIDI (kiri) diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban semalam.


SEREMBAN – Zaharah Atan, ibu kepada Rasidi Ismail, yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya pada 5 Januari lalu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beberapa bulan sebelum kejadian anaknya itu sering tersenyum seorang diri dan pernah menangis tanpa sebab.

Zaharah, 59, juga memberitahu bahawa, keadaan Rasidi, 32, seperti orang susah hati dan kadangkala melihat anaknya itu termenung seorang diri.

“Pernah juga saya melihat Rasidi menangis selepas dia tersesat ketika membawa kami melawat seorang anak saya di Port Dickson dengan menaiki kereta.

“Selepas tersesat dia terus marahkan dirinya sendiri dan menangis,” katanya.

Zaharah berkata, dia tidak berani bertanya kepada Rasidi mengapa dia berkelakuan demikian kerana tidak mahu mengganggu tumpuannya ketika memandu.

Seorang lagi saksi yang juga adik Rasidi, Siti Mariam Ismail, 19, pula memberitahu mahkamah, pada malam sebelum kejadian tertuduh dilihat berkelakuan pelik.

“Pada malam itu abang mengambil makanan di dapur dan dia terus mengekori saya ke dalam bilik dan terus makan. Saya berasa hairan kerana abang tidak pernah makan di dalam bilik saya.

“Saya juga perasan senyuman abang kepada saya agak ganjil dan dia juga merenung saya atas bawah beberapa kali,” ujarnya.

Siti Mariam merupakan saksi pertama yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan empat beranak di Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Januari lalu.

Rasidi dituduh membunuh bapanya, Ismail Awang, 76, datuk, Atan Daud, 87, dan nenek, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan antara pukul 7 dan pukul 11 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: