![]() |
| SITI NURHALIZA turut mengumumkan akan mengeluarkan produk kosmetik istimewa SimplySiti sempena Syawal. |
JIKA tiada aral melintang, esok (11 Ogos) seluruh umat Islam di dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Sememangnya bulan yang menjanjikan 1001 ganjaran lumayan buat umat Islam yang bijak mengambil peluang memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia.
Lebih manis lagi seandainya bulan yang penuh rahmat itu diraikan bersama-sama dengan orang yang tersayang termasuk keluarga dan teman-teman rapat.
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, bulan Ramadan menyimpan pelbagai kenangan manis yang masih lagi segar dalam kotak fikirannya.
Mana mungkin katanya, untuk dia melepaskan semuanya begitu sahaja biarpun sudah menjadi seorang isteri.
Satu yang pasti, tahun 1431 Hijrah menyaksikan tahun kedua Siti menyambut kedatangan tanpa kehadiran seorang bapa di sisi untuk sama-sama meraikan bulan mulia itu.
Mengakui di tahun pertama, perasaannya begitu syahdu dan sayu apabila mengenangkan ketiadaan bapa tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail yang meninggal dunia pada 15 Februari tahun lalu.
Namun, keadaan kini sudah berubah apabila Siti memberitahu dia dan ahli keluarga yang lain sudah dapat membiasakan diri dan menerima ketentuan Ilahi.
Tetapi, cerita Siti, kenangan puasa bersama arwah abah (panggilan untuk Allahyarham Tarudin) tidak sesekali akan dilupakan terutama ketika waktu bersahur.
"Ketika itulah, arwah abah akan menunggu semua anak-anaknya untuk bersahur bersama-sama. Biar dia tidak makan dan hanya sekadar meneguk air tapi dia akan memastikan anak-anak makan sahur.
"Memang dia sukakan waktu sahur dan suka melihat anak-anaknya berkumpul menikmati juadah. Dia hanya akan makan selepas anak-anaknya selesai," cerita Siti tenang sambil mengukir senyuman manis.
Penyanyi tersohor negara itu ditemui pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri terbaru rekaan pereka ternama, Rizman Ruzaini di Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor minggu lalu.
Sememangnya Siti sungguh teruja apabila diajak berbicara tentang Ramadan kerana baginya, ia merupakan bulan yang cukup dinanti-nantikan.
Sepanjang bulan Ramadan kata Siti, ia merupakan peluang terbaik untuknya berehat sebentar daripada aktiviti nyanyian melainkan ada agenda yang perlu dipenuhi seperti majlis berbuka puasa.
"Saya sukakan suasana bulan Ramadan itu sendiri yang saya lihat cukup berbeza dengan bulan-bulan lain. Tidak tahulah pada orang lain, tetapi itu yang saya rasakan setiap kali menjelangnya bulan puasa dari dulu lagi.
"Bulan Ramadan juga merupakan bulan yang digalakkan untuk kita melakukan amal jariah serta memperbanyakkan ibadah. Masa ini jugalah, kalau dapat berkumpul beramai-ramai bersama keluarga memang seronok.
"Bukan sahaja dapat berbuka dan bersahur bersama tetapi juga dapat menunaikan solat sunat Tarawih bersama-sama," kata pemilik vokal lagu Bicara Manis Menghiris Kalbu ini penuh bersungguh.
Lebih-lebih lagi apabila dapat turun ke dapur membantu ibu mertua, Zainab Hanapi menyediakan hidangan untuk suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang cukup gemarkan masakan kari.
Cuma, jelas Siti, kalau suaminya teringin mahu menikmati hidangan gulai lemak tempoyak ikan patin yang menjadi air tangan wajib Siti, barulah dia akan secara solo 'berperang' di dapur.
Kedatangan Ramadan juga cukup dinantikan Siti apabila waktu inilah dia berpeluang untuk mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli juadah yang jarang dinikmatinya.
"Tetapi tidaklah selalu saya berkunjung ke bazar. Dalam sebulan berpuasa, adalah dalam dua atau tiga kali saya ke sana bersama suami.
"Memang seronok sangat bila dapat membeli juadah di sana kerana gelagat peniaga di sana secara tidak langsung membawa saya menyelusuri kenangan silam ketika saya menjual kuih dahulu," cerita Siti yang gemarkan ayam percik untuk hidangan berbuka puasa.
Penghibur bersuara emas ini turut ditanya mengenai senario di bulan Ramadan zaman ini yang dilihat sudah menjadi sesuatu yang komersial jika dibandingkan pada 10 atau 20 tahun lalu.
Mana tidaknya. Jika diperhatikan sekarang ini, ramai yang seperti berlumba-lumba menyediakan tawaran menarik khususnya untuk menu berbuka puasa.
Tidak keterlaluan dikatakan, ia akhirnya menyumbang ke arah pembaziran yang sudah secara terang-terangan ditegah di dalam agama Islam.
"Saya memang memuji mereka yang gigih berniaga di bulan Ramadan dan memang tidak salah untuk mencari rezeki lebih dalam bulan Ramadan.
"Tetapi niat itu harus betul dan tidak terpesong daripada matlamat asal. Malah, untuk pembeli pula kenalah bijak mengawal nafsu membeli itu agar tidak terjadinya pembaziran," titip Siti memberikan nasihatnya.

SALAM RAMADHAN..
ReplyDeleteSEMOGA DAPAT MENEMPUHI BULAN RAMADHAN INI DENGAN PENUH KESABARAN DAN KEKHUSYUKAN DALAM MENJALANI IBADAH PUASA..