
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Ramadan sememangnya dinanti-nantikan, memandangkan ia hanya datang sekali setahun. Bukan sahaja dapat menjalani ibadah puasa tetapi bagi Siti, inilah juga masanya untuk berehat serta berkumpul bersama keluarga tercinta.
“Sepanjang bulan puasa ini, Siti memang sengaja kosongkan jadual seni. Kalau boleh, Siti nak berehat dan fokus dengan ibadah puasa.
“Insya-Allah seperti tahun-tahun sudah Siti dan keluarga akan buat majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Dengan cara ini, Siti berharap ia dapat menggembirakan mereka,” kata Siti yang turut menggunakan kesempatan yang ada untuk mengembangkan lagi perniagaan kecantikannya, SimplySiti, yang dilancarkan awal tahun lalu.
Seperti mana Siti, aktor tampan, Ashraf Muslim juga tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan ibadah serta amal jariah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Walaupun di sebelah siang, Ashraf sibuk dengan tugasnya sebagai pengacara untuk program realiti Gadis Melayu terbitan TV9, namun di sebelah malam, dia akan manfaatkan masa yang ada untuk menjalani ibadah.
“Azam tahun ini saya ingin buat amalan yang lagi baik, dan seboleh-bolehnya mahu dijauhkan dari perkara yang tak baik. Saya juga berharap, agar dapat memenuhi solat tarawih dan dapat bertemu dengan malam Lailatulqadar, Insya-Allah,” kata pelakon yang popular dengan watak Ustaz menerusi drama Niyang Rapik ini.
Selain amalan ibadah, ada juga di kalangan artis yang menggunakan bulan yang suci ini untuk menambahkan pendapatan dengan berniaga di bazar-bazar Ramadan.
Bagi penyanyi yang kini semakin mencipta nama, Hanifah Md Hanafiah atau lebih popular dengan gelaran Black, aktiviti menjual pelbagai jenis minuman di bazar Ramadan sudah menjadi sebahagian dari dirinya.
Walaupun sudah popular dan tidak putus-putus menerima tawaran persembahan, namun minatnya untuk berniaga tetap diteruskan. Seperti tahun-tahun sudah, Black akan membuka gerai minuman di bazar Ramadan Kampung Kerinchi yang terletak berhampiran dengan rumahnya.
“Selain gerai minuman, saya juga sedang giat mengembangkan perniagaan butik yang terletak di Bandar, Permaisuri Cheras, dan bercadang untuk membekalkan pakaian baju kurung serta baju Melayu sempena menjelang raya nanti,” kata anak didik penyanyi popular, Mas Idayu, ini.
Ibu kepada dua anak, Nadia Mustapha, juga masih meneruskan aktiviti perniagaannya, Nasi Kukus Ayam Pandan, yang kini sudah memiliki empat tapak bazar Ramadan yang terletak di Medan Mara dan Bukit Bintang.
“Syukurlah, gerai saya memang mendapat sambutan setiap tahun. Tapi kali ini, saya ingin kembangkan perniagaan dengan membuka gerai pakaian raya pula.
“Gerai ini sangat bermakna bagi saya kerana pakaiannya menggunakan jenama atas nama saya sendiri. Kain-kainnya saya pilih dan beli sendiri dari Indonesia serta di tempah khas dari kilang,” katanya yang berharap agar mendapat untung yang lebih besar pada tahun ini.
Selain Nadia, penyanyi popular, Deja Moss juga sibuk dengan perniagaan kek lapisnya yang semakin mendapat sambutan setiap kali menjelang raya.
Katanya, selain memenuhi tempahan kek lapis dari pelanggan, dia turut menyediakan hamper raya.
“Tapi sibuk macam mana sekalipun, saya akan pasti siapkan juadah berbuka puasa dulu. Selepas berbuka barulah saya fokus pada kedai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: